SPECIAL ADS

5 Oktober 2014

Mahathir guna ISA, Najib guna akta hasutan


SAYA juga selalu menegur dan menyindir istana, tapi tidak setegas Dr. Aziz Bari ketika dia mengulas mengenai derhaka dan hubungannya dengan jenayah dalam forum  PasMa di KL.
      
Apabila saya terbaca beritanya, saya terasa Dr. Aziz hendak mencari susah. Pertama ia boleh menyempit jalan bagi jadi Menteri Besar pada masa akan datang. Kedua, kemungkinan dia akan dipanggil polis.

Dugaan saya tepat.  Pakar undang-undang itu sudah pun dipanggil polis  mengikut peruntukan akta hasutan yang kini memburu banyak orang.
     
Dr. Aziz adalah ahli ilmuwan  yang kedua menjadi sasaran akta hasutan. Yang pertama kurang dari sebulan lalu iaitu seorang pensyarah undang-undang Universiti Malaya. Anwar Ibrahim juga sudah dipayahkan oleh akta ini apabila dicari polis tentang penyertaannya dalam satu perhimpunan di Gombak sekitar tiga tahun lalu.
      
Akta hasutan ini sudah biasa digunakan sebelum ini. Tetapi mengikut  bahasa P. Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang tindakan itu, ‘Jarang, jarang.’ Buat tempoh beberapa bulan kebelakang ini kuat kuasa akta hasutan ini macam menyolok mata. Tidak sampai beratus. Tetapi dikira banyak/berlebihan buat satu masa yang pendek.
     
Ia seolah-olah  seperti menyalahkan ulasan  Tun Musa Hitam atas tempelak Dr. Mahathir  terhadap PM Najib. JusteruNajib dikatakan lemah, Mahathir pun menarik sokongannya kepada  PM. Komen Tun Musa kira-kira masa Najib ini dia tidak banyak  orang yang ditangkap.
     
Lepas itu banyak pula orang jadi sasaran  akta hasutan. Sekarang ia seolah-olah satu wabak pada  masyarakat kita.
    
Sindiran Musa itu adalah menggambarkan masa sebelum Najib Piem-Piemnya  banyak menggunakan ISA bagi menangkap dan memenjarakan orang tanpa bicara.
   
Umum mengira, ISA itu digunakan bagi  menakutkan orang dan menindas pembangkang/pengkritik pemimpin dan kerajaan. Mangsa ISA yang menyolok mata ialah penangkapan besar dalam Operasi Lallang dan peristiwa berdarah Memali. Malah Mahathir juga memenjarakan Timbalan Perdana Menterinya , Anwar Ibrahim yang mengancam politiknya.
      
Sebelum ini, Mahathir dikira menzalimi penentangnya dengan ISA tetapi dengan bilangan  menyolok mata yang diburu di bawah akta hasutan sekarang pentadbiran Najib sudah dikira mennggunakannya bagi  menindas pengkritiknya.
      
Najib memansuhkan ISA kerana ia dikatakan kejam. Tindakannya disambut baik, tetapi sekarang polisnya menggunakan akta hasutan terhadap pengkritiknya.
      
Jangan dibezakan mana lebih buruk antara ISA dan akta hasutan? Kedua-duanya adalah akta yang menindas. Mahathir memilih ISA. Hampir tidak dilihat dia menggunakan akta hasutan. Pada zamannya, kerajaan dan penyokong terlibat  dalam banyak kejadian yang menyanggah akta hasutan.
      
Penyokong Umno bersama Dr. Mahathir bertempur dengan istana. Raja-raja bukan sekadar dikritik bahkan ada percubaan menobat raja lain bagi mengambil takhta Sultan Kelantan. Sehingga raja-raja pada masa seperti tinggal gusi dan lidah saja.
      
Umno tidak membuat bantahan terbuka atas pelanggaran akta itu. Kerajaan berdiam diri saja.  Kalau kerajaan Umno dulu tidakmeanggunakan akta itu, mengapa pula  kerajaan Umno di bawah Najib secara sewenang-wenang menggunakan akta yang Mahathir tidak gunakan?
     
Justeru ancaman akta itu digunakan sebegitu menyolok mata, maka ia dikira tindakan terakhir kerajaan untuk menindas rakyat, ia akan mengganggu perkembangan demokrasi, kebebasan bersuara. Akta ini juga dilihat mahu menghalang  kewujudan  amalan sistem dua parti yang  baru berkembang itu. Jika ia diteruskan, akan mengekalkan terus Umno sebagai monopoli kuasa yang tidak boleh dipersoal. 
     
Ketika Mahathir mahu rakyat jangan takut menegur peminpin, Umno tidak segan-segan memburu seorang demi seorang dengan akta hasutan sebagai senjatanya. 

Subky Latif

Tiada ulasan: