Kuala Lumpur 19 Julai : MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, berdasarkan jawapan Speaker di Parlimen, akta tersebut mempunyai kaitan dengan Majlis Raja-Raja dan sebarang pemansuhan memerlukan persetujuan majlis berkenaan.
“Pada Julai 2012, Perdana Menteri pernah mengemukakan Akta Hasutan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.
“Bagaimana beliau boleh buat kenyataan terbuka dan berjanji dengan rakyat sedangkan kewajipannya mendapat perkenan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, difahamkan juga rundingan sedang dibuat kerajaan dengan pihak tertentu untuk menggantikan akta itu.
Katanya, sewajarnya satu salinan diberikan kepada semua Ahli Parlimen termasuk dari Pakatan Rakyat (PR).
“Janji Perdana Menteri lain, kenyataan menteri lain. Akhirnya kita bercakap tentang satu akta yang kandungannya tidak siapa tahu. Macam mana rundingan boleh dibuat,” katanya.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, adalah jelas Perdana Menteri tidak memahami prasyarat akta itu sebelum sebarang pengumuman.
“Ini buka satu reformasi yang betul. Kita tidak mahu Perdana Menteri ambil jalan mudah mansuhkan akta dan ganti yang baru sedangkan sifatnya sama.”
Tian Chua berkata Akta Hasutan bukan untuk lindungi institusi Raja-Raja kerana Perlembagaan Malaysia sudah cukup untuk tujuan itu.
Manakala Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar berkata Akta Hasutan wajar dimansuhgkan kerana bercanggah dengan pemasyhuran kemerdekaan 1957 oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan