SPECIAL ADS

1 Disember 2013

Rafizi : Meninggalkan PKR tiada asas perjuangan

01 Dis : Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (gambar) menyifatkan individu meninggalkan parti itu adalah di kalangan mereka yang berasa letih dan sudah tidak sanggup menunggu Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya.
Katanya, proses keluar masuk ahli adalah lumrah untuk mematangkan parti bagi mendapatkan pemimpin yang memahami asas perjuangan.
“Mereka yang meninggalkan parti baru-baru ini adalah di kalangan mereka yang menyertai PKR tanpa ada asas perjuangan yang jelas. Mereka merupakan golongan yang tidak boleh bertahan lama di dalam parti.
“Kita tidak boleh menyalahkan 100% kepada mereka yang telah meninggalkan PKR. Mungkin selepas 15 tahun, mereka berasa penat, telah banyak kehabisan wang dan sebagainya. Parti di pihak lawan pula menawarkan ganjaran yang lebih baik,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan PKR Sabah hampir lumpuh setelah pemimpin utama daripada 11 cabang parti di negeri itu mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).
Katanya, pemimpin PKR Sabah mengambil keputusan berkenaan kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti seterusnya memberi kepercayaan kepada BN di peringkat nasional mahu pun negeri.
Sebelum ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sabah iaitu Adun Kadamaian Jeremy Malajad dan Adun Matunggong Datuk Jelani Hamdan telah pun mengumumkan keluar dari PKR pada 4 November lalu.
Rafizi berkata pemimpin PKR Sabah yang meninggalkan parti itu adalah di kalangan mereka yang tidak membawa sumbangan besar kepada parti malah sangat dialu-alukan di peringkat negeri.
Katanya, dakwaan mengatakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak mencampuri urusan pentadbiran PKR negeri tidak timbul kerana menurutnya itu sekadar alasan yang digunakan pihak tersebut untuk meninggalkan parti.
“Di Sabah, kebanyakannya yang kita kenal sama ada untuk hiasan atau keluar parti bagi mendapat ganjaran. Ini bukan soal Anwar. Itu semuanya alasan seperti mana Senator Ezam Mohd Noor menggunakan alasan berkenaan untuk melompat parti.
“Soalnya mudah. Di Malaysia, politik terlalu bermotifkan wang. Umno menggunakan wang hidup-hidup untuk pancing lawan dan menyerang parti lawan seperti PKR. Saya pernah bersama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail duduk dalam jawatankuasa di Sabah beberapa ketika. Selepas kalah pilihan raya, ada yang tak sanggup tunggu lima tahun dan baiklah mereka meninggalkan parti sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Najib mendakwa PKR hampir lumpuh di Sabah, Rafizi berkata: “Kalau ikut Umno dan Najib, PKR dah berkubur 15 tahun lepas. Dahulu mereka mendakwa PKR parti nyamuk. Tuduhan PKR berkubur adalah bongkak dan lupa bahawa yang menang undi rakyat adalah PR bukannya Umno mahu pun BN.
Ahli Parlimen Pandan itu sebaliknya berbangga dengan kejayaan PKR selama 15 tahun dapat menaruh kepercayaan besar rakyat yang disifatkannya tidak ada parti lain mencapai kejayaan sedemkian.
“Tidak ada parti lain dalam sejarah Malaysia sesingkat 15 tahun mempunyai pengaruh yang besar seperti PKR. Kami semakin kuat sekarang. Saya suka proses pembuangan orang ini meninggalkan individu yang asas perjuangannya lebih kukuh.
“Dua, tiga orang yang keluar ini tidak sama dengan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking yang terpelajar dan menang majoriti besar. Kalau yang keluar itu Darell kita bimbang.
Tetapi orang yang kita sendiri tak ingat muka dia, memang tidak akan memberi kesan,” katanya yang menyifatkan PKR sentiasa terbuka menerima ahli baru dan dengan pengunduran beberapa pemimpin PKR di Sabah dapat membuka lebih ruang kepada ahli baru.
Pemimpin PKR lain di Sabah yang turut menyatakan pendirian untuk meninggalkan parti itu adalah Akhmain Sabtu dari Kudat, Anthony Mandiau dari Kota Marudu, Juhani Abdul Halim (Silam), Mohd Jun (Kalabakan), Mustapha Tambuyung (Kinabatangan) dan Lokman Ureh (Semporna).
Turut menyatakan pendirian sama adalah Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu Angki Addek, Ketua Penerangan Kota Belud Soloh Yuna, Timothy Lim dari Sepanggar, Apandy Sipin (Pensiangan) dan Aris Remigius (Batu Sapi).
Bekas Ahli Parlimen Bandau Henry Madatang dan calon PKR Papar pada pilihan raya umum lalu, Jomi Kamadan turut sama mengisytiharkan keluar parti. TMI

Tiada ulasan: