SPECIAL ADS

16 Oktober 2014

Ku Li: Barah Ali Baba di bumi M'sia


Berikut adalah ucaptama penuh MP Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah di forum anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Dengan Kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan NKRA Membanteras Rasuah:

Bismillahhirrahmannirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan kepada ALLAH SWT kerana memberkati kita semua dan memberi kesempatan untuk berkumpul pada hari ini.

Selawat dan salam, “Allahumma soli ‘ala Muhammad” kita sampaikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW; dengan catatan dan harapan agar kita semua tergolong sebagai makhluk yang dirahmati dan kumpulan umat yang di restui.

Terima kasih saya ucapkan kepada penganjur perjumpaan kita pada hari ini kerana telah sudi dan memberikan penghormatan kepada saya untuk berkongsi fikiran mengenai satu topik yang relevan untuk kita semua tangani. Saya berharap agar, perkongsian saya akan membawa sedikit manfaat dan lebih-lebih lagi, saya berharap dan akan sangat bahagia seandainya perkongsian dan perjumpaan kita pada hari ini akan memulakan satu langkah konkrit untuk mengubah nasib kita semua.

Para hadirian hadirat sekalian, negara kita, Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia sudah berumur 57 dan 51 tahun. Banyak yang kita lalui bersama mengharung pahit getir dan hari ini pada dasarnya kita menikmati kemerdekaan dan kesejahteraan hidup yang telah diilhamkan dan dipelopori oleh pemimpin kita yang terdahulu. Toleransi yang terbentuk di kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum, menjadi asas kepada pembentukan sebuah Malaysia yang aman dan damai.

1969 mencatatkan satu titik merah yang besar dalam perkembangan kita sebagai sebuah negara. Kejadian pada tahun tersebut telah menggugat kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan kita dan lebih penting, kita tidak terlepas daripada kemungkinan ianya berulang lagi.  Pada kesempatan hari ini, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk “menepuk dada dan menanya selera’’, dan sekaligus menjawab, di mana kita dan apakah perkembangan semasa akan meletakkan kita pada keadaan yang lebih baik di masa hadapan?

Walaupun kita semua harus bersykur dengan nikmat dan anugerah yang kita nikmati sekarang ini, saya suka menyeru agar kita jangan berpuas hati, leka atau ‘complacent’. Akhir-akhir ini saya melihat kepada ancaman terhadap kesejahteraan ini semakin menjadi dan mengkhuatirkan. Oleh yang demikian, setiap kita, secara sedar dan bertanggungjawab, harus perbuat apa saja yang kita mampu untuk memupuk dan menjaga keharmonian dan kesejahteraan yang kita nikmati ini, agar sejarah titik merah 1969 tidak berulang lagi; apa pun bentuknya, antara kaum, antara agama, antara ideologi politik atau sesama.

Sebagaimana kita semua maklum, peristiwa merah 1969 yang didorong oleh ketidakseimbangan penguasaan ekonomi antara kaum, telah menyumbang kepada gagasan Dasar Ekonomi Baru.

Dalam pada itu, penguasaan ekonomi kaum bumiputera yang disasarkan pada kadar 30 peratus dalam tempoh 30 tahun tidak tercapai, dan ini merupakan kegagalan DEB yang cukup signifikan. Hakikat kegagalan ini walaupun dengan segala bentuk kemudahan, sangatlah mendukacita dan melemahkan semangat.

Daripada banyak laporan dan kajian yang dibuat, ada yang mengatakan bahawa penyumbang utama kepada kegagalan dalam penguasaan ekonomi bumiputera ini adalah disebabkan oleh faktor “Ali Baba” yang hampir sinonim dengan DEB. Malahan ada unsur yang dengan lantang dan tegas menyatakan bahawa DEB lah yang mewujudkan “Ali Baba” dan melahirkan elit Melayu dari golongan terpilih untuk menjadi kaya atas angin, dengan cepat, tanpa usaha yang signifikan dan tidak menyumbang kepada produktiviti.

Hadirin hadirat sekalian, apakah sememangnya DEB penyebab kepada wujudnya Ali Baba? Bagi saya, saya berani mengatakan TIDAK. DEB bukanlah penyebab, kerana apa yang digagaskan tidak sedikitpun membawa maksud dan mengarah kepada gejala ini. Tetapi saya yakin bahawa pelaksanaannya yang tertakluk kepada interpretasi, kewenangan dan tindakan pemimpin menyumbang kepada kewujudan Ali Baba ini. Sebelum kita pergi lebih jauh, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Ali Baba?

Pengertian umum, merujuk kepada satu pakatan perniagaan yang tidak seimbang dibentuk oleh dua atau lebih pihak di mana satu pihak wujud kerana kemudahan yang dinikmati akibat dari pelaksanaan sesuatu dasar atau yang ‘dekat’ kepada pemimpin yang berkuasa untuk memberikan projek, kontrak, lesen dan sebagainya. Pihak ini disebut sebagai Ali kerana lazimnya di Malaysia, kaum bumiputeralah yang menikmati kemudahan tersebut. Ali, biasanya  tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam perniagaan, tetapi berpegang kepada pengaruh politik, dan pentadbiran dan bertindak sebagai ‘rakan kongsi tidur’ (sleeping partner). Baba sebaliknya, adalah dari golongan rakyat keturunan Cina yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan modal perniagaan yang menyumbang kepada produktiviti syarikat dan mengawal penuh operasi syarikat.

“Melayu punya kontrak, Cina punya kerja” adalah ungkapan lazim yang kita dengar untuk menggambarkan pakatan ini. Dalam erti kata lain, projek atau syarikat secara rasmi di miliki oleh Ali (orang Melayu) tetapi yang menguasainya adalah Baba (orang Cina). Jadi saya fikir kita boleh sepakat untuk menerima konsep Ali Baba ini, spesifik kepada pakatan yang melibatkan orang Melayu dengan rakyat keturunan Cina.

Namun demikian, ada juga pendapat yang menyatakan bahawa konsep Ali Baba ini tidak khusus kepada pakatan Melayu dan rakyat keturunan Cina sahaja. Pemakaiannya lebih menyeluruh, termasuklah amalan kronisme dalam memberikan kontrak dan lesen. Dalam erti kata yang lain, Ali dalam konteks ini, bukan hanya khusus kepada orang Melayu, tetapi siapa saja yang memperoleh sesuatu kontrak atau lesen dari kerajaan bukan kerana keutamaan dari segi kebolehan, pengalaman dan sebagainya, tetapi kerana kedekatan dengan pemimpin, tetapi akhirnya menyerahkan kepada orang lain untuk menyempurnakan kontrak tersebut. Sebagai contoh, sedikit masa dahulu, kita digembar-gemburkan mengenai pemberian kontrak LRT Ampang, yang dilihat sebagai satu tindakan berdasarkan kronisme. Kontrak tersebut diberikan kepada orang bukan Melayu, tidak melibatkan orang Melayu, tetapi pemberian sebegini juga dilihat sebagai amalan konsep Ali Baba, paling tidak oleh sesetengah pihak.

Apa pun tafsirannya, intipati atau pengertian sebenar (‘substance’) kronisme dan Ali Baba mempunyai banyak persamaan. Malahan, kewujudan kedua-kedua konsep ini hampir seperti pasangan yang saling melengkapi, dan pada hemat saya, kedua-duanya tidak baik, merosak dan merugikan.

Para hadirin hadirat sekalian, pada zaman ekonomi bebas (1957-1969), Malaysia menggalakkan pelaburan asing dalam meningkatkan pembangunan ekonomi Negara. Pada zaman ini, usahawan daripada  kalangan rakyat keturunan Cina melalui syarikat berasaskan keluarga memperkembangkan perniagaan mereka dan mengumpul kekayaan. Syarikat-syarikat ini, baik berskala besar atau kecil, jarang menggaji pekerja di kalangan orang Melayu. Di samping itu, rangkaian dan budaya perniagaan kaum Cina yang bersifat eksklusif dan menguasai pasaran juga meminggirkan peniaga-peniaga Melayu. Kedua-dua tindakan ini menafikan dan menyulitkan orang Melayu untuk ikut aktif dalam dunia perniagaan.

Kebanyakan syarikat-syarikat Melayu yang muncul pada zaman ini gagal kerana kekurangan pengalaman, modal, kepakaran dan sokongan dalam sektor ekonomi. Tidak hairanlah jika orang Melayu dilihat sebagai belum bersedia untuk menguruskan perniagaan yang besar. Untuk mengimbangi permasalahan ini, kerajaan mengambil pendekatan memanfaatkan syarikat dan modal asing dengan penglibatan orang Melayu dalam operasinya.

Di zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), kita melihat peralihan modal asing kepada modal tempatan. Pada zaman ini kita dapat melihat sikap agresif kerajaan mengambil alih milikan modal asing, terutama dalam sektor perladangan dan perlombongan. Pada dekad 80-an dasar kerajaan berubah kepada penswastaan dan persyarikatan Malaysia yang menyaksikan peralihan aset kerajaan menjadi milikan individu dan entiti bumiputera.

Pelaksanaan ‘Industrial Coordination Act 1975’ yang menekankan penglibatan orang Melayu telah menimbulkan kekhuatiran kepada usahawan rakyat keturunan Cina, dan ini sempat mangakibatkan pengaliran keluar modal mereka. Dalam masa yang sama, usahawan rakyat keturunan Cina tidak berdiam diri dan mengambil tindakan yang pragmatik untuk memastikan penguasaan ekonomi Negara dengan menubuhkan syarikat-syarikat Ali Baba. Syarikat Ali Baba ini tumbuh pesat di zaman DEB untuk memperoleh lesen dan kontrak kerajaan yang dikhususkan kepada kaum bumiputera. Kerjasama Ali Baba ini akhirnya dinilai sebagai jalan kepada usahawan rakyat keturunan Cina untuk mengekalkan dominasi aktiviti perniagaan mereka dari pelaksanaan dasar ekonomi yang mengekang.

Daripada kajian yang pernah dibuat, pelaksanaan DEB, tersasar dari sasaran dan akibatnya muncul satu fenomena yang hari ini merupakan barah dan  hanya memberikan beban tambahan. Campur tangan kerajaan dalam sektor ekonomi dianggap sebagai telah meningkatkan peranan birokrasi dan mewujudkan borjuis (‘bourgeois’) Melayu, di samping menggalakkan kemunculan aktiviti pengaut sewa dan lahirnya kapitalisme kroni yang mewujudkan pakatan Elit Melayu – rakyat keturunan Cina (Ali Baba) yang tidak produktif dari perspektif ekonomi.

Secara keseluruhan, DEB gagal untuk mengurangi jurang perbezaan dan kesamarataan ekonomi tetapi sebaliknya menjelmakan segelintir ‘Orang Kaya Baru’ yang mengumpul kekayaan dengan cepat melalui aktiviti mengaut sewa (rent seeking) dan komisen. Aktiviti ini yang menyemarakkan pakatan Ali Baba, juga menyumbang kepada kekayaan yang dinikmati oleh usahawan bukan Melayu.

Bagaimanapun, ‘all is not lost’. Zaman DEB juga telah mencetuskan permulaan usahawan Melayu untuk mengintegrasikan modal dan kepakaran dengan usahawan rakyat keturunan Cina untuk membentuk pakatan tulen, walaupun kecil bilangannya, di zaman pasca DEB.

Zaman pasca DEB melihat perubahan pelaksanaan dasar. Orientasi kaum dalam DEB beralih melalui Wawasan 2020 dan Dasar Pembangunan Negara kepada orientasi Malaysia dengan tumpuan terhadap aspek budaya dan liberalisasi ekonomi untuk menggalakan perniagaan antara kaum. Pada zaman ini juga, usahawan rakyat keturunan Cina merasakan bahawa pakatan strategik yang tulen dengan usahawan Melayu akan saling lengkap melengkapi.

Hadirin hadirat sekalian, apapun dasar, betapa sempurna proses penggubalan dan falsafahnya, hasrat yang diinginkan tidak mungkin boleh dicapai selagi pelaksanaan dasar tersebut terlalu terbuka untuk interpretasi, dan manipulasi kekuasaan dan tindakan oleh pemimpin yang berkuasa. Daripada apa yang telah dan sedang berlaku, saya hanya boleh menyatakan sikap kesal dan dukacita saya kerana Ali Baba dilihat sinonim dengan DEB. Tetapi seperti yang pernah saya nyatakan tadi, saya yakin 100% bahawa DEB tidak menciptakan Ali Baba, tetapi pemimpin yang berkuasa yang melaksanakan DEB mengikut kemahuan dan kekuasaan mereka yang bertanggungjawab terhadap fenomena ini.

Hadirin hadirat sekalian, daripada pengamatan dan banyak kajian yang telah dibuat, kita dapat simpulkan bahawa fenomena Ali Baba sangat mendukacitakan dan merugikan. Kita harus terima hakikat bahawa usahawan Melayu pada awalnya tidak mampu bersaing dalam perniagaan dan menguasai ekonomi, dan sebab itulah perlu dibantu. Polisi yang digubal terutama DEB, adalah wajar dan munasabah, tetapi sayang, pelaksanaan yang tidak bertanggungjawab telah menggalakan fenomena Ali Baba yang sehingga hari ini merupakan barah yang sudah merebak ke akar umbi masyarakat.

“Dapat saham sahaja, terus dijual, dapat kontrak saja terus dijual”. Selama lebih 30 tahun, sejak awal 80-an, kenyataan ini sering disebut dan didengar sehingga menjadi sebati dan tidak pelik sekiranya ada yang beranggapan bahawa begitulah caranya dan memilihnya untuk mencipta kekayaan dengan cepat. Yang lebih mengkhuatirkan, pemikiran sebegini, hari ini mungkin menjadi anutan dan pegangan anak-anak muda yang berjuang menggunakan parti politik sebagai landasan. Apa lah nanti akibatnya apabila golongan mereka mula mengambil alih pentadbiran Negara.

Pelaksanaan dasar yang salah oleh pemimpin yang mengamalkan rasuah (salah guna kuasa) dan kronisme, sangat dikesalkan dan yang paling dirugikan adalah golongan usahawan Melayu yang tulen dalam menjalankan perniagaan mereka. Oleh yang demikian, tidak hairan apabila kita sering mendengar rungutan-rungutan yang menyatakan bahawa ada Melayu yang pandai berniaga dan tidak cukup modal, tetapi kerana mereka bukan dari golongan elit Melayu atau kroni seseorang pemimpin, mereka tidak mendapat bantuan dan perniagaan mereka tidak berkembang.

DEB sepatutnya turut membantu seluruh orang-orang Melayu, tetapi apa yang berlaku, hanya ‘super’ Melayu yang terpilih sahaja dibantu. Dalam kes ekstrem, golongan ini diberikan dengan segala kemudahan; wang modal tanpa kos, lesen dan segala bentuk insentif supaya menjalankan perniagaan berskala besar dan mampu bersaing di peringkat global. Tetapi apa yang terjadi, perniagaannya lingkup, wang tidak tahu kemana dan mereka masih tetap wujud dengan kedudukan, prestij dan kemewahan mereka.

Sistem dan pelaksanaan yang memudahkan atau terlalu memberi kesempatan kepada orang tertentu, yakni elit politik, kroni dan sebagainya secara langsung juga menyebabkan wujudnya Ali Baba secara berleluasa. Dalam banyak kes, kelompok terpilih dan elit ini mencipta kekayaan yang luarbiasa, dalam waktu yang singkat, tanpa perlu ‘berusaha’ seperti orang lain melalui konsep tersebut. Hakikat ini menimbulkan perasaan sakit atau iri hati yang sangat menebal terutama di kalangan masyarakat Melayu yang sepatutnya dibantu di bawah DEB, tetapi tetap tinggal susah dan miskin.

Dalam konteks ini, banyak juga cerdik pandai yang berpendapat bahawa masalah ini bukan hanya diungguli oleh orang Melayu sahaja, kerana kaum apa pun, lumrahnya, apabila memperolehi sesuatu yang bernilai dengan sangat mudah, akan tidak menghargainya dan akan melepaskannya pula dengan cepat. Oleh itu, adalah wajar feomena Ali Baba ini di pertanggungjawabkan kepada pelaksana dasar atau pemimpin berbanding atau mengatasi sikap dan kecenderungan orang Melayu yang terlibat secara langsung, tanpa malu, menjadi ‘Ali’ dan menyewakan nama mereka.

Ali Baba ataupun kronisme pada asasnya adalah tidak baik. Memberikan sesuatu kontrak kepada orang yang kurang layak adalah satu kesalahan dan mengesani keberkesanan dan kecekapan. Dalam perniagaan, sikap mengambil untung atas angin atau pun aktiviti mengaut sewa (rent seeking) atau pengambilan komisen, yang dimungkinkan melalui konsep Ali Baba mahupun kronisme, akan hanya meningkatkan kos sesuatu barang atau perkhidmatan yang akhirnya akan ditanggung oleh masyarakat umum. Ini akan mengakibatkan pembaziran wang negara dan menyumbang kepada perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat kerana amalan ini menyumbang kepada penyediaan barangan dan perkhidmatan yang tidak bermutu.

Untuk ‘accommodate’ Ali Baba, peruntukkan atau kos kontrak atau projek dinaikkan (inflated/mark-up) dan ini merugikan negara dan masyarakat. Dalam keadaan peruntukan atau kos projek tidak dinaikkan, peruntukan sebenar yang akhirnya sampai ke tangan kontaktor yang akan melaksanakan sesuatu kontrak atau projek tersebut tinggal sedikit. Hal ini mungkin saja akan menyebabkan kontraktor tersebut untuk “cut corners” dan menghasilkan pekerjaan atau produk yang tidak bermutu. Hadirin hadirat sekalian, apapun pendekatannya, negara dan masyarakat tetap yang akan dirugikan.

Daripada sisi lain, konsep Ali Baba sekiranya tidak dibendung akan sentiasa menjadi penghalang kepada pencapaian sasaran penguasaan ekonomi yang seimbang dalam negara. Baik antara kaum mahupun sesama kaum dan hakikat ini perlu kita perhatikan. Sejarah dan prestasi negara dalam pembasmian kemiskinan dengan ukuran rasmi yang ada, boleh dibanggakan. Namun usaha kita untuk mengecilkan jurang perbezaan pendapatan seperti yang dipaparkan oleh Indeks Gini, tidak ataupun belum berhasil.

Di samping kesan kepada ekonomi, gejala Ali Baba ini juga telah membuat kaum Melayu sebagai kaum yang diberikan keistimewaan tidak dihormati, dilecehkan dan kekal tidak mampu untuk bersaing, walaupun sekian lama dibantu dan banyak peruntukan yang dibelanjakan. Persepsi usahawan bumiputera yang dianggap sebagai “overnight millionaires atau billionaires” tanpa ‘know how’ tetapi ‘know who’ adalah suatu gambaran yang sangat memalukan. Usahawan ini tidak mempunyai asas penting dalam perniagaan tetapi hanya berdiri dibawah naungan pemimpin yang berkuasa.

Pernah terjadi dalam sejarah kita bila mana dasar yang meletakkan syarat 30 peratus penyertaan bumiputera dalam syarikat-syarikat perniagaan juga telah menghakis keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Daripada banyak pengamatan, 30 peratus penyertaan bumiputera bukannya menjadi isu, tetapi golongan elit Melayu yang ditunjuk untuk memegang atau menikmati peruntukan 30 peratus saham itu yang tidak menyumbang kepada produktiviti syarikat dan dalam setengah keadaan menambah kos operasi syarikat yang menjadi penyebab. Fenomena inilah yang membawa kepada liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan sekarang.

Para hadirin hadirat sekalian, statistik menunjukkan bahawa telah terjadi penurunan peratusan penguasaan ekonomi dari kalangan orang Melayu. Hakikat ini terjadi walaupun banyak peruntukan dan kelebihan yang diberikan kepada orang Melayu.Sudahlah sasaran asal iaitu 30 peratus yang diletakkan oleh DEB tidak pernah tercapai, pencapaian 22.2 peratus satu waktu dahulu tidak dapat dipertahankan sehingga turun menjadi 18.5 peratusdan hari ini, ada yang mengatakan tahap penguasaan ekonomi orang Melayu berada pada kadar 21 peratus. Dalam masa yang sama, tahap penguasaan ini, menurut sesetengah pendapat adalah tidak benar dan tidak tepat untuk mewakili masyarakat Melayu kerana  sebahagian besar disumbang oleh GLC.

Pada suatu kesempatan dahulu, jelasnya pada 2011, ada satu kajian yang menunjukkan secara purata, 85.3 peratus projek yang dilaksanakan kontraktor bumiputera mengalir kepada kaum lain. Seandainya, peratusan ini benar dan mewakili keseluruhan sektor, maka usaha untuk memperbetulkannya akan pasti menjadi sangat sulit.

Hadirin sekelian, gejala Ali Baba yang terbongkar sewaktu inkuiri Teoh Beng Hock yang berlaku tidak terlalu lama dahulu, menunjukkan bahawa fenomena ini masih wujud dan berleluasa. Satu perkara yang pasti, Ali Baba tidak mengenali sempadan dasar mahupun sempadan politik. Jika wujud peluang dan kesempatan, akan hadirlah kelompok yang akan menggunakan kaedah ini.

Banyak saranan yang telah diberikan dalam usaha menangani fenomena Ali Baba ini. Ada yang mencadangkan supaya mereka disenaraihitamkan, ada pula yang mencadangkan agar orang ini digelar sebagai pengkhianat bangsa dan bermacam lagi. Pada saya, tak rugi sekiranya kita semak lagi kesemuanya dan jelmakan peraturan yang lebih kuat seperti undang-undang dan secara konsisten laksanakannya tanpa prejudis dan menyeluruh.

Para hadirin hadirat sekalian, sebenarnya kita tahu syarikat Melayu mana yang tulen dan syarikat Melayu mana yang didalangi oleh orang lain, seperti kita tahu siapa yang mengamalkan rasuah dan sebagainya. Anehnya, syarikat tersebut tetap saja wujud tanpa sebarang peringatan dan tindakan seperti disenaraihitam dan sebagainya. Malahan ada di kalangan syarikat-syarikat ini yang masih mendapat perhatian dan keistimewaan, dan ini adalah sesuatu yang sangat tidak wajar. Walaupun agak terlewat, mungkin kita perlu untuk menggubal undang-undang yang secara spesifik akan membolehkan pelaku yang menyumbang kepada gejala Ali Baba ini di ambil tindakan. Tetapi, seperti dasar-dasar lain sebelumnya, undang-undang tanpa pelaksanaan yang konsisten, tegas dan tanpa prejudis tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Kepada semua pihak yang berkepentingan, terutama kepada yang mempunyai kuasa, saya sarankan agar kita hentikan sikap saling menunding jari, atau tuduh menuduh. Selagi sikap ini menebal dalam hati sanubari kita, usaha untuk membanteras gejala Ali Baba ini tidak akan berhasil. Kita juga harus cuba untuk tidak sentiasa menjustifikasikan tindakan kita walaupun kita tahu benar, ianya salah. Kebijakan dan iltizam yang kuat diperlukan di peringkat atasan dan agensi pelaksana untuk memungkinkan kejayaan kita menangani fenomena yang merosak ini. Kita juga harus ingat, Ali Baba dalam perniagaan boleh saja merebak menjadi Ali Baba dalam politik dan kesannya boleh menjatuhkan martabat sesuatu bangsa.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: