SPECIAL ADS

6 Oktober 2014

'Demo 8 Okt sebab rakyat tak tahan lagi'

Pemuda PAS hari ini menyeru orang ramai menghadiri protes menentang kenaikan harga minyak di parlimen pada 8 Oktober ini.

Ketuanya Suhaizan Kaiat (bawah) menyeru orang ramai menunjukkan kemarahan mereka dalam perhimpunan itu kerana rakyat sudah tidak tertahan lagi dengan peningkatan bebanan hidup.

“Saya sendiri bersama pimpinan exco Pemuda PAS akan turun bersama bagi menyatakan sokongan terhadap (NGO) PROTES.

“Saya juga ingin mengajak seluruh anak muda supaya dapat hadir bersama-sama dalam himpunan ini,” katanya.

PROTES, sebuah kumpulan yang rapat dengan PAS pada 2 Oktober lalu mengumumkan perhimpunan bantahan itu pada pagi 8 Oktober 2014di pintu hadapan parlimen di Kuala Lumpur.

Jurucakap Sekretariat PROTES Aiman Athirah Al Jundi mengumumkan acara itu sebagai bantahan terhadap “kemelut ekonomi yang bertimpa-timpa”, daripada kenaikan harga minyak kepada pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan.

Aiman Athirah berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkir janji apabila menaikkan harga minyak walaupun manifesto dan janji pilihan raya BN terdahulu menyebut sebaliknya.

Kesan berantai

Beliau juga berhujah, kenaikan 40 sen seliter dalam tempoh setahun sangat besar jika dilihat kepada kesan berantai terhadap harga barang dan perkhidmatan dalam keadaan pergerakan tangga gaji hampir tiada.

“Sehingga kini kerajaan gagal memberikan alasan yang munasabah dan meyakinkan rakyat,” kata Aiman Athirah (bawah, berucap) dalam kenyataannya pada hari pertama kenaikan harga minyak.

Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan berkata, sudah tiba masanya rakyat digerakkan bangkit membantah kenaikan harga minyak.

Katanya,sebagai negara pengeluar minyak petroleum, rakyat berhak menikmati pelbagai kemudahan hasil kekayaan bumi di negara sendiri.

Lebih menyedihkan, kata Suhaizan, ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol di negara, harga minyak petrol di Eropah jatuh merudum di kebanyakan negara.

Harga minyak petrol RON95 dan diesel naik 20sen seliter berkuat kuasa 2 Oktober lalu.

RON95  naik daripada 2.10 kepada RM2.30 seliter dan diesel pula daripada RM2 kepada RM2.20.

Penyelarasan harga itu dibuat ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20sen atas antaranya atas alasan memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh. MK

Tiada ulasan: