SPECIAL ADS

31 Oktober 2014

Banyak Tanah Rizab Melayu terlepas kepada pihak lain


KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras)  menegaskan Tanah Rizab Melayu (TRM)  pada dasarnya mesti dikekalkan dalam kalangan orang Melayu. 

Namun, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid penghakisan TRM sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga sekarang sangat dikesali.

"Malah guna kuasa, kecuaian dan penyelewengan pihak tertentu telah menyebabkan TRM terlepas kepada pihak lain tanpa diketahui oleh masyarakat Melayu," ujar beliau dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengambil perhatian berat isu Tanah Rizab Melayu (TRM) yang baru-baru ini dibangkitkan semula.

Pengambilalihan TRM dengan begitu banyak namun tidak diganti sebagaimana sepatutnya mengikut Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan, tidak sepatutnya berlaku.

Pihak berkuasa negeri nampaknya tidak sensitif mengenai implikasi jangka panjang yang bakal dihadapi apabila aset tanah orang Melayu terhakis. Kesannya akan juga melibatkan masa depan aset umat Islam di negara ini akan terjejas.

Kami menegaskan TRM pada dasarnya mesti dikekalkan dalam kalangan orang Melayu. Namun penghakisan TRM sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga sekarang sangat dikesali. Salah guna kuasa, kecuaian dan penyelewengan pihak tertentu telah menyebabkan TRM terlepas kepada pihak lain tanpa diketahui oleh masyarakat Melayu.

Kini kenyataan TRM sudah jauh berkurangan dari keluasan asal tidak  mengejutkan. Pentadbiran TRM yang sepatutnya diuruskan dengan amanah oleh pihak kerajaan negeri ternyata gagal untuk mengekalkan dan memajukan aset tanah orang Melayu.

Kami ingin mengingatkan dua objektif utama Rizab Melayu ialah: 1. Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu dan 2.  Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.

Matlamatnya ialah dengan dua objektif itu diharapkan tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

Kami berpendirian, dengan pelbagai agensi Islam dan korporat bumiputera yang ada masakini, TRM tidak sepatutnya dibenarkan dipajak kepada bukan Melayu selama tempoh tertentu seperti mana yang pernah dicadangkan sebelum ini. Sepatutnya gabungan agensi dan korporat bumiputera boleh memajukan TRM untuk kepentingan orang Melayu.

Kami mencadangkan Majlis Hartanah atau Bank Tanah dengan tabung amanah yang mencukupi ditubuhkan bagi membeli dan memegang sementara TRM dan kuota Bumiputra yang hendak dijual. Ini akan mengelakkan dari tanah milik Melayu terlepas tangan bila orang Melayu tidak mampu memajukannya atau bila kuota Bumiputera tidak dibeli oleh orang Melayu. Majlis Hartanah ini boleh membeli hartanah yang sudah dibangunkan supaya memastikan ia tidak berpindah milik kepada bukan Melayu.

Soalnya kenapa pihak kerajaan negeri dan persekutuan tidak mengambil inisiatif supaya TRM dibangunkan oleh agensi khas seperti Mara, UDA, dengan peruntukan khas dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia? Apakah masalahnya yang menyebabkan semua agensi ini tidak boleh bergabung sumber untuk membangunkan TRM?

Kami menggesa agar TRM yang digadai kepada institusi kewangan atau individu bukan Melayu mestilah diambil alih. Tidak ada alasan pihak agensi kerajaan tidak boleh berbuat demikian. Masalahnya ialah pihak berkuasa negeri (PBN) tidak memastikan supaya apabila dilelong hanya Melayu sahaja boleh membeli. Akibatnya apabila ini tidak diuruskan dengan baik, akhirnya banyak kes tanah Melayu terlepas kepada bukan Melayu.

Kami juga meneliti pihak berkuasa negeri tidak berusaha agar pemilik-pemilik tanah Melayu dibolehkan mewartakan tanah mereka sebagai TRM, seperti yang boleh dilakukan di Johor. Urusan penukaran syarat TRM perlu dipermudahkan dengan premium tambahan yang minimum.

Soal harga pasaran akan menjadi rendah apabila diwartakan sebagai TRM tidak timbul kerana matlamatnya bukan untuk dijual tetapi untuk dimajukan dengan dikekalkan pemilikannya di tangan orang Melayu.

Kami kesal kenapa pengambilalihan dan penggantian TRM tidak dilakukan dengan serentak sedangkan inilah punca kenapa banyak TRM semakin mengecil.

Kami juga mendapati TRM yang telah diambil balik di bawah Akta Pengambilalihan Tanah (APT) 1960 tidak dikeluarkan dari TRM dan penggantiannya tidak dibuat serentak. Sebab itu ia mewujudkan keadaan yang sangat mengelirukan iaitu dalam rekod, TRM tersebut masih wujud tetapi di lapangan sebenar ia tidak wujud lagi. Hakikatnya TRM tersebut sudah dipindah milik, namun begitu tidak berlaku penggantian sebagaimana sepatutnya. Akibatnya TRM terus mengurang. HD

Bajet 2015: Belanja pengurusan tinggi ketika rasuah kerajaan melebar

Belanja pengurusan dalam Bajet 2015 terlalu tinggi ketika rasuah dan ketirisan kerajaan makin melebar, kata bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Oktober, 2014.
Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengkritik Bajet 2015 yang memperuntukkan belanja pengurusan hampir 80% ketika rasuah dan ketirisan kerajaan melebar.
Bekas menteri kewangan itu berkata, sedekad lalu peruntukan pembangunan adalah  sekitar 30% tidak lagi dinikmati sekarang dan ianya semakin merosot.
"Bahagian peruntukan kemudahan asas ini kian merosot degan bertambahnya belanjawan pengendalian (pengurusan).
"Peruntukan pembangunan yang melebihi 30% sedekad dulu sekarang merosot menjadi hanya  lebih kurang 15% daripada jumlah cadangan belanjawan 2015," katanya dalam sepucuk surat kepada ahli Parlimen yang dikeluarkan semalam.
Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet keenamnya bertemakan Ekonomi Keperluan  Rakyat, memperuntukkan sejumlah RM273.9 bilion.
Jumlah itu meningkat RM9.8 bilion berbanding peruntukan 2014.
Daripada jumlah itu, RM223.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus  manakala  RM50.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Tengku Razaleigh yang juga dikenali  sebagai Ku Li mempertikaikan langkah tersebut,  membangkitkan isu rasuah dan ketirisan dalam kerajaan seperti yang dilaporkan Laporan  Ketua Audit Negara setiap tahun.
"Dengan pendedahan oleh Ketua Audit Negara mengenai pembaziran, perbelanjaan boros, kerugian tidak bertanggungjawab, ketidakcekapan mutlak serta amalan rasuah tegar kecilan dan besar-besaran, kita sebagai rakyat biasa dan pembayar cukai seharusnya dimaafkan sekiranya menunjukkan kemarahan tanpa had terhadap keadaan ini," katanya.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, kerajaan sepatutnya menangani isu rasuah dan ketirisan yang menjadi punca kepada peningkatan belanja pengurusan.
"Kita seharusnya sudah berjaya meningkatkan kecekapan selama ini dan mengurangkan belanjawan pengendalian yang tinggi mendadak selama ini," katanya.
Beliau mencadangkan supaya setiap agensi kerajaan ditempatkan seorang pegawai audit negara bagi memantau dan menjamin ketelusan, serta memperkukuh penguatkuasaan.
"Saya cadangkan setiap kementerian dan agensi kerajaan dilengkapi dengan cabang pejabat Ketua Audit Negara demi mempastikan perbelanjaan awam dilaksanakan mengikut tatacara urusan dengan teratur dan bertanggung jawab.
"Selain Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Parlimen juga perlu mewujudkan Ombudsman yang bertindak bebas dan bertanggung jawab terus kepadanya. Di samping itu kita perlu mengawal dan membanteras rasuah melalui pengukuhan Akta Acara Kewangan melalui kajian semula dan pengukuhannya.
Tengku Razaleigh berkata, isu rasuah sebenarnya penyumbang utama kepada kos sara hidup yang semakin tinggi di mana akhirnya pembayar cukai dan rakyat terbeban.
"Rasuah juga menambah kos sara hidup dan beban kepada semua.
"Apabila projek pembangunan, sama ada kecil atau besar, dinaikkan harga yang lebih daripada berpatutan, margin keuntungan kontraktor akan dilindung daripada terjejas dengan memindahkan kos itu kepada pengguna dan pembayar cukai," katanya.
Beliau berkata, ekonomi negara terlalu bergantung ke atas badan eksekutif, sekali gus menyebabkan pelbagai ketirisan dan salah guna kuasa berterusan.
"Ini menyebabkan kuasa terus terkumpul di tangan badan eksekutif. Ini menyebabkan berterusannya amalan pelaksanaan projek “untung atas angin” oleh pihak ketiga (rent seeking), politik naungan, amalan pemerintahan tidak telus dan rasuah yang meluas.
"Maka itu tidaklah hairan sekiranya Malaysia dilihat sebagai salah sebuah negara terburuk mengenai kejujuran dan integriti," katanya.
Tengku Razaleigh sebelum ini menggesa kuasa "mutlak" yang diperuntukkan kepada seorang menteri kewangan mengikut Akta Prosedur Kewangan 1957 disemak semula kerana ia membuka peluang kepada rasuah.
Beliau juga menggesa reformasi ekonomi dalam pencapaian keadilan sosial dan kesaksamaan dilaksanakan dengan segera. TMI

29 Oktober 2014

Aibkan Anwar supaya rakyat hilang kepercayaan


PUTRAJAYA: PAS menyifatkan pendakwaan fitnah liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai cubaan terakhir untuk menamatkan karier politik ketua pembangkang itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan juga dilihat untuk mengaibkan Anwar supaya masyarakat hilang kepercayaan terhadapnya.

"Saya tidak boleh menyentuh perjalanan di dalam mahkamah secara langsung tetapi saya yakin apa yang dihadapi Anwar adalah percubaan akhir untuk kerajaan menamatkan karier politik beliau.

"Sama ada memenjara ataupun menghilangkan kredibiliti Ketua Pembangkang itu, tindakan ini secara tidak langsung untuk mengaibkannya supaya masyarakat hilang kepercayaan," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga yakin Anwar tidak akan berganjak dalam menghadapi situasi yang mencabar berhubung tuduhan fitnah tersebut.

Sejarah dan liku-liku kehidupan yang dihadapi Anwar kata Mahfuz, sudah cukup menunjukkan betapa kentalnya pemimpin politik itu.

Mahfuz turut berharap ahli-ahli dan penyokong PAS hadir pada hari esok bagi memberi sokongan moral kepada Anwar dan keluarganya.

"Terlalu banyak perderitaan yang dihadapi Anwar dan keluarganya, sejak dahulu mereka tidak pernah berhenti berhadapan dengan situasi yang cukup pedih dalam kehidupan.

"Saya fikir cara terbaik kita semua hadir memberi sokongan, esok merupakan hari terakhir dan mereka yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat wajar hadir," katanya.
PR perlukan Anwar

Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula mengharapkan akan ada keadilan ditegakkan dalam kes fitnah Anwar kali ini.

Beliau yang hadir di mahkamah hari ini turut memberitahu selagi doktrin pemisahan kuasa tidak wujud, keadilan di dalam sistem perundangan sukar ditegakkan.

"Saya mengharapkan perbicaraan anwar peringkat terakhir pada hari ini sebelum keputusan akan ada keadilan yang dapat ditegakkan.

"Kita sebenarnya masih dalam suatu perjalanan yang panjang untuk melihat tertegaknya suatu keadilan dalam negara, bila kita bercakap tentang doktrin pemisahan kuasa yang sehingga hari ini menjadi harapan rakyat," katanya.

Naib Presiden PAS itu turut mendoakan agar Anwar dan keluarga diberikan keadilan dalam konspirasi fitnah ini.

"Saya mendoakan dan mengharapkan Anwar serta keluarganya dapat diberikan keadilan dan keputusan yang benar-benar adil.

"Keputusan itu akan memberikan kembali sinar kehidupan kepada beliau sekeluarga, apa yang penting adalah kita masih memerlukan kehadirannya bersama Pakatan Rakyat," ujar beliau lagi. HD

Peguam: Pendakwa gagal buktikan 'Lelaki Y' adalah Anwar


2.40pm: Ram meneruskan penghujahannya dengan berkata, ahli kimia tidak menukar bekas sampel.

Katanya, ahli kimia tidak dapat mengesahkan berapa banyak jumlah DNA daimbil daripada sampel Saiful.

Seah tidak dapat menyatakannya kerana dia tidak mempunyai rekod kata peguam bela itu.

“Pendakwaan gagal menghasilkan jumlah dan rekod pengasingan sperma DNA. Dokumen ini tidak dibekalkan kepada pendakwaan.”

2.37pm: Loceng Mahkamah dibunyikan dan hadirin kembali ke tempat duduk mereka.

2.30pm: Anwar tiba dengan ahli keluarganya. Mahkamah akan bermula tidak lama lagi. Anwar dan Lim dilihat berbincang bersama Pak Samad.

2.25pm: Dewan mahkamah mulai penuh. Turut berada di mahkamah ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

1pm: Ram berkata, Seah bersifat selektif dalam apa yang dilaporkannya sebagai 'stutter' kerana ia boleh mendedahkan banyak lagi pihak sebagai “Lelaki Y”

“Dia (Seah) tidak lapor bacaan tertinggi (peak) yang lain. Dia lapor bacaan tertinggi 13 tetapi tidak 17 dan 18.”

Hakim Arifin meminta penangguhan untuk makan tengah hari. Mahkamah akan bersambung pada 2.30 petang.

12.55pm: Ram berkata, alel datang secara berpasangan.

Katanya, Seah datang ke mahkamah tanpa menunjukkan garis panduan daripada jabatan.

“Hasil akhir bahawa dapatannya adalah tidak boleh dipercayai,” katanya.

12.45pm: Ram berkata setiap orang mempunyai profil DNA berbeza dan terdapat terdapat kemungkinan kecil, ia dikongsi bersama orang lain.

“Mahkamah tidak dapat menentukan bukti Seah daripada aspekstutter dan peratusan.

"Beberapa dokumen ini tidak tersedia kepada pembelaan untuk soal balas.”

Katanya, 12 sampel diambil daripada Saiful dan ditanda oleh Dr Siew Shueu Feng daripada JKL.

Ia meliputi bahan uji daripada rektum, perianal, rektum tinggi dan rektum rendah.

12.40pm: Beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat tiba di mahkamah, antara mereka Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Johari Abdul (Sungai Petani).

Ram kemudian berhujah berkaitan alel (allele) dan stutter yang diamalkan oleh Jabatan Kimia.

“Ia belum diiktiraf sejak 2005,” katanya.

Dua ahli kimia memberi keterangan dalam perbicaraan sebelum ini, iaitu Dr Seah Lay Hong dan Noraidora Saedon.

12.25pm: Ram Karpal berkata terdapat "Lelaki Y" dalam sampel yang ditemui dan ini seterusnya dikaitkan dengan sampel DNA yang diambil dari sel lokap Anwar.

Beliau berkata pihak pendakwa gagal membuktikan tanpa keraguan bahawa "Lelaki Y" adalah perayu.

12.15pm: Sangeet berhujah bahawa terdapat satu siri dokumen yang tidak diberikan kepada pihak pembelaan.

Beliau berkata tidak ada asas bagi hakim untuk menolak permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan dokumen tersebut bagi memastikan ada kedudukan yang sama.

Pada peringkat awal perbicaraan, Hakim Zabidin tidak membenarkan pihak pendakwaan untuk menyediakan dokumen-dokumen tersebut.

Sangeet berhujah bahawa tidak ada perbicaraan yang adil dan penangkapan itu dibuat secara tidak sah.

Sekarang Ram Karpal mula berhujah mengenai DNA.

12.02pm: Sangeet berkata waran tangkap asal yang dikemukakan semasa perbicaraan utama adalah tidak sah.

Katanya, waran itu hanya dikeluarkan di balai (polis) dan menambah bahawa hakim silap apabila memutuskan untuk menerima bukti itu semasa perbicaraan utama berdasarkan dokumen yang sama (iaitu waran tangkap asal).

Oleh itu, katanya, perolehan (tiga) barangan tersebut juga harus dianggap sebagai haram.

11.45am: Sangeet berkata ada bukti (langsung) lain yang pihak pendakwa telah dan ia tidak seharusnya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence).

Pihak pendakwaan, katanya, tidak boleh bergantung kepada perbicaraan utama untuk membantah apa yang berlaku dalam 'bicara dalam perbicaraan'.
11.35pm: Sangeet berkata, hakim perbicaraan memutuskan bahawa barang-barang itu diperoleh dengan tujuan tidak adil.

Katanya, keputusan awal dibuat ketika beliau memilih menggunakan budi bicara tetapi perbicaraan utama menerima bukti-bukti itu.

“Kemasukan barang itu melalui cara tidak sah,” katanya.

Hakim Mohd Zabidin pada mulanya tidak menerima tiga barang itu – tuala, berus gigi dan botol air – sebagai bukti semasa perbicaraan dalam perbicaraan tetapi berubah selepas itu.

10.47am: Bagaimanapun, Hakim Arifin berkata, memperoleh bukti secara tidak sah juga diterima di Malaysia.

Sangeet berkata, pihak perayu ditahan di Jalan Segambut dan bertemu Jude di balai polis kira-kira ham 8 malam dan dibawa ke HKL.

“Anwar enggan beri DNA dia di hospital. Dia menggunakan hak yang dijamin perlembagaan untuk tidak berbuat demikian.

“Keseluruhan prosedur adalah salah kerana ia bertentangan dengan peraturan lokap (kerana tahanan harus berada dalam lokap sebelum jam 6 petang).”

Sangeet berkata, polis menahan Anwar semalaman ketika mereka tahu mereka berada di sana hanya untuk merakamkan kenyataan.

Tetapi, kata Sangeet, Anwar diberika tiga barang itu dan kemudian dikeluarkan secara berhati-hati.

10.45am: Peguam bela Sangeet berkata, tiga barang itu diperoleh secara tidak sah melalui muslihat dan penipuan manakala tangkapan pula tidak sah.

“Terdapat tangkapan tetapi waran hanya dikeluarkan oleh IPK KL. Taufik kata tangkapan dibuat berdasarkan Seksyen 377B (Kanun Keseksaan)."

Sangeet berkata, hakim pada mulanya membuat keputusan menyebelahi mereka dengan tidak menerima tiga barang itu.

“Beliau memutuskan barang-barang itu digunakan secara tidak adil.”

10.40pm: Sangeet berkata, perbicaraan dalam perbicaraan diadakan untuk menentukan kebolehterimaan tiga barang itu.

“(Peguam pembelaan) Sankara Nair dan R Sivarasa memberi keterangan dan mereka menceritakan bagaimana kereta Anwar diserbu (polis) ketika tahanan.

“Seorang superintenden Taufik memberi keterangan bahawa dia mendapat arahan untuk menangkap Anwar.

“Tiada alasan diberikan oleh Taufik untuk membuat tangkapan, yang memberi keterangan sebagai satu-satunya saksi dalam pendakwaan,” kata Sangeet.

10.30am: Sangeet berkata 'Lelaki Y' boleh jadi sesiapa sahaja dan tidak semestinya Anwar.

Sangeet berkata, semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, penyiasat di tapak berlaku jenayah Supt Amidon diminta memberikan bukti dan timbalan pendakwaraya (DPP) meminta tiga barangan itu diserah.

“Bagaimanapun (ketua pembelaan ketika itu) Karpal Singh membantah. Penerimaan tiga barang itu adalah salah. Mahkamah Tinggi tidak mahu menerima barang-barang itu.

“Bagaimanapun, hakim menyemak semula permohonan sejurus sebelum pendakwaan menutup kes.”

10.20am: Hakim Abdull Hamid bertanya, bilakan botol itu diberikan. Sangeet berkata ia diberi ketika soal siasat.

10.15am: Hakim Arifin bertanya sama ada terdapat sebarang barang ditinggalkan dalam sel sebelum Anwar memasukinya.

Peguam pembelaan Sangeet merujuk diari lokap yang menyebut ia kosong dan tiada tahanan lain.

Seorang lagi panel, Hakim Md Raus berkata, ketiga-tiga barang itu diberikan kepada Anwar tetapi Sangeet bertanya kembali sama ada ia digunakan oleh dia.

10.10am: Peguam pembelaan Sangeet berkata, penghakiman Mahkamah Tinggi menyatakan pegawai polis melihat Anwar menggunakan toilet sel dan memberus gigi pada 17 Julai 2008.

Bagaimanapun, kata Sangeet, pegawai polis itu hanya mendengar dan tidak melihatnya sendiri.

10.05pm: Sangeet, diari lokap menyatakan Anwar tidur pada waktu malam, bangun dan bersandar pada palang lokap sebelum mengambil air sembahyang dan bersembahyang sunat.

Anwar ditahan pada 16 Julai 2008 selepas pergi ke Hospital Kuala Lumpur dan tidur semalam di lokap ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

“Terdapat bukti langsung dan pendakwaan tidak boleh bergantung kepada bukti keadaan ketika terdapat bukti langsung.”

10am: Sangeet berkata, berus gigi, sabun dan tuala diberikan kepada Anwar semasa di dalam lokap.

Sangeet berhujah, tiada sebarang bukti daripada saksi polis menunjukkan bahawa Anwar menggunakan barang-barang itu.

“Diari lokap hanya menyatakan Anwar berada dalam penjara dan bersembahyang pada waktu pagi,” katanya,

“Tuala Good Morning”, berus gigi dan botol air mineral didakwa digunakan oleh polis bagi mendapatkan DNA Anwar tanpa pengetahuannya.

9.50am: Peguambela Sangeet Kaur Deo pula memulakan penghujahannya.

Katanya, peguam utama Gopal Sri Ram berhujah bahawa Saiful bukan saksi berwibawa.

angeet menegaskan tindakan Mahkamah Rayuan mendapati Saiful sebagai saksi berwibawa tidak boleh dipertahankan kerana dia tidak membuat pengakuan.

Sangeet berkata, DNA daripada Anwar diperoleh daripada sel tempat dia ditahan sebelum ini.

Pendakwaan, katanya, gagal menghubungkan “male Y” kepada kes itu.

“Mahkamah Rayuan tidak boleh bergantung kepada keadaan di mana bukti langsung datang daripada pengakuan pegawai polis yang menjaga sel itu,” katanya.

9.45am Surendran memulakan penghujahan dengan memetik kenyataan pelbagai pihak berhubung keadaan daripada kandang tertuduh yang turut memberi kesan.

Anwar satu-satunya pihak yang memberi kenyataan daripada kandang tertuduh, yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati beliau tidak bersalah sebelum ini.

Tertuduh mempunyai tiga pilihan untuk pembelaannya sama ada memberi keterangan daripada kandang saksi, berdiam diri atau memberi kenyataan tidak bersumpah daripada kandang yang tidak boleh disoal balas.

“Mahkamah patut mempertimbangkan kenyataan Dr Mohd Osman yang bertentangan dengan Saiful. Mahkamah Rayuan patut mengambil kira kekuatan pengakuan Anwar di mahkamah yang mana ia sepenuhnya tidak endahkan.

“Ini menyebabkan penyalaharahan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan,” kata Surendran.

9.40am: Mahkamah mula bersidang selepas ketua hakim negara mengambil tempat.

9.30am: Shafee tiba.

Anggota Parlimen Sepang Mohd Hanipa Maidin yang juga seorang peguam turut berada dalam mahkamah.

Turut kelihatan naib presiden dan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli.

9.20am: Mahkamah kini padat dan pihak tidak mendapat pas masuk diminta keluar.

Peguam utama Anwar Gopal Sri Ram semalam membayangkan beliau akan tiba lewat hari ini dan membenarkan peguam lain menjalankan penghujahan terlebih dahulu.

Peguam pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah dijangka tiba tidak lama lagi.

Prosiding mahkamah dijangka bermula 9.30 pagi.

9.00am: Keadaan sedikit kecoh ketika Anwar ingin memasuki kawasan Istana Kehakiman apabila penyokong mula menolak kembali pagar halangan.

Bagaimanapun pihak polis segera membuka pagar tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar dan menghalang orang awam daripada melepasi pagar tersebut.

Anwar yang berbaju kemeja putih dan kot hitam ditemani isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dua orang anak perempuannya kemudian melambai kepada penyokong sebelum memasuki mahkamah.

8.57am: Anwar tiba di perkarangan Istana Kehakiman untuk bertemu penyokong sebelum menghadiri sesi pendengaran rayuan kes liwat II.

Kesemua penyokong kini mula mengerumuni Anwar untuk bersalaman dan bergambar dengannya.

8.50am: Naib Presiden PKR Tian Chua kini berucap di hadapan penyokong Anwar.

Tian berkata, beliau sebentar tadi telah cuba meminta kebenaran daripada pihak polis untuk berhimpun di hadapan Istana Kehakiman tetapi tidak dibenarkan.

"Tadi saya minta untuk berada berdekatan dengan mahkamah. Hari ini kita lagi jauh. Hari ini kita diarah untuk berada di belakang sini.

"Kita minta supaya kita berada di depan mahkamah untuk lakukan himpunan tapi polis tak benarkan," kata Tian.

Turut hadir pada perhimpunan hari ini ialah Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Kesemua penyokong pro-Anwar kini dianjak kira-kira beberapa meter ke belakang berbanding semalam.

Jarak penyokong berhimpun daripada Istana Kehakiman kira-kira 300 meter.

8.40am: Peguam wakili Anwar mulai masuk ke mahkamah. Antara mereka Eric Paulsen, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal.

Wartawan pula duduk di bahagian kiri mahkamah sementara pemerhati antarabangsa, yang mula sampai, di sebelah kanan.

Semalam, hari permulaan pendengaran rayuan akhir, dewan mahkamah padat dengan kira-kira 80 orang hadirin, termasuk wartawan, pemerhati dan penyokong Anwar.


8.38am: Ketika tiba di perkarangan Istana Kehakiman, penyokong mula menolak pagar halangan yang diletakkan oleh Perbadanan Putrajaya bagi menghalang orang ramai daripada memasuki mahkamah.

Mereka mula menarik pagar halangan itu dengan menjerit "tolak".

Bagaimanapun pasukan polis menahan pagar berkenaan daripada dirempuh.

Seramai kira-kira 50 orang anggota polis mengawal di pagar halangan.

Selepas itu, keadaan mulai terkawal selepas Nik Nazmi meminta supaya semua penyokong bertenang.

8.25am: Kira-kira 300 orang berpakaian kemeja-t merah dan hitam, diketuai pemimpin PKR Nik Nazmi Ahmad dan Tian Chua berarak daripada Masjid Tuanku Mizan ke Mahkamah Kehakiman tidak jauh daripada tempat itu.

Mereka membawa kain rentang bertulis “Rakyat Hakim Negara” dan plakad “Keadilan untuk Anwar”.

Kira-kira 200 orang lagi berkumpul di kompleks mahkamah.

8.20am: Sudah berada di dewan mahkamah ialah timbalan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Hanafiah Zakaria dan peguam Saiful Zamri Idrus.

8:05am: Kakitangan mahkamah tiba awal dan mereka melalui sekatan yang dibuka oleh polis di pintu masuk belakang kompleks mahkamah.

Beberapa ahli politik PKR dan PAS yang sudah berada di dalam bangunan. Ia termasuk MP Kelana Jaya Wong Chen, Naib Presiden PAS Sallehuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, ADUN Batu Buruk Syed Azman Syed Mohamad dan bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

8.00am: Jumlah penyokong di luar Masjid Mizan Zainal Abidin Tuanku semakin ramai dan kini mencecah 100. Antara mereka ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dan aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli.

Adam dan empat orang lain bermain muzik untuk memberi semangat kepada orang ramai pada awal pagi.

Turut kedengaran teriakan 'Allahuakhbar', 'Reformasi' dan 'Bebas Anwar'.

7.20am: Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di seberang jalan dari Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini.

Antara mereka ialah anggota NGO Royalti dari Kelantan. Yang lainnya datang dari Kedah dan Pulau Pinang semalam dengan menaiki bas sewa khas.

Ramai yang menjangkakan keputusan dibuat hari ini walaupun prosiding boleh berlarutan sehari lagi atau lebih.

Sepertimana semalam, kelihatan kehadiran anggota polis yang ramai dan kawalan keselamatan yang ketat dengan sekatan di jalan-jalan utama menuju ke kompleks mahkamah.

Latar kes

Rayuan terakhir terhadap sabitan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersambung hari ini di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Pasukan pembelaan akan turut merayu terhadap hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar dan pendakwaan akan membuat rayuan balas untuk memanjangkan tempoh penjara terhadap ketua pembangkang.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria mengetuai panel lima anggota dalam perbicaraan yang turut menyaksikan kehadiran pemerhati antarabangsa di samping sambutan luar biasa hadirin dalam mahkamah.

Paling mengejutkan semalam apabila bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram yang bersara pada 2010, mengepalai pasukan pendakwaan Anwar.

Beliau menggantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang tidak sihat.

Gopal semalam menyampaikan hujahnya dengan mencabar kewibawaan Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi utama.

Peguam pembelaan N Surendran akan meneruskan hujahnya hari ini. MK

28 Oktober 2014

Misi Pencarian MH370 Dekat Dihati Houston

KUALA LUMPUR: Disebalik misi pencarian pesawat MH370, seorang warga Australia yang disegani dalam dunia ketenteraan berbesar hati membantu Malaysia.
"Saya sangat terkejut dan sedih apabila mengetahui insiden MH370. Sebagai orang yang pernah bekerja, tinggal dan bersama rakyat Malaysia, saya sangat memahami sejarah dan budaya negara itu.

"Saya antara orang yang paling mudah tersentuh dan sensitif ketika bekerjasama dengan rakyat Malaysia dalam usaha mencari MH370," jelas kata Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston,  bekas ketua Pusat Penyelaras Koordinasi Agensi Bersama Australia (JACC).

Houston yang terkenal sebagai seorang yang tenang, pernah bekerja di Butterworth pada 1999 sebagai Komander Sistem Pertahanan Kawasan Bersepadu (IADS)-program pertahanan lima negara.

Houstan berkata, ketika berada di Malaysia sebelum ini, beliau pernah bekerjasama dengan beberapa individu penting negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Houstan antara nama penting dalam dunia ketenteraan sebelum bersara pada tahun 2011 dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Tentera Udara.

Malah sebelum itu juga beliau bergelar Ketua Angkatan Tentera.

"Saya banyak terlibat dengan misi penting antaranya MH370 serta MH17," katanya.

Mengimbas kembali ketika mengetuai JACC, beliau diminta untuk memantau semua aktiviti yang melibatkan kawasan pencarian dan turut menguruskan keluarga mangsa MH370 yang datang ke Australia.

"Untuk memastikan insiden ini ada jawapan, saya berharap pencarian di lautan dalam akan berjaya," jelasnya.

Houstan dilantik sebagai wakil khas ke Ukraine bagi membantu mencari, mengenalpasti dan menghantar balik mangsa-mangsa MH17 ke Australia.

MP: FGV mungkin alami nasib seperti MAS

MP DAP, Tony Pua bimbang sekiranya Felda Global Ventures Holdings (FGV) mengalami nasib sama seperti syarikat Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) dan Malaysia Airlines System (MAS) yang menurutnya kini tenat.

MP Petaling Jaya Utara itu, berkata FGV mencatat prestasi buruk secara konsisten dalam tempoh dua tahun ini.

Keadaan ini berlarutan dengan kemerosotan harga sahamnya sebanyak 36.77 peratus dari 2012 hingga Oktober tahun ini, katanya.

Kemerosotan itu menyebabkan pelabur FGV – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) – kini kerugian lebih RM1 bilion secara keseluruhan dari 20 peratus pegangan mereka.

Ini, tidak termasuk kerugian daripada pegangan 40 peratus secara terus oleh kerajaan dan agensinya,18.9 peratus oleh peneroka Felda serta 5 peratus pegangan kerajaan negeri Pahang, katanya.

"Pengurusan tertinggi FGV telah diberi masa yang cukup dan wajib mengambil tanggungjawab (ke atas) prestasi buruk ini.

"Kerajaan perlu mengambil langkah yang perlu sebelum FGVH menjadi terlalu berhantung kepada kerajaan," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Pua sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata kejatuhan FGV berpunca daripada pasaran utama minyak sawit mentah di Eropah, Amerika Syarikat dan China mengalami pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan.

Selain persaingan daripada lain-lain minyak sayuran alternatif seperti minyak soya yang sedang meningkat, kejatuhan ini adalah kerana permintaan yang rendah dan juga saingan dari minyak sayuran lain seperti minyak soya, maka terkumpul stok simpanan minyak sawit mentah yang banyak.

Pua membidas jawapan itu kerana FGV telah menunjukkan prestasi buruk secara konsisten berbeza dengan industri pertanian yang baik berbeza dengan syarikat kelapa sawit lain yang turut menghadapi keadaan serupa berikutan kejatuhan harga sawit di serata dunia.

Beliau menunjukkan data perbandingan antara syarikat pertanian seperti IJM Plantations, IOI Corp, Genting Plantations dan Sime Darby sendiri yang turut mengalami kejatuhan stok tetapi hanya antara 1.6 peratus hingga 6.3 peratus, berbeza dengan kejatuhan lebih 30 peratus FGV. TMT
 

Selepas kejayaan program Anwar di UM, Fahmi harap tamatkan pengajian

Fahmi Zainol (dua dari kiri) dan rakan seperjuangannya dalam PMUM nekad meneruskan program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. – Gambar The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2014.
Selepas memimpin rakan-rakannya merempuh pintu masuk Universiti Malaya malam tadi, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol masih tenang dan berharap dapat menamatkan pengajiannya Jun tahun depan walaupun sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Saya masih okay, dan yakin dapat habiskan pelajaran saya yang tinggal satu semester lagi, iaitu sehingga pertengahan tahun depan," kata Fahmi kepada The Malaysian Insider pagi ini.
Semalam, beliau bersama rakan mahasiswa dan ratusan aktivis muda memaksa pagar universiti yang ditutup pengawal keselamatan dibuka bagi membolehkan mereka memasuki kampus dan menjayakan program "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara" di Dataran Dewan Tunku Canselor.
Pelajar Universiti Malaya merempuh masuk halangan di pintu masuk UM, malam semalam. – Gambar The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2014.Ketua Pembangkang yang juga pemimpin pelajar UM kira-kira 40 tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudiannya menyertai mereka dan memberi ucapan terakhir menjelang perbicaraan beliau hari ini.
Anwar sedang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi membuat rayuan agar hukuman lima tahun penjara yang dijatuhkan ke atas beliau oleh Mahkamah Rayuan diketepikan.
Ketika dihubungi, Fahmi dan rakan-rakannya sedang dalam perjalanan ke Putrajaya bagi menyertai perhimpunan di perkarangan Istana Keadilan dan mengikuti perbicaraan Anwar.
"Saya mahu membawa anak muda memimpin pula, kerana masa orang tua dah nak habis. Saya fokus mahu anak muda, khasnya mahasiswa, memimpin negara," kata Fahmi.
Pelajar Universiti Malaya merempuh masuk halangan di pintu masuk UM, malam semalam. – Gambar The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2014.
Bagi Fahmi, 23, yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang, beliau mahu anak muda diberi peranan menentukan masa depan negara dan beliau tidak akan berhenti sekadar program malam tadi.
Fahmi Zainol (dua dari kiri) dan rakan seperjuangannya dalam PMUM nekad meneruskan program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. – Gambar The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2014.Pelbagai pihak menjangka pihak pengurusan UM dan kerajaan akan bertindak terhadap Fahmi, namun Fahmi berkata tidak ada tindakan dikenakan buat masa ini.
"Buat masa ini tidak ada apa-apa lagi," kata Fahmi yang bertemu dengan Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin semalam bagi membuat permohonan terakhir bagi menganjurkan majlis Anwar itu.
"Semasa berjumpa dengan Naib Canselor, dia nampaknya okay, takdalah sampai mahu buang saya (dari universiti)," kata Fahmi, pelajar tahun akhir Pentadbiran dan Keadilan Sosial di bawah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam kerana kecemerlangannya dalam pelajaran.
Beliau dan rakan-rakannya dalam PMUM menganjurkan program bersama Anwar itu meskipun mendapat bantahan pihak universiti.
Walaupun disekat, termasuk pintu utama dikunci dan lampu di kawasan dataran itu dipadamkan sepenuhnya, Anwar berjaya berucap di dataran itu di depan lebih 2,000 pelajar dan orang ramai.
Pelbagai pihak memuji keberanian Fahmi dan rakan-rakannya dalam melawan sekatan terhadap kebebasan pelajar dan akademik.
"Apa yang kita lihat sekarang adalah perubahan, sekarang kita lihat anak muda bangun penindasan.
"Saya puji Fahmi yang bangkit melawan sikap autokratik pentadbiran UM dan kita puji mereka," kata penaung pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Negara-ku, Datuk Ambiga Sreenevasan, semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bantah Akta Hasutan malam tadi di Dewan Sivik, Petaling Jaya.
Pada masa sama, Ambiga menyelar kepimpinan Pemuda Umno yang disifatkan tidak boleh dipercayai kerana menyokong Akta Hasutan.
"Kita lihat pemimpin muda mereka menyokong Akta Hasutan, mereka akan guna akta sama ke atas kita, kita perlu pilih, adakah pemimpin seperti ini yang kita mahukan?" katanya. TMI

27 Oktober 2014

Dapatkah MAS harungi semula zaman gemilang?



KUALA LUMPUR - Penerbangan Malaysia (MAS) menerbangkanpuluhan ribu penumpang setiap hari dan ramai memilih syarikat penerbangan ini kerana ingin menikmati kehebatan "Kemesraan Malaysia".


Sepanjang tempoh lebih 30 tahun perkhidmatannya, MAS memenangi banyak anugerah dan yang paling menyerlah adalah bidang perkhidmatan dalam pesawat di samping menjadi syarikat penerbangan pilihan dalam kalangan para penumpang dan pelancong antara benua.

Tetapi sejak kebelakangan ini pencapaian membanggakan MAS nampaknya tinggal sejarah ekoran kerugian besar yang dialaminya dan dua insiden malang membabitkan pesawatnya.

Syarikat penerbangan ini mencatatkan kerugian rekod sebanyak RM2.5 bilion pada 2011 dan kerugian berterusan pada 2012 dan 2013 dengan tahun ini sahaja penganalisis menjangka syarikat ini akan melaporkan kerugian operasi hingga RM2 billion.

Imej MAS terus tercalar pada 2014 dengan kehilangan penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac dengan pesawat itu masih belum ditemui hingga hari ini dan penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai.

Sejarah MAS melalui zaman gelap sejak formula pengswastaan pada 1990-an tidak dapat bertahan dan terpaksa diambil alih oleh Kerajaan Malaysia.

Walaupun dalam keadaan serba longlai, MAS terus melangkah menghadapi pelbagai rintangan. Nasib tidak menyebelahi MAS apabila pada lewat 1990-an dan selepas alaf baru syarikat-syarikat penerbangan kos rendah yang berpangkalan di Indonesia, Singapura dan di Malaysia sendiri mula beroperasi dan dalam ertikata lain merebut penumpang yang dahulunya "milik MAS".

Ternyata dilema syarikat penerbangan ini semakin dirasai. MAS dilihat mula menilai tinggi atau rendah kedudukannya berbanding syarikat penerbangan lain di dunia, dan kedudukannya sebagai entiti korporat.

Namun, fakta dan hakikatnya adalah industri penerbangan tidak menyebelahi MAS. Industri penerbangan menjadi begitu mencabar dalam dua dekad kebelakangan ini.

Faktanya ialah keuntungan terkumpul industri penerbangan global selama 30 tahun (1970 sehingga 2000) lesap dalam 10 tahun (2000 sehingga 2010) kerana kerugian yang dialaminya.


Persaingan menjadi amat getir dan semakin menebal. Kebanyakan syarikat penerbangan menstruktur semula operasi masing-masing untuk memastikan
kelangsungan kewujudan mereka.


Rata-rata, Cathay Pacific, SIA dan Japan Airlines (JAL) bertindak menstruktur semula, namun hasilnya agak sedikit.

BERGIAT DALAM SEKTOR YANG MENCABAR

Industri penerbangan tidak berkembang dengan lonjakan berganda. Ia hanya melalui "rudimentary growth". Penyelidikan menunjukkan antara 50 hingga 70 peratus penumpang udara didorong oleh harga rendah.

Walaupun pesawat penuh, tetapi keuntungan yang dicatat hanyalah sedikit. Meskipun ada pelbagai strategi diskriminasi harga dengan tujuan mengoptimum penumpang dan keuntungan namun ternyata tipis pulangannya.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh kewujudan pengendali penerbangan kos rendah, dan ini adalah realiti industri penerbangan zaman ini. Ini sangat ketara bagi sektor domestik, dengan pengendali penerbangan kos rendah menguasai sebahagian besar pasaran penumpang di mana sahaja mereka beroperasi.

Abad ke-21 juga menyaksikan pelbagai peristiwa dan kejadian dahsyat yang mempengaruhi perjalanan orang ramai. Peristiwa 9/11 2001, wabak SARS, MEIRS, dan kini EBOLA, campurtangan Amerika Syarikat di Iraq dan Libya, dan keganasan Israel di Gaza secara umumnya meninggalkan kesan negatif kepada industri penerbangan.

Paling terkini, dua insiden membabitkan pesawat MAS memburukkan lagi keadaan.

MAS TETAP BERSEMANGAT    

MAS wajar dipuji kerana walaupun berhadapan dengan kritikan dan cemuhan, ia terus melangkah penuh bersemangat. Ini dapat dilihat apabila pengurusan dan pemiliknya, Khazanah Nasional, menunjukkan semangat juang yang tinggi melalui pelan pemulihan syarikat penerbangan ini.

Pelan pemulihan itu juga menjanjikan jenama "Malaysia Airlines" terus menghiasi ruang udara dengan megahnya. Ia adalah satu jaminan bahawa MAS akan memiliki peluang untuk terus wujud dan beroperasi sebagai syarikat yang mampu terus bersaing dan memberi impak kepada industri penerbangan terutama di Asia dan dunia.

Perancangan ini wajar dilihat daripada segi sejauh mana ia praktikal. Peruntukan RM6 bilion adalah wajar untuk menstruktur syarikat penerbangan ini dan ia jelas memperlihatkan keazaman politik dalam membantu MAS meneruskan usaha sebagai sebuah entiti korporat.

Langkah pengurangan pekerja kepada 14,000 daripada 20,000 orang adalah juga wajar kerana entiti baru MAS kelak harus diberi peluang supaya mempunyai kapasiti seimbang dan tidak berat sebelah.

Ini membantu mencapai nisbah modal insan yang mantap. Semua ini adalah langkah-langkah wajar. MAS perlu dibantu dan diberi impak lonjakan berganda agar produktivitinya meningkat dan ia dapat berfungsi sebagai penyambung agenda sektor penerbangan negara.

PELAN PEMULIHAN WAJAR DIBERI PELUANG


MAS juga perlu diberi peluang untuk menyerlahkan penampilan baru yang penuh kredibiliti dan integriti. Ringkasnya, MAS mesti dibantu dengan
bersungguh-sungguh.


Selaras dengan perancangan kerajaan untuk memperkasa MAS adalah disaran supaya masyarakat umumnya menjadi pemerhati dan hakim dalam memberi kritikan yang bernas, adil dan tidak berat sebelah.

Tidak salah membuat teguran dan kritikan bercorak rasional dan objektif. Hakikatnya industri penerbangan sememangnya penuh dengan liku dan ranjau. Ia amat dipengaruhi oleh pelbagai fenomena global. Namun, kelemahan dalam organisasi tetap perlu diberi perhatian serius oleh pihak pengurusan.

Pada masa yang sama syarikat penerbangan itu hendaklah menggariskan satu sistem keutamaan yang bertepatan dengan keperluan organisasi serta pemantauan dibuat tanpa henti. Ia sebaiknya diselaraskan supaya konsisten dengan langkah" pengurusan terbaik" dan "amalan terbaik" syarikat-syarikat penerbangan terkemuka dunia.


"MAS juga perlu memastikan terdapat mekanisme untuk memantau kesemua perniagaannya supaya segala-galanya konsisten dan wajar selaras dengan
kewujudannya".


Akhirkata, langkah pemulihan ini akan membolehkan MAS menampilkan strategi tersusun kemas dengan langkah-langkah penambahbaikan. Ia dilihat beriltizam untuk wujud sebagai sebuah syarikat penerbangan negara yang akan beroperasi dengan lebih berkesan dan berdaya saing di mana destinasi Asia akan lebih diutamakan.

Pelan pemulihan ini menjanjikan keseragaman wawasan dalam membantu MAS kembali "terbang tinggi" seperti yang diharapkan semua pihak di Malaysia.


Dr Syed Raisudin Syed Abdullah ialah lulusan Doktor Falsafah di bidang Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dan seorang Konsultan Pembangunan Organisasi. 

Bernama