Meskipun tanpa campur tangan Amerika Syarikat (AS) seperti didakwa sesetengah pihak, kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) "cukup gila" dengan tindakan mereka, kata pemimpin Ikhwan Muslimin Kuwait, Dr Tareq Suwaidan.
Tareq berkata "kegilaan" yang dilakukan Isis adalah tindakan kumpulan militan itu sendiri tanpa penglibatan AS.
"Isis bukan dari AS, jika ada yang berpendapat begitu, kamu tidak kenal Isis, kamu tidak kenal AS. Saya kenal kedua-duanya," katanya.
"Tidak perlu orang gila untuk gerakkan mereka (Isis), saya tahu mereka sendiri cukup gila untuk lakukannya," katanya, dalam ceramah di ibu negara malam tadi.
Gerakan militan Isis melakukan keganasan di kawasan Iraq dan Syria mengakibatkan kematian, termasuk memenggal kepala wartawan.
Kumpulan militan itu dikatakan berjuang bagi menubuhkan sebuah negara Islam dan menggelar pemimpin mereka 'khalifah' di wilayah yang ditakluki mereka.
Seramai 39 rakyat Malaysia dikesan menyertai kumpulan itu, dengan 38 individu lelaki dan seorang wanita yang direkrut melalui laman sosial Facebook, termasuk beberapa bekas pemimpin dan ahli PAS.
Turut dilaporkan terdapat wanita yang menyertai "Jihad Al Nikah", atau jihad seks untuk kumpulan berkenaan, namun Putrajaya menafikan laporan berkenaan dan menganggap ia sekadar khabar angin.
Tareq berkata militan Isis itu terlalu merbahaya, kerana mereka berpegang kepada akidah Ali Sunnah Wal Jamaah, namun berperwatakan seperti kumpulan Khawarij.
"Mereka memiliki ideologi Khawarij, tindakan Khawarij, namun pegangan agama Sunni.
"Mereka sangat berbahaya," katanya.
Khawarij merupakan kumpulan penganut Islam yang menghalalkan darah sesama Muslim dan kumpulan bukan Muslim yang ditakrifkan mereka sebagai "kafir."
Beliau berkata, sehubungan itu, umat Islam harus menolak Isis, dan menentang perjuangan yang diamalkan militan berkenaan.
"Pemikiran mereka berbeza. Sekiranya mereka bertemu dengan anda di jalanan, mereka akan bertanyakan soalan, sekiranya jawapan itu salah, mereka akan penggal kepala anda," katanya.
"Sebab itu kami ambil pendirian akan bekerjasama dengan sesiapa yang menentang mereka."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan