SPECIAL ADS

8 Oktober 2014

Bantah 'Najib PM 20 sen' di hadapan parlimen


KUALA LUMPUR: Hampir 200 orang hari ini berhimpun di hadapan bagunan parlimen, bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ekoran kenaikan harga minyak dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan.

Mereka yang terdiri daripada Gabungan Bantah GST (Bantah) dan Protes Harga Minyak (Protes) serta beberapa NGO lain itu mula berarak dari Tugu Negara kira-kira jam 10.15 pagi.

Turut menyertai himpunan itu Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diketuai Suhaizan Kaiat, NGO dan aktivis Asal Bukan Umno (Abu), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Mereka membawa kain rentang dan plakad antara lain bertulis 'Najib PM 20 sen', 'hentikan penipuan ini' 'GST cukai yang memiskinkan rakyat' serta 'penderitaan rakyat kesenangan kerajaan'.

Sepanjang perarakan itu memera turut melaungkan slogan 'minyak naik rakyat susah' dan 'turun harga minyak, bantah GST'.

Berlaku sedikit tolak menolak ketika peserta himpunan tiba 100 meter dari pintu pagar parlimen, apabila pasukan keselamatan cuba memberhentikan mereka.

Keadaan bagaimanapun terkawal apabila penganjur bersetuju untuk mengambil tempat di atas bahu jalan.

Kehadiran mereka kemudiannya disambut sebahagian besar ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat diketuai Ketua Whip Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar.

Tujuh wakil mereka kemudian dibenarkan masuk diiringi ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat bagi menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan.

Memorandum itu antara lain menuntut Perdana Menteri membatalkan pengurangan subsidi minyak yang mengakibatkan harga minyak naik lagi 20 sen bermula 3 Oktober lalu serta menghentikan rancangan pelaksanaan GST yang dijadual April tahun hadapan.

Mereka juga menggesa ahli-ahli parlimen membawa usul tergempar berkaitan perkara itu.

Memorandum tersebut kemudian berjaya diserahkan kepada Pegawai Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Zain Zainal.

Memorandum sama turut diserahkan kepada Pegawai Khas kepada Setiausaha Kelab Penyong BN, Omar Daud.

Bagi pihak Pakatan, memorandum diterima oleh Mahfuz sendiri.

Bercakap kepada media selepas itu, Mahfuz berkata, seluruh ahli parlimen Pakatan Rakyat berjanji akan membangkitkan tuntutan dalam memorandum tersebut pada persidangan kali ini.

"Bagi pihak MP Pakatan Rakyat, kami menjiwai perjuangan rakyat yang dibawa oleh anda sekalian.

"Saranan dari anda semua akan kami bawa ke perbahasan parlimen sama ada pada sesi perbahasan bajet atau sesi soalan-soalan," katanya.

Himpunan bersurai dengan aman kira-kira sejam kemudian. HK

Tiada ulasan: