SPECIAL ADS

19 Julai 2013

Surat Jusuf Kalla Bukti Tidak Pernah Diwawancara Berita Harian


SHAH ALAM 19 JULAI : Mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dalam satu surat menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perolehan dana asing melancarkan perhimpunan Blackout 505.
Dalam satu surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarang akhbar Berita Harian (BH), Jusuf bertegas tidak pernah diwawancara berhubung isu berkenaan dan menyanggah berita yang diterbitkan akhbar tersebut pada 28 Jun 2013 dengan tajuk ‘Anwar dapat dana asing lancar Blackout 505′.
“Saya ingin jelaskan bahwa tidak pernah ada wawancara khas antara Azharri Siddiq dengan saya, kerana Azharri datang untuk membawa surat permintaan ketemu 8 jurnalis Malaysia yang saya tolak.
“Pertemuan tersebut (1 Jun 2013) hanya silaturrahim singkat kerana diatur seorang anggota Parlimen Indonesia.
“Apa yang ditulis sebagai interview di Berita Harian tidak realistis, karena itu Azharri sudah meminta maaf kepada saya beberapa kali,” ujar Jusuf dalam surat yang bertarikh 18 Julai 2013 yang turut diberi salinannya kepada Anwar.
Pada 16 Julai lepas, Anwar yang juga Ketua Umum PKR memutuskan untuk menyaman akhbar BH berikutan laporan fitnah yang menyatakan beliau memperolehi dana asing yang besar daripada Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk digunakan pada perhimpunan Black505.
Laporan akhbar berkenaan kononnya dipetik daripada satu wawancara khas mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia.
Anwar, di Dewan Rakyat pada Selasa lalu turut memberitahu menerima panggilan dan kiriman pesanan ringkas (SMS) daripada Jusuf yang kesal kenyataannya diputar belit.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menjelaskan mengapa kementerian berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan mengenai isu ini sedangkan penjelasan serta bantahan telah dibuat oleh Jusuf sendiri.

Tiada ulasan: