SPECIAL ADS

31 Julai 2013

J’kuasa khas siasat penggunaan senjata api untuk jenayah

Kuala Lumpur 01 Ogos : Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menubuhkan jawatankuasa khas bagi mencari punca penggunaan senjata api untuk kegiatan jenayah yang semakin berleluasa di sana sini.
Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, penubuhan jawatankuasa ini penting kerana saban hari persepsi rakyat terhadap keselamatan nyawa mereka dan keluarga semakin rendah.
Kes tembak mati berlaku di Parit Buntar.hari ini.
Kes tembak mati berlaku di Parit Buntar hari ini.
“Fenomena ini amat membimbangkan kerana jenayah menggunakan senjata api kelihatan tidak berstruktur apabila sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa tanpa mengira latar belakang kewangan mereka.
“Kalau dahulu mungkin sasaran penjenayah melibatkan golongan korporat tetapi sekarang sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa walau di mana mereka berada dan ini amat membimbangkan,” katanya kepada Keadilan Daily.
Muhammad berkata, pihak berkuasa perlu segera mengekang masalah ini bagi memastikan rakyat yakin dengan tahap keselamatan dan keamanan negara.
“Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Amerika Latin yang berlaku tembakan setiap hari disebabkan mudahnya mendapat bekalan senjata api dengan harga murah,” tegasnya.
Kelmarin sahaja, dua kes tembak dilaporkan – satu di ibu negara dan satu di Bukit Mertajam menyebabkan seorang maut dan dua cedera. Terbunuh dalam kejadian semalam ialah Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi.
Kejadian itu berlaku dua hari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera ditembak di Jempol, Negeri Sembilan, selepas berjumpa Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan memaklumkan senarai nama pegawai polis yang terlibat dalam sendiket dadah.
Satu lagi kejadian dilaporkan di Ipoh, Perak malam kelmarin menyebabkan seorang lelaki maut dan dua parah ditembak lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee, pada 10.15 malam.
Hari ini pula satu lagi kes sama dilapor berlaku di Parit Buntar, Perak.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi tadi, seorang lelaki ditemui maut dengan tiga kesan tembakan pada tubuhnya di kawasan persimpangan Jalan Permai 2.
Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan sedang menunggang motosikal sebelum orang ramai mendengar bunyi tiga das tembakan.
Polis menemui dua kesan tembakan di rusuk kanan dan kesan tembakan di perut serta menemui tiga kelongsong peluru di tempat kejadian yang berdekatan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian.

Tiada ulasan: