SPECIAL ADS

17 Oktober 2014

Kumpul pandangan bekas tentera untuk Bajet 2016

Ali Tinju
Persatuan Veteran Tentera Melayu 1Malaysia (PVTM1M) sedang mengumpul sebanyak mungkin cadangan daripada ahli, balu serta bekas tentera yang tamat perkhidmatan sehingga 1989.
Presidennya, Mohd Ali Baharum berkata, semua cadangan itu akan dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dikaji dan disemak sebagai langkah awal kerajaan merangka belanjawan dalam Bajet 2016.
Katanya, memandangkan Bajet 2016 masuk dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), adalah wajar Perdana Menteri menyediakan beberapa kemudahan kepada balu dan bekas tentera yang berpencen serta tidak berpencen.
“Kita mendapat tahu, permulaan langkah kerajaan merangka Bajet 2016 ialah pada Mei tahun depan.
Dengan itu, saya menyeru dan meminta semua ahli termasuk balu dan bekas tentera sama-sama mengemukakan cadangan mereka kepada persatuan ini.
“Setiap cadangan, pandangan dan pendapat mereka sangat penting kerana hanya mereka tahu apa yang perlu kerajaan buat untuk mereka bagi meningkatkan sara hidup selain menyelaraskan pencen atau bantuan ‘one-off’,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini, hari ini.
Mohd Ali yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, PVTMIM mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pembentangan Bajet 2015 yang turut menyediakan RM50 juta bagi membantu bekas tentera.
Kata beliau, daripada jumlah itu, RM30 juta adalah untuk membantu balu bekas tentera menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Ditanya mengenai peruntukan bagi Bajet 2016, Ali Tinju berkata, tumpuan harus diberikan lebih kepada veteran terutama yang berkhidmat dari tahun 1933 hingga 1989.
“Bagi golongan ini, ada antaranya sangat uzur dan mereka perlu diberi perhatian lebih dengan menaikkan atau selaraskan pencen mereka mengikut kadar bekas tentera sekarang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta bekas tentera yang hendak mengemukakan cadangan mengenai Bajet 2016 boleh hantar kepadanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 017-3555 444 atau datang ke pejabat PVTM1M di No.35, Jalan BP10-10, Bandar Bukit Puchong, 47120 Puchong, Selangor.
MalaysiaGazette

Tiada ulasan: