SPECIAL ADS

21 Julai 2013

Menteri merayu, akui malu kalau calon BN kalah


BESUT 21 Julai : Umno dianggap begitu terdesak bagi mempertahankan Dun Kuala Besut, apabila ada menteri dikatakan terpaksa membuat rayuan, jangan malukan beliau kalau ada yang tidak berkenan dengan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Satu sumber memberitahu rayuan itu difahamkan dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada satu pertemuan dengan pengusaha bot laut dalam yang diadakan di sebuah resort pada 13 Julai lalu.

Turut hadir pada pertemuan tersebut pegawai-pegawai kanan Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa pengusaha bot laut  dalam tempatan yang diundang khas.

“Menteri ada menyebut pengusaha terbabit perlu menganggap mereka seolah-olah mengundi menteri dan bukan calon BN yang bertanding. Beliau tidak mahu imejnya terjejas kerana baru dilantik menjadi menteri pertanian,” kata sumber terbabit di sini.

Kata beliau menteri tidak mengendahkan isu pengusaha laut dalam yang mengalibabakan lesen dimilki mereka, sebaliknya lebih takut kalau ada pengusaha tidak menyokong BN pada 24 Julai ini.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin, menteri perlu menyokong pengusaha bot terbabit kerana mereka merupakan nelayan yang bermula dari bawah sehingga muncul sebagai pengusaha bot laut dalam yang berjaya. 

“Pengusaha terbabit sepatutnya diberi sokongan penuh dan bukannya menekan mereka supaya menyokong calon BN. Tidak ramai pengusaha bot laut dalam anak tempatan yang berjaya seperti mereka.

“Mereka mendapat lesen daripada hasil penat lelah sendiri dan bukan dianugerah seperti pemimpin Umno dan wakil rakyat, diberi lesen laut dalam namun bot didapati tersadai,” katanya. 

Kata beliau juga pengusaha laut dalam terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko terutamanya kos operasi yang tinggi termasuk membeli keperluan diesel  dan upah awak-awak.

Menurut sumber itu lagi sebuah bot difahamkan dimiliki seorang wakil rakyat BN sudah lama tidak keluar menangkap ikan setelah mendapat lesen secara anugerah dan bukannya memiliki  kemahiran dalam  industri perikanan. 

Menurutnya juga pegawai kanan agensi kerajaan datang berkempen bersama menteri atas nama politik, difahamkan menggunakan sepenuhnya peruntukan kerajaan.

Tiada ulasan: