SPECIAL ADS

16 Oktober 2014

Tindakan pemimpin dalam laksana DEB punca budaya ali baba


Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 1971 untuk membantu Bumiputera Melayu dalam sektor ekonomi bukan penyebab utama menularnya budaya ali-baba, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. 
 
Ini katanya, apa yang digagaskan oleh kerajaan terdahulu untuk membantu Bumiputera Melayu maju dalam bidang perniagaan, tidak mengarah kepada gejala itu.
 
Namun, beliau yakin pelaksanaannya yang tertakluk kepada interpretasi dan tindakan pemimpin itu sendiri telah menyumbang kepada kewujudan ali-baba.
 
Menurutnya, konsep ali-baba tidak berlaku pada zaman ekonomi bebas tahun 1957 hingga 1969, kerana kerajaan ketika itu menggalakkan pelaburan asing bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara.
 
"Bagaimanapun, pada zaman ini usahawan dari kalangan rakyat keturunan Cina melalui syarikat berasaskan keluarga telah memperkembangkan perniagaan mereka dan mengumpul kekayaan sebanyak mungkin dan sektor pelaburan, hartanah dan perumahan.
 
"Syarikat ini, baik yang berskala besar mahupun kecil, kita tahu jarang menggajikan pekerja Melayu sehingga meminggirkan peniaga Bumiputera Melayu untuk turut aktif dalam dunia perniagaan. 
 
"Dengan itu, wujudlah konsep ali-baba apabila peniaga Melayu mendapat projek, tetapi tidak mampu mengurusnya, selain kurang pengalaman dan tidak ada kepakaran dalam sektor ekonomi, lalu menjualnya kepada syarikat Cina," katanya menyampaikan ucaptama pada Forum Tranformasi Barah Ali-Baba di Bumi Merdeka di ISTAC di Kuala Lumpur, hari ini.
 
Beliau menjelaskan, keseluruhan pelaksanaan DEB dianggap gagal mengurangi jurang perbezaan dan kesamarataan ekonomi, sebaliknya menjelmakan segelintir 'orang kaya baru' yang mengumpul kekayaan dengan cepat melalui aktiviti mengaut sewa dan komisen.
 
"Aktiviti ini yang menyemarakkan pakatan ali-baba, juga menyumbang kepada kekayaan yang dinikmati oleh usahawan bukan Melayu.
 
"Zaman pasca ini (DEB) juga telah mencetuskan permulaan usahawan Melayu mengintegrasikan modal dan kepakaran dengan usahawan Cina untuk membentuk pakatan tulen, walaupun kecil bilangannya," ujar beliau.
 
Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, apapun dasar, betapa sempurna proses penggubalan dan falsafahnya, hasrat yang diinginkan tidak mungkin boleh dicapai selagi pelaksanaan dasar itu terlalu terbuka untuk interpretasi dan manipulasi kekuasaan melalui tindakan pemimpin yang berkuasa.
 
Daripada apa yang telah dan sedang berlaku, jelasnya, beliau hanya boleh menyatakan sikap kesal dan dukacitanya kerana ali-baba dilihat sinonim dengan DEB.
 
"Tetapi, saya yakin seratus peratus, DEB tidak menciptakan ali-baba, sebaliknya pemimpin yang berkuasa melaksanakannya mengikut kemahuan serta kekuasaan mereka," katanya. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: