31 Jan : PROSES perkembangan sesebuah negara bangsa memakan masa yang panjang, sepanjang perjalanannya, pelbagai peristiwa dan situasi terpaksa dilaluinya sehingga ia mematangkan kepimpinan dan rakyatnya.
Konflik dan pertumpahan darah sesama anak bangsa mahupun peperangan yang dilaluinya dengan penceroboh demi memelihara kedaulatan negara adalah proses pembentukan jatidiri negara bangsa.
Dalam menghayati perkembangan ini, negara terdesak untuk memperbaharui komitmennya terhadap masa depan negara atau istilah patriotiknya memelihara bahtera merdeka.
Untuk mencapai maksud ini satu konsensus atau kesepakatan dan persetujuan bersama amat diperlukan supaya negara bangsa ini mara mencipta nasibnya di persada alam. Ada beberapa faktor utama yang menentukan kejayaan konsensus nasional yang amat diperlukan pada tahap ini.
Artikel ini cuba menghuraikan beberapa pra-syarat dan faktor yang akan menjayakan konsensus nasional ini.
Latar Belakang Kemerdekaan
Malaysia berbanding dengan negara bangsa lain secara relatifnya adalah negara yang masih muda. Perkataan negara bangsa hanya muncul dengan kemaraan kolonialisme Barat.
Serentak dengan tuntutan merdeka dari British, negara bangsa menjadi tema kebangkitan rakyat dan Islam/Melayu menjadi asas kebangkitan menyatukan negara bangsa yang kelak akan muncul apabila pada tahun 1957 Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya dari penguasaan kolonial British selama beberapa abad.
Faktor dan latar belakang yang membentuk kemerdekaan Malaysia amat signifikan untuk semua pihak akur dan menerimanya sebelum bersetuju untuk menjayakan cita-cita murni melonjakkan negara ini ke hadapan.
Perlembagaan Persekutuan
Konsensus mesti juga menghayati dokumen penting yang menentukan nasib dan masa depan negara. Perlembagaan negara adalah faktor penyatu kepada janji setia kita untuk memelihara negara melalui prinsip-prinsip yang disepakati dan dijunjung bersama.
Perlembagaan Persekutuan meletakkan raison d'etre negara ini dengan menamakan tiang utama negara yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua konsensus yang akan dilakukan iaitu;
1. Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
2. Agama lain bebas diamalkan mengikut semangat Perlembagaan.
3. Hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
4. Hak kewarganegaraan semua kaum dengan semangat kebebasan yang perlu dipertahankan bersama.
Perlembagaan persekutuan adalah faktor penyatu perpaduan nasional, cumanya interpretasi dan pemahaman prinsip-prinsip keperlembagaan kadangkala tergelincir dari semangatnya dan kerana itu kebebasan kehakiman perlu menentukan interpretasi yang betul kepada artikel dan semangat yang memberikan ‘kehidupan’ kepada perlembagaan kita.
Sosio-Ekonomi
Kesan penjajahan telah meninggalkan kita menjadi negara multi-ethnic dan sekaligus multi-cultural.
Istilah ‘pendatang’ atau ‘bangsa asing’ walaupun sudah terhapus dengan konsep kewarganegaraan, namun ia tetap dibibir sesetengah pihak apabila sesuatu konflik antara kaum muncul dan ini boleh memberi gambaran betapa rapuhnya situasi serta berupaya mencetuskan ketegangan.
Dalam konteks ekonomi, dasar ekonomi baru atau DEB membentuk pengagihan kek ekonomi yang mengakibatkan strata masyarakat menampakkan jurang antara penguasaan kaum Cina, Melayu dan India.
Perlaksanaan DEB walaupun semangat dan rohnya adalah pengimbanagan strata dan penstrukturan semula jurang masyarakat namun amalannya telah melahirkan sikap prejudis yang berbau perkauman.
Suasana sosio-ekonomi ini adalah antara faktor utama kepada sebab perlunya konsensus nasional nanti.
Perjalanan Politik
Perlembagaan negara walaupun menjadi panduan tetapi ianya kaku apabila tiada aktor yang mencabar kesahihannya dan keutuhannya.
Peranan aktor dalam membentuk lanskap politik negara adalah signifkan kerana para aktor politik akan menentukan dan mendefiniskan maksud yang terkandung dalam prinsip negara ini.
Malaysia memilih jalan demokrasi melalui pilihanraya umum yang berperanan untuk membentuk anggota parlimen bagi membahas halatuju negara lewat demokrasi ala Westminster di mana pembahagian kuasa legaslatif, eksekutif dan kehakiman menjadi kerangka para aktor politik bergerak.
Demokrasi adalah tema utama perjalanan politik dan ia mengambil bahagian yang besar kepada desakan konsensus nasional hari ini kerana ketempangannya hasil pencabulan ke atas demokrasi di Malaysia.
Apakah Konsensus Nasional
Konsensus adalah daripada perkataan Inggeris iaitu “concensus” yang membawa makna agreement, harmony, concord, like mindedness, concurrence, consent, common consent, accord, unison, unity, unanimity, oneness, solidarity, concert more general opinion/view, majority opinion/view, dan common opinion/view.
Dari perkataan itu diambil maknanya dalam Bahasa Malaysia iaitu persetujuan bersama, permuafakatan bersama, halatuju bersama, pandangan yang sama hampir dipersetujui oleh semua pihak.
Sebab itu ia adalah satu pendekatan politik tahap nasional bagi semua pihak bersetuju tanpa mengira fahaman politik bahawa negara ini perlu kepada satu kaedah baru, pendekatan baru bagi menangani situasi yang sedang dihadapi hari ini di mana semua pihak perlu bersetuju untuk memikirkan kaedah itu bersama.
Apa yang mewarnai lanskap politik dari tuntutan demokrasi yang lebih berfungsi, tuntutan kerajaan yang telus dan berwibawa serta kemunculan suara sivil yang semakin lantang mengkritik dasar dan perjalanan kerajaan adalah satu bentuk desakan kepada perlunya sebuah konsensus nasional supaya kerajaan dan parti politik bersatu hati mengeluarkan negara dari kemelut politik, sosial dan ekonomi hari ini.
Pemikiran Baru Perpaduan Nasional
Sekarang isu perpaduan tidak lagi berkisar kepada gabungan wadah seperti di awal 70-an ketika negara ini memerlukan kekuatan politik untuk menjayakan agenda nasional seperti pembentukan Barisan Nasional tetapi perpaduan terkini bentuknya adalah lebih matang dapat direalisasikan melalui kesatuan kepada kepentingan negara dengan cara menguruskan perbezaan pendapat dan bukan menyekat perbezaan pendapat.
Untuk melaksanakan ini konsep by-partisan atau sokongan menjangkau kelompok atau kumpulan perlu dibudayakan untuk mencapai sesuatu kepentingan nasional.
Konsensus nasional menuntut supaya parti politik mengimbangi keperluan politiknya dengan keperluan nasional.
Ia bukan satu helah politik untuk mengekalkan kekuatan mana-mana pihak tetapi ia adalah untuk memastikan kepentingan nasional terpelihara dengan masing-masing mengekalkan ideologi masing-masing.
Isu perpaduan Melayu secara relatifnya kepada gambaran yang lebih besar ini nampaknya seperti slogan yang agak kuno dan lebih cenderung untuk helah politik semata-mata.
Perpaduan yang harus diajukan ialah perpaduan nasional dalam gambaran agenda nasional dan bukan agenda politik tertentu.
Isu Ketaksamaan Pendapatan
Isu ketaksamaan pendapatan atau “inequality income” tidak lagi berkisar kepada kaum tetapi ia berkisar kepada peratus pengagihan pendapatan yang kini terjulat antara peratus pendapatan tinggi dan peratus pendapatan rendah di mana 60 peratus rakyat duduk di paras pendapatan rendah dan 40 peratus daripadanya adalah paras kemiskinan.
Jurang besar pendapatan ini dikecilkan lagi dengan penduduk luar bandar dan penduduk bandar serta gender.
Implikasi isu ini menentukan gaya hidup dan keperluan hidup melibatkan isu keperluan perumahan, bebanan hutang dan inflasi yang disebabkan harga barang dan pendapatan yang tidak seimbang.
Ia bukan lagi soal Melayu ketinggalan tetapi keperluan untuk mengimbangi kesan ketaksamaan pendapatan dan keperluan membela peratus yang terperosok di bawah.
Faktor ini semakin mendesak kepada satu konsensus untuk menyelamatkan keadaan kerana isu inflasi, kesan sosial dan ketidakpuasan hati rakyat akan menjadikan negara ini terjerumus dalam krisis hilang kepercayaan kepada kerajaan.
Kemunculan Ekstremisme Politik
Keseimbangan perkembangan negara mestilah dengan kematangan anak bangsanya untuk melihat kepentingan yang lebih besar.
Pelbagai isu perkauman, agama dan politik berpotensi menjadi isu yang diambil kesempatan oleh pihak tertentu dari kelompok ekstrim agama mahupun ekstrim kepuakan.
Rasisme dalam segala bentuknya perlu disekat dan tidak menjadi umpan pihak tertentu untuk menggunakannya apabila perlu untuk kepentingan puak atau kelompoknya.
Suasana ini mendesak kita kepada konsensus nasional yang meletakkan ekstrimis politik dan agama jauh dari menjadi faktor penentu keputusan-keputusan politik.
Ambil contoh isu kalimah “Allah”, betapa politik ekstrem dan rasis menguasai keadaan sehingga pihak kerajaan tidak berani menegaskan komitmennya kepada “Penyelesaian 10 Perkara” atau sepuluh perkara yang disepakati antara kerajaan dan penganut Kristian di negara dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang termeterai pada 2011.
Ini melambangkan kelemahan pihak kerajaan terhadap komitmennya sendiri dan membiarkan tembakan rasis yang tidak terkawal membunuh cita-cita perpaduan nasional yang dipupuk selama ini.
Tajuk Yang Perlu Konsensus
Tidak syak lagi, konsensus adalah satu keperluan negara bagi menjamin perjalanan negara ini diteruskan, namun biarlah perbincangan kepada konsensus ini terfokus kepada perkara besar dan penglibatannya tidak meninggalkan mana-mana pihak di belakang.
Fokus utama adalah persetujuan semua pihak kepada perjalanan demokrasi yang perlu dirungkai semula dalam konteks berpilihanraya dan demokrasi berparlimen.
Kedua adalah merungkai semula hak mendapat maklumat dari segi akta media yang perlu dibebaskan dari cengkaman penguasa dan kawalan yang ketat untuk melahirkan media bebas dan bertanggungjawab.
Ketiga adalah konsensus kepada medan ekonomi mengawal ketaksamaan dan inflasi melalui pendekatan progresif dan bukan regresif yang membebankan rakyat serta mengubah tatakelola kewangan yang lemah dan dipalit rasuah.
Keempat adalah menangani rasisme dan ekstremisme melalui kawalan ke atas entiti rasis dan ekstremis melalui rundingan dan meletakkan aktiviti mereka di bawah semangat perlembagaan persekutuan.
Hal ini juga melibatkan reformasi total kepolisian yang perlu dikembalikan tujuan utama mereka iaitu untuk memelihara keselamatan negara dan bukan memelihara parti politik tertentu atau pihak tertentu untuk terus kekal berkuasa.
Harapan Kepada Konsensus
Langkah awal konsensus bermula dengan pengiktirafan semua pihak kepada masalah dan bersedia untuk mengenalpasti prioriti negara.
Langkah seterusnya ialah gencatan senjata fitnah media yang tidak banyak membantu melicinkan proses dan seterusnya ialah memahamkan orang ramai keperluan konsensus ini dijadikan agenda utama negara pada tahap ini.
Selain itu parti-parti politik harus bersedia untuk membawa dirinya dalam kerangka ini dengan mereka sendiri membuat reformasi dalaman tak kira dari segi strukturnya, budayanya mahupun cara ia menyampaikan hasratnya untuk menjadi kerajaan.
Konsensus akan menjadi satu mercu tanda bagi penunjuk aras bahawa negara ini bersedia menyelesaikan kerumitan yang ia sedia hadapi dan mampu mengakui segala kelemahan yang menyebabkan terbantut proses pembentukan seterusnya bahtera merdeka yang sama-sama kita tatang.
Buat masa ini harapan kita semua ialah kepada terlaksananya langkah awal dan mula tertumpu kepada empat fokus utama tajuk konsensus, sudahkah rakyat Malaysia bersedia untuk memasuki fasa baru ini?
Oleh : Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN).