SPECIAL ADS

7 Oktober 2014

New York Times : Tindakan keras mengikut Akta Hasutan dikesali

Antara barisan ahli politik pembangkang, aktivis dan ahli akademik yang disiasat dan didakwa mengikut Akta Hasutan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Oktober, 2014.
Media antarabangsa The New York Times mengutuk Putrajaya berhubung siri pendakwaan mengikut Akta Hasutan 1948, menyifatkannya "serangan yang amat menyedihkan ke atas kebebasan bersuara dan ancaman serius kepada demokrasi".
Akhbar berpengaruh Amerika Syarikat itu dalam tulisan editorialnya berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya segera menunaikan janjinya memansuhkan akta tersebut.
"Siri pendakwaan Najib adalah serangan yang amat menyedihkan ke atas kebebasan bersuara dan ancaman serius kepada demokrasi.
"Beliau nampaknya memahami ancaman ini semasa berjanji untuk memansuhkan akta itu. Beliau sepatutnya tunaikannya dengan segera," kata akhbar tersebut.
Siri pendakwaan itu menyaksikan beberapa pemimpin pembangkang, aktivis, ahli akademik undang-undang dan wartawan selain pendakwah bebas berdepan hukuman mengikut undang-undang akta penjajah tersebut.
Beberapa pihak dan kumpulan mengkritik langkah yang diambil pentadbiran Najib termasuk Majlis Peguam yang menyifatkannya sebagai "keadaan tegang yang menekan rakyat dan kemerosotan dalam kedaulatan undang-undang".
Penggunaan akta tersebut semakin berleluasa sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei tahun lepas di mana pembangkang menang undi popular dan kerajaan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dalam sejarah hilang sokongan tersebut.
"Kerajaan Malaysia makin giat menggunakan akta itu, yang merupakan undang-undang penjajah British, untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan pengkritik politik mereka. Undang-undang itu menghukum ucapan yang dibuat 'untuk membangkitkan perasaan tidak puas hati' terhadap kerajaan dan mentakrifkan maksud hasutan dengan begitu luas sehingga mengundang salahguna kuasa," kata editorial New York Times.
"Najib berjanji memansuhkan akta itu, tapi sejak berakhir pilihan raya Mei lepas, kerajaan beliau menggunakan sepenuhnya bagi menindas pengkritik."
The New York Times berkata, keputusan pilihan raya lepas menggoncang kerajaan sehingga terpaksa melakukan tangkapan dan pendakwaan ke atas ahli politik, wartawan, akademik, pelajar, pendakwah agama dan aktivis sosial yang berkempen untuk menjatuhkan kerajaan.
"Sebagai contoh, ahli politik senior didakwa menghasut kerana mengkritik keputusan mahkamah rayuan dalam media," kata editor tersebut merujuk kepada Naib Presiden PKR, N Surendran.
Pengkritik juga mempersoalkan mengapa kumpulan sayap kanan tertentu dan ahli politik yang membuat kenyataan lebih berunsur hasutan pada masa lalu terlepas daripada pendakwaan. TMI

Tiada ulasan: