SPECIAL ADS

22 Julai 2013

TPP: Rakyat perlu tahu kos dan keuntungannya

22 Julai : Semenjak hari Isnin minggu lalu, Malaysia dan 11 pihak yang terlibat dalam rundingan pelaburan dan perdagangan Trans-Pacific Partnership (TPP) bertemu lagi dalam pusingan ke 18 di Kota Kinabalu untuk meneruskan proses rundingan bagi perjanjian yang penuh kontroversi tersebut. Selain daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, Amerika Syarikat dan Vietnam, Jepun merupakan pihak terbaharu yang menyertai rundingan plurilateral ini.

Kota Kinabalu telah dipilih sebagai lokasi pertemuan untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya protes. Sebagai peneraju utama rundingan ini, Amerika Syarikat sememangnya sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kesan publisiti negatif. 
Namun, pilihan lokasi tersebut bukanlah penghalang bagi rakyat yang prihatin.

Mereka yang berdemo di Kota Kinabalu pada hari Sabtu lepas telah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum didakwa di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012. 
Kritikan telah timbul kerana intipati rundingan tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan umum dan rakyat daripada kebanyakkan 12 negara yang terlibat  bimbang bahawa TPP bakal mengancam kedaulatan ekonomi negara mereka.

Walaupun TPP dijenamakan sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA), tetapi bukan hanya isu berkaitan perdagangan yang menjadi topic utama rundingan. Rundingan berkaitan dengan perdagangan sepatutnya fokus kepada tarif dan halangan-halangan memasuki sesuatu pasaran, teras utama World Trade Organisation (WTO) yang mana TPP bakal menggantikannya.

Rundingan TPP merangkumi 29 perkara, termasuklah bagaimana pelaburan dikawal-selia , hak-hak syarikat milik kerajaan (atau lebih dikenali sebagai GLCs di Malaysia), industri kecil dan sederhana (IKS), piawaian makanan (yang mungkin menjejaskan kawalan ketat dalam industri halal), hak perlindungan intelektual dan paten – yang mungkin mengakibatkan kenaikkan harga ubat-ubatan – dan perkara yang paling dirisaukan adalah hak dan kelonggaran yang bakal dinikmati Syarikat Multi-Nasional (MNCs) untuk menyaman negara tuan rumah. 

Sebagai contoh, perkara terakhir yang disebut dalam senarai kegusaran ramai ini bakal menyekat hak kerajaan untuk mengekang atau langsung mengusir syarikat-syarikat yang memudaratkan persekitaran dan masyarakat, seperti LYNAS Corp.

Para pengkritik dasar Barisan Nasional yang menggalakkan kontrak kroni dan kedudukan dominan GLCs mungkin melihat TPP sebagaisuatu cara untuk menstruktur semula ekonomi di Malaysia. 

Syarikat asing bakal memdapat peluang yang  saksama atau mungkin lebih berbanding syarikat tempatan. Ini akan memaksa syarikat tempatan untuk meningkatkan daya saing agar kekal teguh, sekaligus merangsang persaingan sihat dalam pasaran tempatan. 

Walaubagaimanapun, campurtangan asing bukanlah jawapan terbaik untuk menyelesaikan masalah di Malaysia. Memberikan terlalu banyak hak kepada syarikat gergasi asing bakal merencatkan pembangunan usahawan tempatan sepertimana kepincangan sistem kroni. 

Sekiranya para perunding tidak berhati-hati, TPP bakal mengakibatkan kegagalan ekonomi yang lebih dahsyat daripada sistem kroni kerana, ruang dan fleksibiliti bagi para penggubal dasar dalam membentuk halatuju ekonomi Malaysia berlandaskan kepentingan rakyat kemungkinan besar akan mengecil dengan drastik sekali.

Kekangan-kekangan sebegini akan dirasai oleh kerajaan sekarang dan mana-mana kerajaan pada masa hadapan. Sayugia diingatkan bahawa kejayaan syarikat-syarikat besar dari Jepun dan Korea Selatan adalah hasil kombinasi dasar afirmatif dan perlindungan, sepertimana sedia maklum, hak yang kita tidak seharusnya nafikan bagi syarikat-syarikat milik Malaysia yang layak. 

Sebagaimana Ha-Joon Chang, seorang pakar ekonomi daripada Universiti Cambridge pernah simpulkan, kesemua negara-negara perindustrian baharu telah berjaya hasil dasar-dasar seumpama ini terutamanya di peringkat awal pembangunan.

TPP juga dilihat sebagai cubaan Amerika Syarikat untuk mengekang pengaruh  negara Cina, yang tidak terlibat dalam rundingan ini, di rantau Asia-Pasifik. 

Sememangnya sekarang, Malaysia telah pun menikmati hubungan dagang yang baik dengan Amerika Syarikat dan Cina. Sebagai contoh, sepanjang lima bulan pertama 2013, China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia (14.3%), manakala Amerika Syarikat (8.1%) berada di tangga kelima. 

Institut Rakyat berpendapat bahawa Malaysia harus berwaspada dalam setiap tindakan yang diambil supaya Malaysia tidak menjadi pelanduk yang tersepit mati di tengah-tengah apabila dua gajah sama berjuang.

Para pemerhati yang arif bersetuju bahawa pendekatan Amerika Syarikat bagi sebarang FTAs lebih didorong oleh cita-cita geopolitik mereka berbanding kepentingan ekonomi. Amerika Syarikat mempunyai rundingan FTA hanya dengan 3 daripada 10 rakan perdagangan terbesar mereka. 

Kebanyakkan daripada rakan FTA terbesar Amerika Syarikat merupakan negara yang menjalin hubungan ketenteraan, seperti Israel, Jordan, Korea, Singapura dan negara-negara Amerika Tengah. 

Kedua-dua Amerika Syarikat dan Eropah sememangnya berlumba-lumba untuk menandatangani FTA dengan negara-negara Asia Pasifik, supaya mereka tidak ketinggalan di dalam ‘Great Game’ dunia politik abad ke 21.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menuntut agar kerajaan Malaysia mendedahkan analisa kos-faedah (CBA) yang dibuat sebelum menyertai rundingan TPP. 

Tiada perunding patut menyertai sebarang rundingan tanpa perpektif atau wawasan yang jelas mengenai untung-rugi. Walaupun Kementerian Industri & Perdagangan Antarabangsa (MITI) berjanji untuk menyerahkan laporan penilaian TPP yang diselaraskan oleh United Nations Development Programme (UNDP) dalam masa dua minggu selepa mesyuarat di antara wakil MITI dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Institut Rakyat diadakan pada pertengahan bulan Jun 2013,  namun sehingga kini, tiada sebarang maklumat yang telah diterima.

Malaysia perlu menimbangtara di antara peluang dan kos dari sudut ekonomi dan politik sebelum menandatangani sebarang perjanjian. Kerajaan Malaysia yang begitu berbangga dengan sistem demokrasi perwakilannya harus telus dengan rakyat mengenai TPP memandangkan perjanjian tersebut akan memberi impak terhadap masa depan Malaysia di rantau Asia-Pasifik.

Institut Rakyat

Tiada ulasan: