KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Pakatan Rakyat memfailkan saman ke atas tujuh individu yang menjadi panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berhubung isu penggunaan dakwat kekal pada 15 Julai lalu.
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata tindakan saman itu adalah simbolik bagi menyalahkan sepenuhnya Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof serta enam ahli panel lainnya yang didakwa berniat menipu PRU-13 melalui kaedah tersebut.
“Kita bawa ke mahkamah isu ini (dakwat kekal) kerana kita anggap satu penipuan, ia bukan soal kecuaian mahupun kekurangan pengalaman dalam mengendalikan dakwat kekal, tetapi mereka memang berniat untuk menyeleweng PRU-13 dengan mengadakan dakwat tidak kekal,” katanya.
Jelas Sivarasa, tidak ada pihak lain yang bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya kecuali SPR. Katanya, selain mengemukakan petisyen, saman adalah jalan spesifik untuk mendedahkan penyelewengan.
“Kita mahu satu pengisytiharan dari badan kehakiman bahawa SPR gagal melaksanakan tanggungjawab dengan menggunakan dakwat tidak kekal, melalui pengisytiharan itu juga kita mahu keputusan PRU-13 di 222 kawasan dibatalkan dan pilihan raya diadakan semula,” katanya.
Menurut beliau lagi, saman tidak difailkan kepada institusi tetapi individu kerana mahu mereka bertanggugjawab sepenuhnya atas penyelewengan yang dilakukan. Pakatan juga, katanya, tidak mahu individu sama mengetuai SPR dan menuntut gantirugi atas penipuan mereka.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pula menyifatkan tindakan itu sebagai cara terbaik untuk memastikan ketujuh-tujuh individu tersebut bertanggungjawab di atas tindakan mereka.
“Isu dakwat tidak kekal adalah isu pokok dalam memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih. Mahkamah adalah cara terbaik bagi kesemua ahli SPR yang terlibat menjawab,” katanya.
Saman Pakatan diwakili calon parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (KEADILAN), calon parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS) dan calon parlimen Cameron Highlands M. Manogaran (DAP) serta dua pengundi lain.
Oleh: Aisha Geoffrey
Tiada ulasan:
Catat Ulasan