Kuala Lumpur 31 Julai : Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa ahli Pemuda mengimbangi keinginan bertanding dalam pemilihan parti akan datang dengan manfaatnya kepada parti.
"Saya harap dengan semangat demokrasi yang lebih terbuka, dengan tiadanya halangan bagi mana-mana ahli parti bertanding mana-mana jawatan, kita anggap ini sebagai satu perkembangan positif.
"Tapi pada masa sama, kita harus imbangi demokrasi dengan kepentingan parti yang mestilah bertunjangkan kestabilan dan perpaduan kita," kata menteri belia dan sukan itu.
Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa Pemuda Umno di Masjid As-Syakirin, KLCC petang tadi.
Atas semangat sama katanya, Pemuda menyokong dua jawatan tertinggi dalam Umno tidak dipertandingkan.
"Walaupun kita tidak menghalang, tetapi Pemuda Umno kita sarankan dan kita sokong supaya jawatan presiden dan timbalan presiden kita kekalkan Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin," katanya lagi.
Khusus untuk pemilihan Pemuda, Khairy mahu anggotanya membetulkan niat mereka dahulu sebelum bertanding.
"Kalau kita nak bertanding sekadar nak melepaskan geram atau menyatakan pendirian, nak menganiaya orang, nak cuba nasib atau nak kacau orang, saya rasa tiada siapa akan dapat faedah dari kedudukan tersebut," katanya.
Ditemui pada sidang media selepas ucapannya, Khairy berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatannya sekarang.
"Saya tidak tahu (akan pertahan atau tidak)," katanya ringkas ketika ditanya wartawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan