SPECIAL ADS

1 Oktober 2014

'Bohong jika hanya perlu bayar RM46 GST'


MP Sungai Siput, Dr D Jeyakumar mendakwa jurucakap kerajaaan bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berbohong mengenai kadar yang bakal ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

Jeyakumar yang juga pemimpin NGO Komuniti anti-GST berkata pengiraan oleh kerajaan yang mendakwa golongan berpendapatan RM2,000 sebulan ke bawah hanya perlu membayar RM46.94 adalah tidak benar.

Katanya, kiraan oleh Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Siti Halimah Ismail itu tersasar kerana kadar GST sebanyak enam peratus itu akan menyebabkan golongan terbabit menanggung RM120 daripada perbelanjaan sebanyak RM2,000.

"Cuba kamu kira, kalau enam peratus dari pembelanjaan RM2,000 adalah RM120 tetapi dengan segala pembelanjaan dia kata (Siti Halimah Ismail) hanya RM46.94," katanya.

Beliau merujuk kenyataan Siti Halimah yang dilaporkan akhbarThe Star, 16 September lalu.

“Apa yang dikatakan adalah bohong, jangan buat andaian yang tidak tidak masuk akal dan kami cabar beliau untuk berdebat secara terbuka,” katanya lagi.

Beliau juga menuntut agar Halimah menjelaskan kiraan tersebut dalam laman web rasmi GST.

“Tunjukkan kami modul kamu dan paparkan pada laman web GST dan pihak kami akan membawa pakar perkiraan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya memulangkan kutipan GST kepada golongan berpendidikan rendah dalam bentuk bayaran RM120 sebulan.

“Kami akan bersetuju sekiranya kerajaan kata keluarga yang berpendapatan RM2,000 ke bawah kita akan bagi pemindahan wang terus ke akaun bank setiap bulan dan setiap orang akan mendapat RM120 seorang setiap bulan.

"Kalau dia buat macam itu lebih progresif,” kata pemimpin Parti Sosialis Malaysia itu lagi ketika ditemui pemberita semasa beliau mengedarkan risalah kempen menolak GST di pintu masuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kempen disertai 30 aktivis mahasiswa dan juga dari NGO JERIT dan kesatuan NUBE mensasarkan pengunjung yang hadir ke expo penerangan GST anjuran kerajaan di pusat konvensyen itu. Mk

Tiada ulasan: