Perhimpunan yang turut disokong oleh parti Pakatan Rakyat diadakan sempena Hari Buruh yang disambut seluruh dunia hari ini dan dijangka turut disertai ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Polis sebelum mengisytiharkan perhimpunan itu haram tetapi sekarang menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan penganjur bagi memastikan perhimpunan itu berjalan lancar.
Peserta yang mengambil bahagian akan berkumpul di empat lokasi utama iaitu KLCC, Sogo, Dataran Maybank, dan Masjid Negara sebelum berarak ke Jalan Raja yang terletak berdekatan Dataran Merdeka dimana ia dijadual berlangsung antara jam 2 hingga 5 petang.
Peserta dilarang menggunakan padang Dataran Merdeka kerana kawasan tersebut sedang dinaiktaraf.
Selain di Kuala Lumpur, satu lagi demo berasingan turut berlangsung di Pulau Pinang, anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
GST yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan bajet 2014 Oktober lalu, akan dilaksanakan pada April 2015.
Bantahan melalui perhimpunan hari ini bagi menyatakan bahawa pelaksanaan kutipan cukai tersebut akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan menambahkan beban isi rumah.
LAPORAN LANGSUNG
2:40pm Dataran Merdeka - Jumlah peserta semakin bertambah dan saling himpit menghimpit antara satu sama lain.
2.38pm Dataran Merdeka - Jumlah peserta yang berarak dari Masjid Negara bertambah kepada 25,000 orang apabila disertai oleh kumpulan yang tiba lebih awal di persimpangan Jalan Tun Perak - Jalan TAR.
Setiausaha Pemuda PAS Mohd Nasaie Ismail melaungkan "Merdeka" sebaik mereka tiba di kawasan Dataran Merdeka.
2:30pm Dataran Merdeka - Kedua-dua kumpulan, dari Jalan TAR dan Masjid Negara bergabung di Jalan Raja, di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Mereka mengibar bendera dan petugas yang membawa pembesar suara tidak putus-putus melaungkan "Merdeka" dan "Tolak GST" dengan disambut orang ramai.
2.30pm Jalan Ampang - Kumpulan peserta di KLCC mula berarak ke arah Dataran Merdeka dengan bendera berwarna merah kelihatan membanjiri Jalan ampang berdepan bangunan Avenue K.
Kumpulan ini diketuai Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan dan mereka berarak sambil berselawat ke atas nabi diikuti laungan "Bangkit! Bangkit! Bangkit rakyat!".
Bas dan teksi juga terperangkap dalam kesesakan di belakang kumpulan peserta ini yang berjalan perlahan-lahan menuju ke Dataran Merdeka.
Turut kelihatan berarak bersama kumpulan ini adalah bekas pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga dan pengasas NGO Suaram, Dr kua Kia Soong.
2.16pm Masjid Negara - Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bersama beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat mengetuai lebih 5,000 peserta yang baru selesai menunaikan solat Zohor untuk berarak ke Dataran Merdeka.
Mereka melaungkan slogan "Hancur BN", "Hancur GST" dan "Hancur BN" sambil diawasi oleh Unit Amal PAS.
Jumlah peserta, termasuk di Jalan Ampang, di persimpangan Jalan TAR dan Jalan Tun Perak serta di Dataran Maybank, kini mencecah 10,000 orang.
2pm Jalan Ampang - Peserta himpunan yang duduk mula mendengar ucapan beberapa wakil NGO di antaranya merupakan aktivis siswa, Mohd Bukhairy Sufian, dan aktivis anti-Lynas, Wong Tack.
Di pintu masuk KLCC pula, petugas-petugas keselamatan pusat membeli-belah Suria KLCC berdiri dan meninjau keadaan semasa.
Mereka dilihat menghalang individu dengan kain pengikat kepala dengan mesej GST atau bendera-bendera anti-GST berwarna merah daripada masuk ke pusat membeli-belah.
1.20pm Jalan TAR - Kira-kira 1,000 peserta yang berarak dari Sogo tiba di persimpangan jalan TAR - Jalan Tun Perak.
Sebilangan daripadanya berteduh di bawah pokok dan juga di bawah landasan LRT sementara menunggu kumpulan lain.
1.10pm Masjid Negara Seorang petugas Unit Amal daripada PAS Hulu Langat memaklumkan kepada peserta supaya tidak termakan dengan pelekat dengan slogan "Hudud For All, Muslim and Non Muslim (Hudud untuk semua, Islam dan bukan Islam)".
Petugas itu memaklumkan bahawa satu tindakan provokasi daripada pihak tidak bertanggungjawab dan ia bukan dikeluarkan oleh pihak penganjur.
"Ia bukan daripada pihak kita. Ini untuk provokasi kepada perhimpunan aman kita," kata petugas Unit Amal itu.
Kata petugas parti PAS yang lain, sticker itu ditemui oleh petugas unit Amal dalam jumlah yang "banyak".
Dia juga turut menunjukkan pelekat tersebut kepada para wartawan dan jurugambar.
Manakala seorang peserta dripada Pulau Pinang kata, dia jumpa sticker bertulis: "Hudud is barbaric" dengan karikatur tiga orang berjubah sedang sebat seorang individu dan mengandungi logo DAP.
"Ini memang teruk, sebab hari ni tahu anti-GST, ini provokasi. Saja nak melaga-laga kita," katanya yang tidak mahu namanya disebut.
1.16pm Jalan Ampang dekat KLCC - Seorang individu yang sebelum ini didakwa di mahkamah berhubung kes National Feedlot Corporation Datuk Shamsubahrin Ismail dilihat mengawal lalu lintas untuk teksi.
Menurutnya, beliau kebetulan berada di kawasan ini kerana meninjau perjalanan operasi kereta sewa miliknya di hadapan KLCC.
"Himpunan ini objektifnya bagus dan setakat ini saya lihat himpunan ini aman," katanya kepada Malaysiakini.
1pm Sogo - Kira-kira 2,000 peserta himpunan kini mula berarak dari pusat membeli belah Sogo ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Pergerakan peserta himpunan itu yang memenuhi ruang jalan raya tersebut menghalang laluan lalu lintas di jalan berkenaan.
Jalan Ampang dekat KLCC - Kira-kira 300 orang dengan sebahagian besarnya berbaju T merah sudah berkumpul di depan pintu masuk KLCC berhampiran Jalan Ampang.
Sebahagian hadirin juga kelihatan memakai baju hitam SAMM dan antara personaliti yang kelihatan adalah Chegubard dan bekas ADUN Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.
1.00pm Masjid Negara Peserta Protes Anti-GST berbondong-bondong menuju ke Masjid Negara menunaikan solat Zohor berjemaah.
12.37pm Dataran Merdeka - Dua orang pelancong China ketika ditemui berkata mereka tidak bimbang dengan kehadiran lebih 100 orang anggota polis yang mengelilingi Dataran Merdeka.
Seorang daripadanya yang enggan dikenali berkata perhimpunan tersebut menunjukkan kerajaan sedia mendengar suara rakyat.
"Kami tidak terkejut mahupun bimbang," katanya yang menambah suasana seperti itu amat jarang berlaku di China.
Walaupun kawasan padang itu ditutup, polis tetap membenarkan pelancong melepasi sekatan untuk bergambar di kawasan tersebut
12 tengahari Pulau Pinang - Perhimpunan berakhir selepas beberapa jurucakap membangkitkan isu hak pekerja di atas pentas dan juga ucapan penganjur, yang menyatakan penghargaan kepada 300 orang peserta.
Dataran Maybank, KL - Seramai 200 orang berhimpun dengan membawa kain rentang dengan slogan 'GST bebankan rakyat' dan 'Derita Derita Derita'.
Seramai kira-kira 50 orang anggota Unit Amal PAS sudahpun mengambil tempat namun pemimpin parti politik masih belum kelihatan.
KLCC - Kelihatan sekumpulan lima orang lelaki berpakaian baju-T merah dipercayai peserta himpunan hari ini berlegar-legar di kawasan air pancut Taman KLCC.
Empat orang polis berpakaian seragam tanpa lencara dilihat berkawal kira-kira lima meter dari kumpulan terbabit.
11.50am Sogo - Seramai 500 orang memenuhi di hadapan pintu masuk kompleks tersebut.
Ramai di kalangan peserta berkenaan mengambil peluang dengan dua pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan Datuk Kamaruddin di ruang tersebut. MK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan