SPECIAL ADS

8 Oktober 2014

Kurangkan belanja PM, menteri sebelum potong subsidi

KUALA LUMPUR : Kurangkan perbelanjaan Perdana Menteri dan menteri kabinet terlebih dahulu sebelum potong subsidi minyak untuk keperluan rakyat, kata Adun Bandar, Azan Ismail.
“Kalau betul mahu kurangkan subsidi kepada rakyat, perlu dimulakan dengan kurangkan perbelanjaan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan.
Azan_Ismail“Ini patut ditarik daripada mereka. Kalau tidak berani untuk bertindak begitu, kenapa perlu menarik subsidi daripada rakyat,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau berkata, segala perbelanjaan menteri ditanggung oleh kerajaan seperti penggunaan pesawat ke luar negara, bercuti, menganjurkan jamuan dan keraian, bil bulanan seperti elektrik dan lain-lain lagi.
Katanya lagi, seharusnya pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat tetapi sebaliknya melakukan pembaziran.
“Perdana Menteri Najib Razak ada 11 buat jet eksekutif untuk kegunaan sendiri dan melakukan percutian mewah. Dalam setahun dia belanja RM60 juta untuk bercuti,” ujarnya menambah kerajaan turut menganjurkan pelbagai program bagi tujuan politik menggunakan wang rakyat.
Bagaimanapun katanya, subsidi kepada syarikat kroni seperti pengeluar gula tidak ditarik balik oleh kerajaan.
“Lebih baik tarik balik subsidi ini daripada mereka. Kalau semua ini ditarik balik, kerajaan tidak perlu menarik subsidi minyak daripada rakyat,” kata Azan.
Pada 2 Oktober lalu, kerajaan menarik balik subsidi sebanyak 20 sen ke atas bahan api petrol dan diesel yang menyebabkan bantahan daripada segenap kelompok rakyat negara ini.
Mengulas kenyataan Najib yang meminta rakyat supaya berkorban dengan pengurangan subsidi, Azan berkata kenyataan itu hanya ‘di mulut sahaja’.
“Dia tidak mahu berkorban, tetapi suruh rakyat berkoban, sedangkan dia bermewah juga melakukan pembaziran.
“Semangat pengorbanan itu hanya di mulut sahaja. Dia yang telah mengorbankan rakyat. Rakyat ini diibarat sebagai lembu korban dan dia menjadi orang yang menyembelih lembu tersebut,” katanya. SK

Tiada ulasan: