SPECIAL ADS

18 Oktober 2014

Apakah cara paling sesuai PR cari jalan ke Putrajaya?

KUALA LUMPUR: Oleh kerana isu yang sedang dihadapi oleh negara begitu besar, maka memilih kepimpinan yang berwibawa untuk membawa perubahan ini wajar dilakukan tanpa segan dan silu lagi.

"Alangkah baiknya jika dapat diketemukan semua parti-parti politik yang berbeza untuk bersama-sama membangunkan politik dan negara," tulis Aspan Alias dalam blognya.

Justeru, menurutnya jika semua pemimpin politik dari parti-parti PAS, DAP, PKR serta parti-parti di Sabah dan Sarawak diketemukan dengan jujur maka sekali gus dapat diusahakan penyelesaian segala kemelut negara kita. 

Tulisan penuh beliau seperti di bawah.

Setelah kita memahami apakah masalah-masalah besar sehingga PR tidak mampu untuk ke Putrajaya, sedang UMNO yang memerintah sudah hilang segala pedoman mentadbir negara, apakah tindakan rakyat untuk memperbaiki keadaan politik tanahair kita. UMNO dan BN hanya bergantung kepada situasi yang PR tidak akan mendapat dan berjaya ke Putrajaya itu. UMNO hanya kekal ‘by default of Pakatan Rakyat’.

Kalau kita hendak bertanya, jika Pakatan Rakyat mempunyai kelemahan yang jelas untuk melayakkan mereka untuk menjadi parti alternatif kepada BN, apakah formula terbaik bagi memperbaiki keadaan dan untuk keadilan demokrasi dan semangatnya. Bolehkah DAP dan mana-mana parti yang ingin berjuang untuk ke Putrajaya dan menjamah kuasa di sana?

Jika secara ‘direct assault’ terhadap UMNO itu tidak memungkinkan DAP dan PKR mahu pun PAS mampu mendekati kuasa di Putrajaya, apakah cara yang paling sesuai untuk mencari jalan ke Putrajaya itu? Seperti yang saya sebutkan dalam posting-posting saya yang baru-baru ini, UMNO dalam keadaan apa sekali pun tetap akan memerintah negara walaupun dengan majoriti kerusi yang kecil.

Tetapi ahli-ahli UMNO tidak mempunyai kudrat untuk menukar kepimpinan mereka yang berimejkan korupsi dan menyalahgunakan kuasa itu sedangkan ‘urgency’nya ialah untuk menukar kepimpinan mereka bagi memberikan keselesaan siasah bagi negara kita. Kita tidak boleh mengharapkan ahli-ahli dan pemimpin UMNO untuk menukar kepimpinan mereka.

Jika UMNO itu amat sukar untuk digantikan pemimpin-pemimpin mereka, maka kaedah menukar kepimpinan UMNO itu wajar dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dari luar parti itu. Sistem secara konvensyen yang Presiden UMNO itu secara ‘automatic’ menjadi Perdana Menteri sudah menjadi ‘obsolete’ dan telah terbukti membawa kehancuran kepada negara.

Lagi pun untuk menggantikan kepimpinan UMNO dengan memilih barisan kepimpinan yang ada sekarang ini sememangnya menakutkan kita. Menggantikan Najib dengan Muhyiddin, atau Zahid Hamidi, Hishammuddin serta Shafie Apdal, ‘is no change’. Mereka adalah dari kumpulan dan budaya yang sama, seperti yang saya suka menggunakan istilah acuan yang sama.

Kita akan dilihat sebagai bersikap dayus politik jika mereka yang berkuasa ini masih diberikan sokongan oleh UMNO itu. Negara kita sedang melalui proses kejatuhannya dan ia sedang menghampiri keadaaan itu dengan pantas dan deras.

Itulah sebabnya blog ini tidak jemu-jemu mencadangkan agar kita perlu memulakan politik dan siasah yang baru semata-mata untuk menyelamatkan negara dari terjerumus ke lembah kehancuran yang begitu ‘imminent’ akan berlaku itu.

Kita terpaksa menerima hakikat yang kita mesti melakukan tindakan ‘drastic’ dan ‘unconventional’ tetapi yang dibenarkan oleh perlembagaan negara untuk dilakukan.

Dalam perlembagaan Persekutuan seorang mana-mana ahli Legislatif Persekutuan yang mendapat kepercayaan dari dewan yang mulia itu adalah yang paling layak untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri. Dengan mengenepikan konvensyen biasa yang menetapkan hanya presiden UMNO menjadi Perdana Menteri itu wajar dikaji semula.

Ini adalah kerana dengan cara konvensyen biasa itu sudah tidak relevan lagi disebabkan kegagalan UMNO untuk menonjolkan kepimpinan yang bersih yang layak untuk diberikan sokongan untuk memimpin rakyat yang sedang dahagakan seorang pemimpin yang terhindar dari isu-isu peribadi yang menjengkelkan kita semua.

Asalkan yang dipilih oleh Dewan Legislatif Persekutuan itu adalah seorang Melayu, sesiapa sahaja boleh dipilih oleh Dewan Parlimen itu seperti yang tertulis dengan jelas dalam perlembagaan Persekutuan kita sekarang ini.

Pilihan itu mesti dilakukan terhadap seorang pemimpin Melayu yang ‘viable’ sebagai Perdana Menteri kerana Melayu itu merupakan rakyat majoriti negara ini. Ini adalah untuk menjaga kestabilan politik negara agar tidak ada peluang untuk mana-mana pihak untuk melanggar semangat perlembagaan negara dan realiti politik tanahair kita.

Biarlah yang dipilih itu seorang yang mempunyai kewibawaan dan berpengalaman serta berkemampuan untuk berunding dengan semua pihak untuk mewujudkan sebuah negara yang berwajah politik yang baru dan mewujudkan ‘ambience’ politik yang baru.

Biarlah pemimpin yang dipilih oleh Dewan yang mulia itu mampu untuk memahami masalah negara dengan sebenarnya kerana jika pemimpin itu tidak tahu apa masalah sebenarnya tidak akan ada jalan keluar untuk membetulkan keadaan buruk itu. Negara kita telah terbiar oleh pemimpin yang lalai terhadap tanggungjawab mereka.

Kelalaian pimpinan kita sejak tiga dekad yang lalu telah menyebabkan negara kita berada dalam situasi seolah-olah kita tidak mempunyai kerajaan lagi, kerana kita dipimpin oleh pemimpin yang memimpin negara seperti pemimpin persatuan sepak takraw sahaja. Tidak dinampakkan ‘seriousness’ mereka untuk mengharmonikan kehidupan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Isu perkauman merupakan isu yang sangat besar yang jika tidak diselesaikan dengan segera ia memungkinkan kita berhadapan dengan perkelahian di antara kaum yang amat kita takuti. Selain dari itu dengan memulakan sebuah negara yang ditransformasikan politiknya dengan besar-besaran maka isu yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak juga boleh dibawa bersama untuk mencari penyelesaiannya.

Oleh kerana isu yang sedang dihadapi oleh negara begitu besar maka memilih kepimpinan yang berwibawa untuk membawa perubahan ini wajar dilakukan tanpa segan dan silu lagi.

Alangkah baiknya jika dapat diketemukan semua parti-parti politik yang berbeza untuk bersama-sama membangunkan politik dan negara. Jika semua pemimpin politik dari parti-parti PAS, DAP, PKR serta parti-parti di Sabah dan Sarawak diketemukan dengan jujur maka sekali gus dapat diusahakan penyelesaian segala kemelut negara kita. 

Dengan memilih pemimpin yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk membawa semua pihak duduk dan bersembang secara serius bagi membina negara dengan politk dan siasahnya yang baru dengan ‘ambience’ yang baru yang menyegarkan. HD

Tiada ulasan: