SPECIAL ADS

11 Julai 2013

MP: Lantikan 'menteri integriti' hanya sandiwara

Datuk Paul Low Seng Kuan
Kuala Lumpur 11 Julai : Laporan Barometer Rasuah Global (Global Corruption Barometer, GCB) yang diumum oleh Transparency International-Malaysia (TI-M) tidak mengejutkan. Kegagalan kerajaan dalam menangani rasuah adalah perkara yang rakyat sudah sedia maklum dan juga satu perkara yang menyebabkan rakyat sakit hati.

Walau tanpa laporan ini, rakyat sudah tidak yakin bahawa kerajaan mampu menyelesaikan gejala rasuah. Pada tahun 2012 Malaysia telah dinobat sebagai "Juara Rasuah" selepas mencatatkan prestasi paling teruk dalam Laporan Siasatan Rasuah 2012 (Bribe Payers Survey) oleh Transparency International.

Justeru, amat jelas sekali, tindakan perdana menteri menandatangani ikrar integriti sebelum pilihan raya umum ke-13 dan melantik Datuk Paul Low menjadi 'menteri integriti' adalah satu sandiwara.

Paul Low telah mempertahankan perkara yang tidak sepatutnya seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), dan menolak untuk melaksanakan saranan Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin tahun 2005 iaitu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Dalam tempoh ini, Paul Low boleh membuktikan keikhlasan untuk pembaharuan dalam kerajaan, iaitu dengan melakukan reformasi ke atas dua badan yang paling rasuah dalam pandangan rakyat mengikut laporan Barometer Rasuah Global iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan parti politik

Pertama sekali, beliau patut memansuhkan EAIC dan mencadangkan rang undang-undang untuk menubuhkan IPCMC demi mengembalikan integriti dan profesionalisme PDRM dan menangani kadar jenayah yang sedang meningkat.

Saya juga mencadangkan agar IPCMC bukan sahaja berkuasa mengambil tindakan displin terhadap polis, malah turut berkuasa membuat keputusan dalam hal ehwal kenaikan pangkat dalam PDRM. Ini mampu memastikan pegawai polis yang baik dan cekap diberi peluang kenaikan pangkat dan mengelakkan campur tangan politik.

Kedua, Paul Low patut melaksanakan prinsip yang diketengahkan dalam buku terbitan Transparency International-Malaysia pada 2012 bertajuk "Reforming Political Financing in Malaysia". Ketika itu, Paul Low merupakan presiden Transparency International-Malaysia.

Rasuah dalam parti politik merupakan ibu kepada segala rasuah kerana ia berpotensi menjejaskan setiap peringkat kerajaan. Paul Low patut melaksanakan kesemua 22 saranan Transparency International-Malaysia untuk membuktikan bahawa beliau bukan munafik.

Walau bagaimanapun, 6 daripada 22 saranan tersebut patut dilaksanakan serta-merta:
  • Pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk mengugurkan pengerusi dan timbalan pengerusi SPR bagi mengembalikan kebebasan dan integriti SPR.
  • Mengehadkan sumbangan kewangan individu atau kumpulan kepada parti politik, mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan akaun mereka termasuk sumber-sumber kewangan.
  • Mengehadkan perbelanjaan parti politik dan bukan hanya mengehadkan perbelanjaan calon seperti masa kini.
  • Melarang parti politik memiliki atau terlibat dalam perniagaan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.
  • Melaksanakan peruntukan dana daripada kerajaan secara telus dan adil kepada parti politik.

  • Melarang parti politik memiliki mana media untuk memastikan persaingan yang adil.
Kedua-dua badan ini adalah penjaga negara, polis menjamin keselamatan kita manakala ahli politik yang profesional menjamin kemajuan negara kita.

Oleh itu dalam 50 hari yang akan datang, Paul Low patut menunjuk bahawa beliau adalah seorang 'menteri intergriti yang benar-benar berfungsi, beliau adalah seorang reformis dan bukan seorang pembela kuasa semata-mata.

SIM CHEE KEONG adalah MP Bukit Mertajam.

Oleh : Sim Chee Keong

Tiada ulasan: