SPECIAL ADS

31 Oktober 2014

Bajet 2015: Belanja pengurusan tinggi ketika rasuah kerajaan melebar

Belanja pengurusan dalam Bajet 2015 terlalu tinggi ketika rasuah dan ketirisan kerajaan makin melebar, kata bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Oktober, 2014.
Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengkritik Bajet 2015 yang memperuntukkan belanja pengurusan hampir 80% ketika rasuah dan ketirisan kerajaan melebar.
Bekas menteri kewangan itu berkata, sedekad lalu peruntukan pembangunan adalah  sekitar 30% tidak lagi dinikmati sekarang dan ianya semakin merosot.
"Bahagian peruntukan kemudahan asas ini kian merosot degan bertambahnya belanjawan pengendalian (pengurusan).
"Peruntukan pembangunan yang melebihi 30% sedekad dulu sekarang merosot menjadi hanya  lebih kurang 15% daripada jumlah cadangan belanjawan 2015," katanya dalam sepucuk surat kepada ahli Parlimen yang dikeluarkan semalam.
Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet keenamnya bertemakan Ekonomi Keperluan  Rakyat, memperuntukkan sejumlah RM273.9 bilion.
Jumlah itu meningkat RM9.8 bilion berbanding peruntukan 2014.
Daripada jumlah itu, RM223.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus  manakala  RM50.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Tengku Razaleigh yang juga dikenali  sebagai Ku Li mempertikaikan langkah tersebut,  membangkitkan isu rasuah dan ketirisan dalam kerajaan seperti yang dilaporkan Laporan  Ketua Audit Negara setiap tahun.
"Dengan pendedahan oleh Ketua Audit Negara mengenai pembaziran, perbelanjaan boros, kerugian tidak bertanggungjawab, ketidakcekapan mutlak serta amalan rasuah tegar kecilan dan besar-besaran, kita sebagai rakyat biasa dan pembayar cukai seharusnya dimaafkan sekiranya menunjukkan kemarahan tanpa had terhadap keadaan ini," katanya.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, kerajaan sepatutnya menangani isu rasuah dan ketirisan yang menjadi punca kepada peningkatan belanja pengurusan.
"Kita seharusnya sudah berjaya meningkatkan kecekapan selama ini dan mengurangkan belanjawan pengendalian yang tinggi mendadak selama ini," katanya.
Beliau mencadangkan supaya setiap agensi kerajaan ditempatkan seorang pegawai audit negara bagi memantau dan menjamin ketelusan, serta memperkukuh penguatkuasaan.
"Saya cadangkan setiap kementerian dan agensi kerajaan dilengkapi dengan cabang pejabat Ketua Audit Negara demi mempastikan perbelanjaan awam dilaksanakan mengikut tatacara urusan dengan teratur dan bertanggung jawab.
"Selain Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Parlimen juga perlu mewujudkan Ombudsman yang bertindak bebas dan bertanggung jawab terus kepadanya. Di samping itu kita perlu mengawal dan membanteras rasuah melalui pengukuhan Akta Acara Kewangan melalui kajian semula dan pengukuhannya.
Tengku Razaleigh berkata, isu rasuah sebenarnya penyumbang utama kepada kos sara hidup yang semakin tinggi di mana akhirnya pembayar cukai dan rakyat terbeban.
"Rasuah juga menambah kos sara hidup dan beban kepada semua.
"Apabila projek pembangunan, sama ada kecil atau besar, dinaikkan harga yang lebih daripada berpatutan, margin keuntungan kontraktor akan dilindung daripada terjejas dengan memindahkan kos itu kepada pengguna dan pembayar cukai," katanya.
Beliau berkata, ekonomi negara terlalu bergantung ke atas badan eksekutif, sekali gus menyebabkan pelbagai ketirisan dan salah guna kuasa berterusan.
"Ini menyebabkan kuasa terus terkumpul di tangan badan eksekutif. Ini menyebabkan berterusannya amalan pelaksanaan projek “untung atas angin” oleh pihak ketiga (rent seeking), politik naungan, amalan pemerintahan tidak telus dan rasuah yang meluas.
"Maka itu tidaklah hairan sekiranya Malaysia dilihat sebagai salah sebuah negara terburuk mengenai kejujuran dan integriti," katanya.
Tengku Razaleigh sebelum ini menggesa kuasa "mutlak" yang diperuntukkan kepada seorang menteri kewangan mengikut Akta Prosedur Kewangan 1957 disemak semula kerana ia membuka peluang kepada rasuah.
Beliau juga menggesa reformasi ekonomi dalam pencapaian keadilan sosial dan kesaksamaan dilaksanakan dengan segera. TMI

Tiada ulasan: