MINGGU lepas, Bantah TPPA telah menyangkal dakwaan kerajaan bahawa Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) memberi manfaat kepada Malaysia. Oleh itu, kami sangsi dengan pengumuman dari Australia hujung minggu lepas bahawa perjanjian ini akan dimuktamadkan pada akhir tahun ini.
Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ingin meneruskan rundingan untuk perjanjian ini, Wikileaks telah pun menunjukkan pendirian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang semakin lemah menerusi kemampuan kita untuk mendapatkan ubat-ubatan generik sewaktu wabak melanda.
Dalam erti kata lain, sekiranya merebaknya satu lagi wabak seperti selesema babi, H1N1, H5N1, Penyakit Kaki Tangan dan Mulut atau Ensefalitis Jepun, negara kini terpaksa membeli ubat-ubatan berpaten yang lebih mahal untuk merawat rakyatnya.
Tambahan, Bantah TPPA juga mempersoalkan bagaimana pihak perunding boleh membenarkan peningkatan kenyataan "data eksklusif" untuk dibincangkan. Kita sekarang di bawah ancaman untuk membolehkan ubat-ubatan biologi - ubat yang dihasilkan daripada sumber semula jadi - memiliki paten lanjutan sehingga 12 tahun.
Kami juga hairan mengapa kerajaan terus berdiam diri tentang janjinya untuk menerbitkan laporan analisis kos faedah yang akan disediakan untuk rujukan awam. Adakah kerana ia bercanggah dengan idea "faedah melebihi kos" yang sering diuar-uarkan Najib dan Menteri Perdagangan kepada media?
Bantah TPPA telah pun mengetengahkan laporan oleh Rashmi Banga, seorang pakar ekonomi. Ia sesuatu yang amat memilukan apabila MITI memilih untuk mengabaikan hasil kajian seorang pegawai ekonomi kanan di Unit Perbadanan Ekonomi dan Integrasi di kalangan Negara-negara Membangun (UNCTAD) dari Bangsa-Bangsa Bersatu yang merumuskan dalam TPPA kita akan mengalami baki negatif bernilai hampir RM5 bilion setahun dalam perdagangan.
Ini bermakna Malaysia akan mengimport lebih banyak daripada ia eksport yang mana akan mewujudkan kemungkinan kehilangan daya saing dalam perdagangan, lantas memberi impak terhadap industri tempatan dan menjejaskan pekerjaan.
Sektor tempatan yang terkesan dari impak ini termasuk dari industri besi dan keluli, elektronik, plastik dan juga kenderaan.
Ini bercanggah dengan kenyataan dari organisasi-organisasi yang melaungkan TPPA mewujudkan pasaran terbuka yang akan menguntungkan negara.
Bagi sesetengah pihak, inilah bukti ia sememangnya tidak "bijak" untuk menandatangani perjanjian perdagangan ini.Ahli-ahli ekonomi dari UNCTAD juga menekankan bahawa dengan TPPA ditandatangani, akan menyaksikan peningkatan kukuh untuk industri kenderaan, besi dan keluli serta bahagian-bahagian elektrik buat kedua-dua Amerika Syarikat dan Jepun, yang mana semua dagangan ini sedang kita jalinkan dengan China.
Ketika laporan Rashmi terus menyatakan kerugian yang akan kita alami dalam perdagangan, Bantah TPPA ingin menyatakan kita akan terus rugi dalam kos tidak nyata.
Kita bakal kehilangan kedaulatan negara menerusi perolehan kerajaan dan penyelesaian pertikaian pelabur (ISDS). Kita akan kehilangan akses kepada ubat-ubatan yang lebih murah untuk merawat pelbagai jenis penyakit dan barah, HIV/AIDS dan juga ketika negara dilanda wabak-wabak tidak dijangka.
Kita juga akan hilang keupayaan untuk melindungi tindakan afirmatif untuk Bumiputera di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Manfaat-mafaat yang tidak di ambil kira yang telah dinikmati negara selama ini kini terancam hasil rundingan TPPA yang dijalankan secara rahsia, dan kini sedang diperlaku sedemikian oleh kerajaan yang telah menolak bulat-bulat kepentingan hak orang ramai untuk bersuara dalam rundingan ini.
Oleh itu, sekali lagi, kami pinta kerajaan untuk tampil dengan pendirian yang jelas dan terus menghentikan rundingan ini melainkan mereka dapat buktikan dengan fakta-fakta dan nilai angka yang berupaya meyakinkan rakyat dan negara mampu mendapat manfaat daripada perjanjian ini.
Bantah TPPA sering menyeru kepada kerajaan untuk menghasilkan perangkaan yang tepat agar kita boleh berdebat berteraskan fakta mengenai manfaat TPPA dari perspektif MITI dengan benar. Sebaliknya, sehingga kini kami hanya diberi persembahan tayangan slaid berulang kali dengan tiada apa-apa yang baru.
Sudah tiba masanya untuk Najib Tun Razak dan MITI bangkit dan sedar bahawa mereka telah membazirkan masa dan sumber-sumber berharga merundingkan satu perjanjian yang tidak menguntungkan, membatasi kemampuan dagangan negara dan mengakibatkan generasi masa depan negara menanggung peningkatan kos sara hidup hasil penandatanganan perjanjian ini.
NIZAM MAHSHAR
Penulis ialah Pengerusi Bantah TPPA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan