SPECIAL ADS

22 Julai 2013

Struktur semula PDRM

Kuala Lumpur 22 Julai : Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa supaya menstruktur semula pasukan mereka dan tidak terlalu bergantung kepada ordinan Akta Ordinan Darurat (EO) sebagai punca kegagalan menangani kadar jenayah, kata Tony Pua hari ini.
Kenyataan Setiausaha Publisiti  DAP itu hadir selepas bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata di Mingguan Malaysia semalam, akta baru bagi menggantikan EO haruslah mempunyai elemen penahanan pencegahan.
"Pihak polis perlu mula membuang kebergantungan kepada EO serta-merta."
"Sebaliknya Menteri Dalam Negeri dan Polis mesti segera fokus kepada usaha memerangi jenayah seperti menstruktur pasukan polis dengan meletak lebih banyak anggota untuk melawan jenayah dan juga menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC)," kata Pua dalam satu kenyataan media hari ini.
Pua juga menegaskan Abdul Rahim tidak layak untuk bercakap tentang undang-undang kerana beliau sendiri tidak mematuhi undang-undang kerana terlibat dalam insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memegang jawatan tertinggi dalam PDRM dahulu.
"Bekas KPN tersebut dirinya sendiri pun tidak layak dan tidak boleh dipercayai untuk menentukan siapa bersalah atau tidak sebelum dibicarakan ke mahkamah," ujar Pua lagi.
Selain itu, Pua turut menolak alasan Abdul Rahim maklumat yang diperoleh hanya boleh disimpan tanpa sebarang tindakan lanjut, sebaliknya berkata perkara tersebut membuktikan pihak polis tidak mempunyai kemampuan dan lemah.
"Perkara ini hanya bermaksud bahawa 'kepintaran' tidaklah sangat pintar, atau tidak terdapat seorang pun pintar untuk melaksanakan 'kepintaran' untuk melawan jenayah," tegas Pua lagi.
Awal bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan draf pertama set undang-undang baru untuk menggantikan EO kini berada di Jabatan Peguam Negara.
Menteri Dalam Negeri itu berkata kerajaan bersetuju untuk menggubal undang-undang baru berikutan peningkatan jenayah selepas pemansuhan EO dan Akta Kediaman Terhad.
Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membidas pasukan polis kerana memberi alasan pemansuhan E0 pada 2011 sebagai alasan peningkatan jenayah di dalam  negara dan menyifatkan punca sebenar adalah salah guna sumber pihak berkuasa tersebut.

Tiada ulasan: