SPECIAL ADS

28 Julai 2013

Felda kaji kemampuan bina lebih rumah

Mohd Isa Abdul Samad
Port Dickson 28 Julai :  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mengkaji kemampuan membina lebih banyak rumah menerusi projek skim perumahan di setiap tanah rancangannya di seluruh negara.
   
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata setakat ini, Felda merancang menyediakan 20,000 rumah di tanah rancangan dalam masa lima tahun seperti yang dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
"Ini bermakna kita mesti membina 4,000 unit rumah setiap tahun. Tetapi pada tahun ini, saya yakin kita mampu membina lebih daripada 4,000 unit. Cuma yang jadi masalah ialah kita bina rumah ini di lokasi terpilih seperti kawasan yang tidak banyak kerja tanah, mempunyai kemudahan infrastruktur dan sebagainya.
   
"Matlamat akhirnya, kita berhasrat mewujudkan projek skim perumahan ini di setiap tanah rancangan Felda. Oleh itu, saya percaya kebimbangan untuk mendapatkan rumah oleh warga Felda tidak perlu timbul.
    
"Insya-Allah, Felda akan sedaya upayanya menyediakan rumah yang mencukupi," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan Umno Bahagian Telok Kemang kepada pesakit di Hospital Port Dickson hari ini.

Mohd Isa, yang juga anggota Parlimen Jempol, berkata projek skim perumahan itu kini popular dalam memenuhi permintaan anak peneroka untuk memiliki kediaman sendiri.
   
Projek itu merupakan inisiatif Felda untuk melaksana program perumahan moden untuk generasi baharu dan menyediakan pekerjaan tetap serta memberi pendapatan tambahan melalui pertanian bersepadu selain infrastruktur yang selesa.
       
Projek itu dibina secara pasang siap menggunakan teknologi sistem binaan industri (IBS) iaitu IRIS KOTO IBS Technology.
   
Setiap rumah mempunyai tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan lantai 304.80 meter persegi.
   
Setiap unit dianggar berharga antara RM75,000 dan RM80,000. 

Tiada ulasan: