Isu pendatang sengaja dibangkitkan oleh perwakilan Gerakan dalam perhimpunan parti itu baru-baru ini.
Meskipun sudah digantung partinya, namun luka dalam hati orang Melayu masih berdarah. Masakan tidak, sensitiviti disentuh seolah-olah tiada masalah jika ia digugat.
Cukuplah selama ini satu demi satu perkara yang melibatkan sensitiviti Melayu dan Islam diusik, hak keistimewaan Melayu yang dijamin perlembagaan mahu dihapuskan, hukum hudud dipermainkan, kedaulatan Islam dipertikai, kini asal-usul orang Melayu pula mahu diseleweng?
Ingatlah hakikat sejarah kedatangan nenek moyang orang Cina dan India ke Tanah Melayu satu ketika dahulu. Mereka datang berhijrah ke Tanah Melayu dari tanah asal mereka. Mereka bukan penduduk asal negara ini.
Kedatangan kaum India ke Tanah Melayu
Pada 1971, tokoh sejarawan negara Khoo Kay Kim menulis kedatangan orang India berlaku secara berperingkat.
Pada peringkat paling awal, ‘mungkin’ berlaku hubungan antara Kedah dan India pada awal-awal tahun Masihi.
Kebanyakan orang India yang datang pada masa itu di kalangan pedagang dan tukang yang beragama Hindu dan Jain.
Pelabuhan-pelabuhan di mana mereka bertapak ialah Sungai Bujang, Sungai Merbok dan Kuala Muda.
Pada abad ke-13 dan ke-14, dengan beransur-ansur kegiatan pedagang India yang awal itu merosot dan peranan mereka diambil alih pedagang-pedagang beragama Islam dari Bengal, Golconda, Coromandel dan Gujerat.
Proses itu berlaku semasa agama Islam tersebar dengan kadar yang pesat di Nusantara. Tidak kecil bilangan mereka yang menduduki tempat yang tinggi di dalam kerajaan Melaka. Asimilasi dengan anak bumiputera turut berlaku.
Perniagaan orang India itu tidak terhad kepada pelabuhan Melaka sahaja, mereka juga sentiasa singgah di Kedah, Ujong Salang dan Perak untuk membeli gajah, timah dan lada. Di Melaka sendiri didirikan sebuah kampung yang diberi nama Kampung Kling.
Mulai abad yang ke-19, muncul satu lagi peringkat dalam proses imigran orang India ke Tanah Melayu. Pada 1820-an, ramai tawanan berbangsa India dipindah ke Negeri-negeri Selat setelah perjanjian Inggeris-Belanda ditandatangani.
Selepas itu, lebih ramai orang India dibawa masuk untuk dijadikan pekerja di ladang-ladang termasuk ladang tebu dan getah.
Kalau di antara tahun 1880 dengan 1900, bilangan orang India yang datang pada setiap tahun berjumlah lebih kurang 20 ribu orang, di antara tahun 1910 dan 1921 bilangan buruh yang direkrut setiap tahun berjumlah kira-kira 100 ribu orang.
Kedatangan kaum Cina ke Tanah Melayu
Kaum Cina mula datang ke Tanah Melayu bermula pada zaman Kesultanan Melaka. Bilangan mereka tidak ramai dan mereka datang sebagai pedagang.
Pada abad ke-18, pelombong-pelombong Cina dibawa masuk oleh kuasa Belanda untuk mengerjakan lombong di negeri-negeri Melayu barat.
Namun pelombong-pelombong itu tidak bermastautin lama di Tanah Melayu.
Peringkat seterusnya berlaku pada pertengahan abad ke-19 semasa pembukaan lombong-lombong di kawasan Larut, Klang dan Sungai Ujung.
Pembukaan Pulau Pinang dan Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa juga menarik minat kedatangan orang Cina.
Selepas pentadbiran British diperkenalkan, kadar kemasukan orang Cina bertambah pesat.
Mulai tahun 1911, hampir setiap tahun lebih daripada satu juta orang Cina datang ke negara ini, di samping beratus-ratus ribu yang kembali ke China.
Hakikat yang tidak boleh diubah
Demikian fakta sejarah yang dikemukakan oleh Khoo Kay Kim sejak tahun 1971 lagi.
Sebarang usaha mengubah fakta sejarah ini merupakan satu pengkhianatan. –TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan