SHAH ALAM 23 Julai : Kerajaan digesa bertindak segera bagi membendung gelombang Syiah yang kini berada di paras bahaya sehingga boleh mencetuskan krisis.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, kealpaan semua pihak membendung penularannya menjadi punca Syiah berkembang pesat di Malaysia.
“Pada awal 1990-an, bilangan pengikut Syiah sekitar 400 orang sahaja, tetapi kini kita tidak ambil perhatian dengan perkembangan itu.
“Pada awalnya, mereka menyebarkan ajaran itu di universiti-universiti, tetapi gerakan Syiah telah mengeksploitasikan perkembangan masyarakat Malaysia melalui hubungan antara masyarakat, politik, NGO dan perdagangan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ditanya bagaimana ajaran Syiah ini mampu berkembang dengan cepat, beliau berkata, antara strategi yang digunakan adalah melalui tarkiyah (berpura-pura) di sebalik badan NGO dan politik.
Katanya, satu ketika dahulu Malaysia pernah menerima kunjungan seramai 70,000 pengikut Syiah.
“Ini proses normalisasi, apabila ada pemimpin politik dan gerakan Islam yang menjadi pendukung Syiah, masyarakat akan anggap ia tidak bahaya.
“Apabila ada perkara buruk dilemparkan terhadap kumpulan ini, akan ada pemimpin cuba neutralkan keadaan dengan memberitahu kebaikan Syiah,” katanya.
Menurutnya, ilmuwan, Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menasihati Malaysia untuk membendung Syiah.
“Beliau pernah diajak berdialog bersama puak Syiah, tetapi terpaksa dibatalkan kerana mereka tidak mahu menghormati perjanjian untuk tidak menyebarkan ajaran mereka ke negara Sunni. Sekarang negara dalam keadaan bahaya dan parah,” katanya.
Mengenai kenyataan Ketua Kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz yang mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan antara 300,000 dan sejuta orang, Abdullah Zaik berkata, angka itu sengaja diperbesarkan bagi melambangkan mereka punyai pengaruh yang kuat.
“Apabila Kedah mewartakan Syiah haram, mereka mahu nampak kuat dan nampak ramai. Dengan itu, mereka boleh guna alasan hak asasi untuk tidak diganggu gugat dan mendakwa didiskriminasikan jika kerajaan mengambil tindakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan