SPECIAL ADS

7 Jun 2013

MP Pakatan dijangka tidak hadir taklimat parlimen

KUALA LUMPUR 07 Jun : Kesemua ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu berkemungkinan tidak akan hadir pada sesi taklimat parlimen minggu depan.

Difahamkan ianya sebagai tanda kesinambungan protes menuntut reformasi pilihan raya yang didakwa berlangsung dengan penuh penipuan pada PRU13 lalu.

Biarpun kehadiran ke taklimat itu tidak wajib, namun tindakan boikot itu dilihat sebagai tekanan berterusan oleh Pakatan Rakyat terhadap kerajaan agar melaksanakan reformasi pilihan raya.

Ketua Whip Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan perkara itu.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR Isnin lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke yang dipetik portal The Malaysian Insider berkata, tindakan untuk tidak hadir ke taklimat itu sebagai selari dengan himpunan Blac505 yang diadakan di seluruh negara bagi menuntut reformasi pilihanraya.

“Majlis Pimpinan PR merasakan kita perlu mengenakan tekanan sebanyak mungkin yang kita boleh lakukan bagi memastikan kerajaan memberi respon kepada tuntutan kita untuk reformasi pilihan raya.

“Jadi pada ketika ini, kita rasa kita tidak perlu hadir taklimat itu… pada masa sama, kita merancang perhimpunan besar, jadi, pada masa sama, kita tidak harus hadir taklimat itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan membayangkan kemungkinan memboikot sesi pembukaan parlimen ke-13 pada 24 Jun ini atas sebab yang sama.

Selain itu beliau juga dilapor berkata, kemungkinan juga tidak akan mengemukakan soalan-soalan untuk sesi parlimen akan datang.

Tiada ulasan: