SPECIAL ADS

17 Julai 2013

Jefferey beritahu RCI beliau diberikan senarai 60,000 pendatang terima IC

Kota Kinabalu, Sabah  17 Julai : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, hari ini, memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram Sabah bahawa beliau menerima senarai 60,000 pendatang tanpa izin yang diberikan kad pengenalan di negeri itu.
Dr Jefferey Kitingan ketika memberi keterangan di hadapan panel inkuiri, berkata seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikannya senarai itu pada tahun 1990 dan minta sesuatu dilakukan berhubung perkara itu.
“Seorang pegawai JPN menjemput saya ke sebuah bilik untuk bercakap secara peribadi. Beliau memberitahu saya, beliau sangat sedih kerana beliau seorang Muslim dan insiden seperti ini berlaku di Malaysia,” kata presiden parti STAR itu.
Pegawai itu memberi saya sejumlah dokumen dan memberitahu ia mengandungi nama pendatang haram yang diberikan kad pengenalan. Pendatang ini akan dimasukkan dalam senarai daftar pemilih sebaik sahaja mereka berdaftar.
“Lebih memeranjatkan lagi pegawai itu memberitahu nama dalam senarai sejumlah dokumen itu lebih kecil berbanding angka lebih besar diproses pejabat JPN," katanta.
Jeffrey mendakwa, pegawai itu menyatakan ramai rakannya ditahan apabila membangkitkan persoalan mengenai pemberian kad pengenalan kepada pendatang haram atau membuat bantahan mengenai perkara itu.
“Saya membawa dokumen itu dan memberikan kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Saya tidak membuat laporan polis pada ketika itu kerana ia isu politik,” katanya.
Pairin adalah Ketua Menteri Sabah pada ketika itu.
Jeffrey, saksi ke-181 dipanggil panel adalah bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di antara 1991 dan 1994.
Ketika ditahan di Kem Kamunting, Jeffrey masih ingat bertemu dengan beberapa pegawai kejayaan yang turut ditahan di bawah ISA.
“Mereka hanya pegawai kerajaan yang ditahan kerana beberapa kesalahan imigresen dan pendaftaran negara. Tetapi bukan salah mereka kerana hanya mengikut arahan dari atas,” katanya.
Katanya, beliau tidak terkejut mendengar sindiket jenayah mendapat untung daripada penjualan kad pengenalan kepada pendatang haram dan mereka hanya mengikut jejak kerajaan yang beroperasi dengan skala lebih besar.


Tiada ulasan: