SPECIAL ADS

15 Julai 2013

‘Pasangan lucah’ Alvin dan Vivian hadir ke SKMM beri kenyataan

Kuala Lumpur 15 Julai : 'Pasangan lucah' Alvin Tan dan Vivian Lee yang dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hadir memberikan kenyataan tepat jam 10.49 pagi tadi.
Mereka memberi kenyataan untuk membantu siasatan berhubung memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.
Penggerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi semalam dalam satu kenyataan mengesahkan Alvin Tan dan Vivian Lee dipanggil untuk merakamkan kenyataan dan membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.
Bagi kes berasingan di laman Facebook yang menyiarkan gambar babi panggang dengan cap logo Halal, Mohamed Sharil berkata pemilik akaun itu bukan rakyat Malaysia dan tidak bermastautin di negara ini.
Tahun lalu, Alvin dan Vivian menggemparkan negara apabila menyiarkan gambar dan video aksi seksual mereka dalam blog mereka.
Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman, berkata pihaknya masih dalam sesi soal siasat terhadap Alvin dan Vivian dan dijangka akan selesai petang ini.
Beliau berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan bagi merujuk kes berkenaan ke Pejabat Peguam Negara dan berharap siasatan dapat dilengkapkan dalam masa dua hari.
Sheikh Raffie berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan bukti kes berkenaan mencukupi untuk pendakwaan.
"Jika sabit kesalahan, pasangan berkenaan boleh didakwa di bawah seksyen 211 dan 233 yang memperuntukkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM50, 000.
"Kami menyeru orang ramai agar menghormati bulan Ramadan dengan mengelakkan dari mencetus kontroversi melalui kiriman di laman sosial yang bakal mencetuskan sensitiviti kaum," katanya sewaktu ditemui pemberita di pejabatnya, hari ini.
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Tiada ulasan: