SPECIAL ADS

1 Julai 2013

Menteri Pengangkutan diminta kaji semula AES

Teresa Kok
Kuala Lumpur 01 Julai :  PR menggesa Kementerian Pengangkutan yang baru dilantik supaya mengkaji semula penggunaan kamera Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) yang diperkenalkan kerajaan pada tahun lepas.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, AES sebelum ini di bawah bidang kuasa bekas Menteri Pengangkutan yang lama, namun selepas PRU13 tampuk pentadbiran telah berubah.

Menurutnya, Menteri Pengangkutan yang baru dilantik perlu mengkaji semula pelaksanaan AES kerana mendapat aduan ramai pihak termasuk ahli BN sendiri.

"Kita minta kerajaan atau menteri yang baru dilantik mengkaji semula pelaksanaan AES.

"AES ini telah mendapat aduan daripada ramai pihak, BN, PR dan semua pengguna jalan raya.

"AES itu dulu dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan sebelum ini, jadi ini menteri baru yang membawa slogan 'Rakyat Didahulukan' perlu kaji, tangguh atau hapuskan terus AES," katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Pada Mei lalu, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan AES di negara ini.

Beliau berkata, buat masa ini masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan dan perbincangan bersama pihak ketiga sedang berlangsung.

Bagaimanapun, mengikut jawapan bertulis kepada soalan Teresa mengenai status pemantauan kesalahan trafik AES dan adakah pemandu yang mendapat saman itu perlu menjelaskan kompaun; "Pelaksanaan AES masih diteruskan di 14 lokasi sedia ada".

"Pemandu yang dapat saman AES perlu menjelaskan kompaun walupun pendakwaan bagi kes AES ditangguh kerana notis yang dikeluarkan kepada orang yang melakukan kesalahan tersebut dibuat mengikut undang-undang," kata Kementerian Pengangkutan melalui satu jawapan bertulis.

Sehubungan itu, Teresa yang juga Timbalan Presiden DAP Selangor berkata, sebelum ini Peguam Negara turut mengarahkan penangguhan pendakwaan terhadap pesalah AES.

Tambahnya, perkara tersebut memberi gambaran kepada pengguna jalan raya bahawa AES telah ditangguhkan pelaksanaannya dan tidak perlu membayar kompaun.

"Saya merasa hairan apabila menerima jawapan Parlimen daripada Menteri Pengankutan bahawa AES masih dilaksanakan," katanya.

Tiada ulasan: