Selepas memimpin rakan-rakannya merempuh pintu masuk Universiti Malaya malam tadi, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol masih tenang dan berharap dapat menamatkan pengajiannya Jun tahun depan walaupun sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Saya masih okay, dan yakin dapat habiskan pelajaran saya yang tinggal satu semester lagi, iaitu sehingga pertengahan tahun depan," kata Fahmi kepada The Malaysian Insider pagi ini.
Semalam, beliau bersama rakan mahasiswa dan ratusan aktivis muda memaksa pagar universiti yang ditutup pengawal keselamatan dibuka bagi membolehkan mereka memasuki kampus dan menjayakan program "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara" di Dataran Dewan Tunku Canselor.
Ketua Pembangkang yang juga pemimpin pelajar UM kira-kira 40 tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudiannya menyertai mereka dan memberi ucapan terakhir menjelang perbicaraan beliau hari ini.
Anwar sedang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi membuat rayuan agar hukuman lima tahun penjara yang dijatuhkan ke atas beliau oleh Mahkamah Rayuan diketepikan.
Ketika dihubungi, Fahmi dan rakan-rakannya sedang dalam perjalanan ke Putrajaya bagi menyertai perhimpunan di perkarangan Istana Keadilan dan mengikuti perbicaraan Anwar.
"Saya mahu membawa anak muda memimpin pula, kerana masa orang tua dah nak habis. Saya fokus mahu anak muda, khasnya mahasiswa, memimpin negara," kata Fahmi.
Bagi Fahmi, 23, yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang, beliau mahu anak muda diberi peranan menentukan masa depan negara dan beliau tidak akan berhenti sekadar program malam tadi.
"Buat masa ini tidak ada apa-apa lagi," kata Fahmi yang bertemu dengan Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin semalam bagi membuat permohonan terakhir bagi menganjurkan majlis Anwar itu.
"Semasa berjumpa dengan Naib Canselor, dia nampaknya okay, takdalah sampai mahu buang saya (dari universiti)," kata Fahmi, pelajar tahun akhir Pentadbiran dan Keadilan Sosial di bawah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam kerana kecemerlangannya dalam pelajaran.
Beliau dan rakan-rakannya dalam PMUM menganjurkan program bersama Anwar itu meskipun mendapat bantahan pihak universiti.
Walaupun disekat, termasuk pintu utama dikunci dan lampu di kawasan dataran itu dipadamkan sepenuhnya, Anwar berjaya berucap di dataran itu di depan lebih 2,000 pelajar dan orang ramai.
Pelbagai pihak memuji keberanian Fahmi dan rakan-rakannya dalam melawan sekatan terhadap kebebasan pelajar dan akademik.
"Apa yang kita lihat sekarang adalah perubahan, sekarang kita lihat anak muda bangun penindasan.
"Saya puji Fahmi yang bangkit melawan sikap autokratik pentadbiran UM dan kita puji mereka," kata penaung pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Negara-ku, Datuk Ambiga Sreenevasan, semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bantah Akta Hasutan malam tadi di Dewan Sivik, Petaling Jaya.
Pada masa sama, Ambiga menyelar kepimpinan Pemuda Umno yang disifatkan tidak boleh dipercayai kerana menyokong Akta Hasutan.
"Kita lihat pemimpin muda mereka menyokong Akta Hasutan, mereka akan guna akta sama ke atas kita, kita perlu pilih, adakah pemimpin seperti ini yang kita mahukan?" katanya. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan