SPECIAL ADS

15 Januari 2014

Kit Siang cadang penubuhan Suruhanjaya Inkuiri Diraja siasat skandal PKFZ

15 Jan : Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang (gambar) hari ini mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Inkuiri Di Raja (RCI) bagi menyiasat skandal Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Lim yang tidak berpuas hati susulan pembebasan "jerung" besar dalam skandal PKFZ berkata langkah tersebut bagi mengelakkan Malaysia menjadi bahan jenaka dunia.
"Saya mencadangkan sokongan bi-partisan apabila Parlimen bersidang pada 10 Mac selama 20 hari mesyuarat sehingga 10 April untuk menubuhkan sebuah Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) terhadap skandal RM12.5 bilion.
"Atau Malaysia akan menjadi bahan lawak antarabangsa sebagai skandal mega tanah tanpa penjenayah," kata Lim dalam satu kenyataan media hari ini.
Skandal tersebut kembali mendapat perhatian selepas bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy menjadi individu terbaru dibebaskan daripada isu tersebut.
Penasihat DAP tersebut juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk membawa dalang sebenar dalam skandal tersebut dihukum.
"Pentadbiran beliau (Najib) perlu mengubah strateginya untuk menimbang bagaimana membawa dalang yang bertanggungjawab dalam skandal PKFZ bernilai RM12.5 bilion ke muka pengadilan.
"Bukan hanya 'ikan kecil' tetapi juga 'jerung' sama ada di kerajaan atau politik," katanya lagi.
Projek tersebut pada mulanya bernilai RM1.1 bilion apabila ia diilhamkan pada 1997, tetapi menjadi berlipat ganda kepada RM4.6 bilion pada 2007. Kos muktamad kepada pembayar cukai dianggarkan sebanyak RM12.5 bilion.
Sehingga kini tiada siapa pun yang dihukum dalam skandal ini.
Polis memulakan penyiasatan jual beli tanah PKFZ pada awal 2009 apabila Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Lee Hwa Beng membuat laporan berhubung laporan audit kewangan projek itu.
Laporan firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) pada 2009 menyifatkan Chan, Puan O C Phang dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang dan lembaga pengarah agensi pelabuhan itu sebagai tidak menjalankan tugas dengan sepenuh perhatian.
Sebelum ini, bekas menteri kabinet Tun Dr Ling Liong Sik turut dibebaskan daripada pertuduhan dalam skandal tersebut.
Bekas Presiden MCA itu dituduh menipu kabinet dengan menyembunyikan fakta terdapat kadar faedah tambahan sebanyak 7.5% dalam pembelian tanah RM25 sekaki persegi di mana kadar faedah dikira sekali dalam harga asalnya.
Beliau kemudian menggesa kabinet meluluskan pembelian tanah itu yang mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.
Dr Ling juga berdepan dua pertuduhan berasingan iaitu mempengaruhi kabinet membeli tanah 999.5 ekar tanah pada RM25 sekaki persegi dengan faedah 7.5% disahkan dan dipersetujui oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian Hartanah tetapi tiada perjanjian seumpama itu dibuat. TMI

Tiada ulasan: