29 Jan : Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), isu yang paling banyak diperkatakan ialah mengenai kelemahan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri. Ia tidak saja diselak dan dijaja oleh pembangkang, diperkatakan oleh rakyat biasa, malah secara perlahan-lahan turut diakui oleh banyak kalangan dalam Umno sendiri.
Pelbagai isu yang berlaku, daripada kenaikan harga barang, perkauman, keselamatan, kalimah Allah dan sebagainya ternyata lebih menyerlahkan kelemahan Najib berikutan tiada satu pun isu-isu tersebut cuba diselesaikannya secara tegas dan berani. Beliau bukan saja gemar menangguhkan masalah, malah responnya dalam banyak isu juga sering ketinggalan bas.
Bukan saja banyak blogger menyarankannya agar segera meletakkan jawatan bagi mengelakkan BN terus kalah dalam pilihan raya akan datang, malah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mulai lantang menggariskan beberapa kelemahan Najib, sambil mengingatkan bahawa BN lebih berpotensi kecundang dalam pilihan raya akan datang jika tiada sebarang perubahan.
Sementara Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pandangan Daim itu, anaknya Mukhriz dan Marina juga turut bersuara. Dalam isu kenaikan harga, Mukhriz turut mengingatkan bahawa BN akan kalah dalam PRU 14 jika kepentingan rakyat terus diabaikan. Tegurannya itu dilihat cukup memberi kesan sehingga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor segera menegurnya agar menggunakan saluran yang betul jika ingin menegur kerajaan dan pucuk pimpinan.
Marina pula mengkritik Najib dan kerajaan yang dianggapnya begitu lemah dan lambat bertindak menyelesaikan kemelut isu kalimah Allah sehingga berlakunya beberapa kejadian tidak diingini antara kedua-dua penganut Islam dan Kristian.
Kelemahan lain Najib yang turut dipertikaikan ialah pergantungannya yang keterlaluan terhadap sekian ramai penasihatnya serta Pemandu yang dilihat lebih banyak menyusahkan berbanding memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Kelemahan Najib menjadi lebih hangat diperbualkan apabila adiknya sendiri, Nazir Razak menulis sebuah rencana sempena 38 tahun pemergian Allahyarham Tun Razak, sambil menitipkan satu persatu ingatannya mengenai sikap ayahnya yang begitu cermat dan berhemah dalam berbelanja dan menggunakan wang rakyat sehingga ia dilihat merupakan sindiran tepat yang ditujukan ke dahi Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.
Pendeknya isu kelemahan Najib dan perlunya beliau segera berundur adalah isu ruji sebelum meletusnya isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang ini. Semua orang mahu mengambil bahagian, termasuk kalangan yang sebelum ini kuat mempertahankan Najib seperti Perkasa dan beberapa NGO lain.
Tetapi sebaik saja PRK Kajang ini berakhir nanti, isu itu tentunya akan bangkit semula. Oleh itu, pilihan raya kecil ini adalah ukuran pertama yang akan menentukan sama ada kelemahan dan keupayaan Najib yang dipertikaikan selama ini turut melekat di hati rakyat atau sebaliknya. Lebih-lebih lagi dengan komposisi pengundi Kajang yang meliputi 48.48% pengundi Melayu, 40.46% (Cina) dan 10.15% (India), ia adalah hampir menyamai realiti sebenar pecahan kaum di negara ini.
Selain kerana komposisi kaum, pilihan raya kecil ini juga diadakan di ketika isu kenaikan harga barang, kalimah Allah, hubungan kaum dan lain-lain sedang hangat menjadi perbualan dan keresahan. Oleh itu, ia akan menjadi ukuran kepada kepimpinan Najib yang banyak dipertikaikan selama ini.
Jika di Kajang ini menyaksikan BN tewas dan mendapat undi yang lebih buruk, maka ramalan Daim bahawa BN akan kalah jika pilihan raya umum diadakan dalam suasana seperti sekarang, ada kebenarannya dan Najib tidak harus kekal lebih lama sebagai perdana menteri.
Begitu juga, jika di Kajang ini pengundi Cina kekal menolak BN, bermakna dasar keterbukaan, liberal, 1Malaysia dan sogokan peruntukan atau habuan berjuta-juta kepada komuniti itu sebagaimana menjadi amalan Najib sebelum ini kekal umpama "mencurah air ke daun keladi." Dan sekiranya sepanjang kempen pilihan raya nanti, Najib meneruskan juga amalan yang sama, ia pasti akan menyebabkan pengundi Melayu lebih jauh hati dengan BN dan kerajaan.
Begitu juga pengundi Melayu bandar dan separa bandar di Kajang kekal menolak BN, ia juga isyarat jelas pergantungan BN hanya tinggal pengundi luar bandar dan kampung yang sentiasa berkurangan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Najib mungkin hanya terselamat daripada serangan dan asakan yang mahunya berundur jika beliau berupaya menunjukkan perolehan undi yang lebih baik dalam pilihan raya ini, suatu misi yang sangat-sangat sukar dan hampir mustahil.
Muhyiddin Yassin juga sebenarnya menyedari PRK Kajang lebih memberi tekanan dan impak kepada Najib. Sebab itu, sementara ramai yang mempertikaikan PKR kerana membenarkan calonnya, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan untuk memberi ruang Anwar bertanding dengan menganggapnya mengabaikan mandat rakyat serta mengundang pembaziran wang rakyat, Muhyiddin adalah orang pertama yang menegaskan BN akan tetap meletakkan calon meskipun ramai berpandangan sebaliknya.
Tanpa menunggu mesyuarat Umno atau BN membuat keputusan atau menunggu sehingga Najib memberi reaksinya, Muhyiddin terlihat amat pantas memutuskan penyertaan BN dalam PRK Kajang ini sedangkan pada PRK DUN Penanti 2009, BN pernah tidak meletakkan calonnya kerana tidak mahu membazir masa, tenaga dan wang ringgit.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula bertegas mengatakan, meskipun pihaknya membantah pendekatan PKR ini yang dianggapnya semata-mata untuk kepentingan politik Anwar, tetapi bantahan itu mesti dinyatakan dengan cara BN meletakkan calon.
Patutnya kalau bantah, janganlah letak calon. Tapi entah macam mana, bagi KJ, kerana membantah, maka BN mesti letak calon. Bak kata Shuib yang merupakan salah seorang anggota Kumpulan Sepahtu, "peninglah...."
Hanya dengan tidak meletakkan calon boleh dianggap sebagai bantahan, selain dapat mengelakkan pembaziran wang rakyat sepanjang kempen pilihan raya diadakan. Dengan beria-ia mahu BN meletakkan calon, bermakna BN bukan saja sedang meraikan permainan politik yang dipapan caturkan oleh Anwar, bahkan akan menyebabkan BN sentiasa menari mengikut lagu yang dialunkan oleh pihak lain.
Berbanding tidak meletakkan calon, sebaliknya turut bertanding dan kemudian kalah lebih memudaratkan reputasi Umno, BN, kerajaan dan Najib sendiri. Sebagaimana ukuran kelemahan Najib dan penerimaan rakyat terhadapnya sedang diperkata dan diperhatikan sejauh mana teruk atau tidaknya, ukuran ketepatannya mungkin boleh dibaca berdasarkan keputusan PRK Kajang.
Jika Pakatan Rakyat boleh menunggu sehingga 2018 untuk menghukum Najib dan BN berdasarkan keputusan PRK Kajang, keputusan pilihan raya yang sama mungkin menjadikan gerakan menyingkirkan beliau menjadi bertambah agresif lagi selepas ini.
Oleh : Shahbudin Husin - shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan