SPECIAL ADS

14 Oktober 2014

Harga emas hitam terus menjunam

Harga minyak global terus menjunam dengan Brent merekodkan paras terendah dalam tempoh empat tahun berikutan kebimbangan lebihan bekalan selepas OPEC memberi isyarat tiada pengurangan minyak akan dilakukan.
Penanda aras Amerika Syarikat (AS) bagi November jatuh lapan sen, ditutup pada AS$85.74 (RM274.36), harga paling rendah sejak Disember 2012.
Minyak mentah Brent North Sea bagi penghantaran November juga jatuh AS$1.32 (RM4.22) kepada AS$88.89 (RM284.44) setong dalam dagangan London, paras terendah sejak penghujung 2010.
Pasaran lemah selepas OPEC menyatakan rasa selesa dengan situasi lebihan bekalan, kata penganalisis, Matt Smith daripada Schneider Electric.
"Arab Saudi pula selesa dengan harga minyak sekitar AS$90 (RM288) setong," tambahnya sambil menyifatkan OPEC lebih menjurus kepada penguasaan pasaran berbanding harga.
Iraq menjadi pengeksport pertama yang mengurangkan harga selepas Arab Saudi dan Iran.
"OPEC masih tidak memberi sebarang petunjuk untuk menyokong kenaikan harga," kata Commerzbank dalam nota penyelidikannya.
Iraq kini adalah anggota ketiga terpenting OPEC yang menurunkan harga jualan berbanding penanda aras antarabangsa.
Bagaimanapun, Menteri Minyak Kuwait, Ali al-Omair minggu lalu menjangkakan harga minyak akan jatuh tetapi OPEC tidak akan mengatasinya dalam jangka pendek.
"Kami menjangkakan harga minyak akan naik pada musim sejuk atau sekurang-kurangnya mengekalkan pasaran semasa," kata Omair yang dipetik daripada agensi berita KUNA.
Omair juga percaya harga emas hitam itu akan susut di bawah AS$76 (RM243.2) hingga AS$77 (RM246.4) setong, iaitu kos pengeluaran di Rusia dan AS.
Penyusutan harga itu dijangkakan ekoran faktor-faktor geopolitik, pertambahan dalam bekalan dan unjuran negatif bagi pertumbuhan ekonomi global, menurut Omair.
Tambahnya, Kuwait belum menerima sebagai jemputan bagi mesyuarat tergempar OPEC untuk membincangkan harga tetapi akan hadir jika mesyuarat berkenaan diadakan.
Jumaat lalu, Venezuela berkata, ia akan memohon mesyuarat tergempar OPEC bagi menangani tindakan ekoran kejatuhan harga minyak, kata Menteri Luarnya, Rafael Ramirez. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: