SPECIAL ADS

16 Julai 2013

NDA bukan penghalang TPPA dibahaskan di Parlimen

KUALA LUMPUR 16 Julai: Kerajaan Umno BN tidak boleh menjadikan Perjanjian Tiada Pendedahan atau Non Disclosure Agreement (NDA) sebagai tembok yang menghalang rakyat daripada mengetahui isi Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, tidak semua perkara dalam TPPA tertakluk dengan NDA dan sewajarnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membuka ruang untuk beberapa perkara didebatkan dalam parlimen.
“Contohnya perkara yang bersabit dengan kemampuan kerajaan untuk merangka dasar ekonomi negara atau memastikan perundangan negara bebas daripada dirosakkan campur tangan luar. Perkara seperti ini masih boleh dibawa ke dalam Parlimen untuk dibahaskan.
“Tetapi apa yang kita saksikan sekarang Menteri Miti, Datuk Seri Mustapa Mohamed masih enggan mendedahkan sebarang butiran berhubung TPPA dan ini meresahkan semua pihak kerana rakyat rata-ratanya sudah maklum kesan buruk yang bakal diterima sebaik TPPA dilaksanakan,” ujar Ahli Parlimen Pandan ketika dihubungi.
Justeru, Rafizi menyarankan agar beberapa perkara dibahaskan ke Parlimen tanpa mendedahkan butiran TPPA supaya mandat dalam rundingan TPPA nanti diterima baik dalam Parlimen.
“Selepas pulang daripada rundingan nanti, beliau boleh berkongsi semula hasil rundingan untuk dibahaskan semula oleh semua ahli parlimen, ini yang sepatutnya beliau lakukan,” katanya.
Rafizi berkata, KEADILAN dan Pakatan Rakyat akan terus mendesak Mustapa membawa isu TPPA ke parlimen walaupun situasi sekarang menunjukkan Miti tetap berdegil dengan tuntutan itu.

Tiada ulasan: