SPECIAL ADS

14 Julai 2013

Dr M: TPP perkongsian tak sama rata

SHAH ALAM 14 Julai :  Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) satu percubaan Amerika Syarikat untuk membolehkan syarikat besar mereka menembusi pasaran domestik negara-negara kecil, khususnya dalam perolehan kerajaan.

Dr Mahathir turut memberi amaran bahawa Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) adalah merugikan Malaysia dan menyifatkannya sebagai 'perkongsian yang tidak sama rata' dengan tujuan supaya pihak yang kuat mengambil kesempatan daripada yang lemah.

“Apabila penyangak mata wang menyerang kita dengan tujuan untuk mendapatkan kawalan ke atas ekonomi kita, kita menentangnya kerana pada masa itu kita masih bebas.

“Tetapi selepas kita menandatangani TPP, kaki dan tangan kita akan terikat. Tiada lagi kawalan modal. Kami akan dijajah lagi. Presiden Sukarno memang betul tentang neo-kolonialisme,” tulis beliau  dalam blognya, semalam.

Menurut Dr Mahathir, percubaan sebelumnya adalah melalui Perjanjian Am Mengenai Perdagangan dan Tarif (GATT), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

“Mereka memperkenalkan perjanjian perdagangan bebas dua hala. Kemudian mereka mempromosi dunia global, dunia tanpa sempadan, di mana wang mereka boleh masuk ke mana-mana, memusnahkan ekonomi dan kemudian tarik keluar. Seandainya kita terlupa, mereka melakukan ini pada 1997/1998,” katanya.

Beliau berkata, antara perjanjian sebelum ini yang berat sebelah ialah jualan air murah kepada Singapura sebanyak 6 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2060, perolehan pesawat F/A-18 dengan fungsi yang terhad yang beliau sifatkan “alat permainan yang sangat mahal” dan bagaimana Perjanjian Perdagangan Bebas Asia (Afta) yang merugikan Proton.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menunjukkan ketelusan mengenai rundingan TPP dan abaikan kata-dua supaya memuktamadkan rundingan mengenainya pada Oktober.

Tiada ulasan: