SPECIAL ADS

7 April 2014

Putrajaya setuju guna WSIA ambil alih syarikat konsesi air Selangor

air-syabas_MB1

07 Apr : Putrajaya akhirnya bersetuju menggunakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi mengambil alih tiga lagi syarikat konsesi air selepas tawaran kerajaan negeri ditolak.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (gambar) selepas mesyuarat mingguan Kabinet lalu.
"Kerajaan pusat tidak ingin membenarkan rundingan penstrukturan semula industri air di antara kerajaan Selangor dan pemegang konsesi berlarutan.
"Serta menyebabkan krisis bekalan air yang sedang melanda tiga kawasan berterusan, hingga menyebabkan rakyat dan ekonomi negara sengsara," katanya.
Menurutnya, persetujuan tersebut akan menyelesaikan krisis bekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ongkili juga menjelaskan bekalan air terjejas menyebabkan hampir 821 projek di ketiga-tiga kawasan tersebut tertangguh.
Beliau menegaskan persetujuan tersebut sebagai memenuhi syarat yang dimeterai dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan kerajaan negeri Selangor.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid sebelum ini mendesak kerajaan supaya menggunakan WSIA bagi mengambil alih tiga lagi syarikat konsesi air selepas tawaran kerajaan negeri ditolak.
Kerajaan negeri Selangor menandatangani persefahaman memorandum (MoU) dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berhubung pemilikan konsesi air di Selangor pada Februari lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU berkenaan antara Khalid dan Ongkili di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Khalid menandatangani MoU berkenaan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air dengan suntikan dana RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambilalihan saham syarikat konsesi.
Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin PR akan membenarkan Putrajaya meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.
Selangor melalui syarikat berkaitan kerajaan miliknya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad menawarkan RM9.65 bilion kepada pemegang saham syarikat tersebut.
MoU itu membolehkan Selangor mengambil alih pegangan konsesi air daripada Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas).
Bagaimanapun, tiga syarikat konsesi iaitu Syabas, Puncak Niaga dan Splash menolak tawaran berkenaan. Hanya Abbas menjadi konsesi tunggal yang menerima tawaran itu. TMI

Tiada ulasan: