SPECIAL ADS

21 Julai 2013

Dakwa Alvivi tetapi biarkan Ibrahim, Zulkifli terlepas tidak adil

Lim Guan Eng (gambar) mahu tindakan ke atas pasangan Alvivi turut dikenakan kepada Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin.
Kuala Lumpur 21 Julai : DAP menyokong tindakan yang dikenakan ke atas pasangan 'bak kut teh' Alvin Tan dan Vivian Lee namun menggesa tindakan serupa dikenakan ke atas Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin, kata Lim Guan Eng.
Menurut Setiausaha Agung DAP itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sudah menjalankan siasatan ke atas Zulkifli berhubung penghinaan kepada penganut agama Hindu dan mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara akan tetapi diarahkan untuk menghentikan siasatan kerana kurangnya bahan bukti.
Manakala bagi ancaman Ibrahim untuk membakar Kitab Injil, polis belum menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara.
Lim berkata keengganan Peguam Negara membuat pertuduhan ke atas Ibrahim dan Zulkifli telah memberi ruang berlakunya tindakan rasis dan menteri fahaman pelampau seperti Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandarmengeluarkan kenyataan dan membiarkan Ibrahim mahu membakar Kitab Injil dan Zulkifli melakukan penghinaan kepada penganut Hindu.
Beliau memberitahu dengan pemilihan Umno yang akan berlangsung pada hujung tahun ini, rakyat Malaysia boleh menjangka pemimpin seperti Abdul Rahman bakal menyerlahkan orientasi politik rasis dan pelampau.
"Ini jelas menunjukkan pendakwaan pilih kasih oleh Peguam Negara dengan mencetuskan persoalan kepada rakyat Malaysia, mengapa pasangan Alvivi boleh didakwa menerusi kiriman Facebook tetapi Zulkifli tidak boleh didakwa atas kenyataan di YouTube yang juga menggunakan medium Internet.
"Mengapa tindakan ke atas Alvivi diambil dalam masa seminggu selepas laporan polis dikemukakan tetapi tiada tindakan ke atas Ibrahim biar pun banyak laporan polis yang dikemukakan sejak enam bulan lalu," ujar Lim dalam satu kenyataan media hari ini.

Lim menegaskan ketiadaan tindakan oleh Ketua Polis Negara memberanikan lagi menteri Umno menyokong usaha rasis dan polisi melampau oleh Ibrahim dan Perkasa.
"Orang Islam dan bukan Islam tidak seharusnya dibenarkan membakar kitab suci agama lain sama ada tersalah cetak atau tidak sesuai kepada agama tertentu.
"Abdul Rahman dua hari lalu menyokong Ibrahim dengan menyatakan kes Ibrahim tidak boleh disamakan kerana Alvivi mensasarkan kepada agama lain dan boleh menjejaskan keharmonian kaum," jelas Lim.
Khamis lalu, laman berita Malaysiakini melaporkan Abdul Rahman berkata kenyataan Ibrahim Ali yang menggesa pembakaran kitab Bible dengan kalimah Allah berbeza dengan tindakan pasangan Alvin dan Vivian yang kini didakwa mempersendakan umat Islam.
Beliau berkata Ibrahim pernah menjelaskan kepada beliau yang gesaan itu dibuat dengan anggapan Kitab Injil dengan kalimah Allah adalah satu kesilapan percetakan dan membakarnya adalah cara terhormat melupuskan kitab itu, seperti cara umat Islam melupuskan al-Quran lapuk dan disalah cetak.
Abdul Rahman menambah tindakan pasangan penulis blog seks itu bersifat menyerang agama lain, mampu mencetuskan pergeseran agama dan pada masa sama mereka juga turut dikenali di negara jiran Singapura. 

Tiada ulasan: