04 Dis : Ketua Wanita Umno Kubang Kerian Datuk Zaleha Husin hari ini mencadangkan agar Umno bergabung dengan PAS bagi memastikan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini terus terjamin.
Zaleha ketika berucap menyokong usul pendidikan agama dan sosial bagaimanapun khuatir dengan keikhlasan PAS, kerana parti Islam itu mudah berubah fikiran apabila ditegur rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti DAP.
"Kita tidak tahu sejauh mana keikhlasan PAS untuk bermuzakarah. Sudah sampai masanya PAS dan Umno bergabung kerana kita tiada masa. Kalau Umno dan PAS bergabung, tidak mustahil negara ini tidak akan hilang ditelan zaman.
"Muzakarah ini perlu dijadikan agenda utama. PAS ni saya bimbang suka bersandiwara. Pelakon merak kayangan yang hebat," katanya, dan menambah,"Kalau dia nak muzakarah, DAP tarik telinga dia sikit dia jadi lain."
PAS dan Umno jelas Zaleha ketika membahaskan usul dalam Persidangan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur adalah ibarat sebuah bangunan kukuh yang akan runtuh jika kedua-duanya tidak disatukan.
"Antara kita dan PAS sebenarnya ibarat satu bangunan, takkan runtuh bangunan itu. Kalau tiada kerjasama erat, tidak mustahil ia akan runtuh suatu hari nanti," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, pejuang sebenar Islam di Malaysia adalah Umno kerana berupaya membangunkan sistem kewangan tanpa riba, berbanding PAS yang hanya diterjemahkan melalui cara berpakaian.
"PAS ni tidak lebih daripada mengiklankan pakaian. Bila sebut PAS, dengan serban besar, kain tudung labuh sampai lutut.
"Tetapi cermin keIslaman sebenar tidak wujud pada PAS. Kalau PAS benar-benar perjuangkan Islam, PAS tidak akan bersekongkol dengan DAP yang secara jelas kafir harbi yang merosakkan Islam tetapi itulah sahabat PAS," katanya.
Perjuangan Islam Umno juga menurut Zaleha lebih bersistematik berbanding PAS.
Parti Melayu itu juga jelasnya adalah parti tunggal yang memperjuangkan Islam dan mempertingkatkan syiar Islam.
"Umnolah yang lebih Islam daripada PAS," katanya lagi.
Umno juga tegasnya berjaya menghapuskan riba dengan penubuhan Ar Rahnu, sistem pajak gadai Islam, Bank Islam dan produk Islam lain serta turut dikagumi negara Islam antarabangsa.
Justeru, Wanita Umno perlu menepis tuduhan Umno sebagai parti tidak Islamik.
"Di Kelantan, kecundangnya kita kerana kita dituduh parti tidak berlandaskan Islam.
"Wanita Umno perlu lihat perkara ini. Yang mengeluarkan produk Islam di negara ini adalah Umno," katanya.
"Saya mohon hari ini, Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, merupakan srikandi bangsa, srikandi Islam di negara kita ini, hendaklah tunjuk kepada umum, produk Islam datangnya daripada Umno," katanya lagi.
Zaleha turut mengingatkan, sekiranya benar PAS ingin melihat umat Islam kekal sampai kiamat, kedua-dua parti itu perlu bersatu.
"Kalau betul PAS ikhlas, kita semua bangun hulurkan tangan kepada PAS. Pergerakan Wanita Umno dengan tangan terbuka menghulurkan tangan muzakarah kepada PAS," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan