SPECIAL ADS

15 Januari 2014

Air percuma kekal di Selangor, jamin Menteri Besar

15 Jan : Kerajaan Selangor hari ini memberi jaminan pemberian 20 meter padu air secara percuma akan diteruskan walaupun air Selangor kini diambil oleh kerajaan pusat.
"Ini adalah perlu kerana Selangor memiliki kebanyakan daripada aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur," kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) dalam sidang medianya hari ini.
Khalid juga mengalu-alukan pihak pemegang konsesi air di negeri berkenaan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak berpuas hati dengan penggunaan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang dilakukan kerajaan pusat untuk mengambil alih pegangan konsesi air di negeri berkenaan.
Abdul Khalid ketika sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Shah Alam hari ini berkata, cadangan menggunakan Seksyen 114 akta berkenaan juga adalah saranan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA) selepas kegagalan rundingan melalui "willing seler willing buyer" antara kerajaan negeri dan pemegang konsesi.
"Kita sedia jika mereka (pemegang konsesi) mahu mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu lagi, berdasarkan Seksyen 115 WSIA juga, pengambil alihan pegangan air di Selangor akan dikembalikan kepada kerajaan negeri memandangkan faktor pemilikan aset air yang dimiliki negeri berkenaan.
"Inisiatif ini, untuk Seksyen 114 (WSIA) dilakukan oleh menteri sendiri.
"Seksyen 114 ini mesti dilihat dari segi kalau mereka ambil aset daripada operator air mereka perlu kembalikan kepada kerajaan Selangor. Kita sudah tulis surat respons kepada menteri menyatakan kita punyai permintaan," katanya merujuk kepada  syarat Selangor agar Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua pentadbir syarikat konsesi berkenaan iaitu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Suhaimi Kamaralzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Husin.
"Seksyen 115 mengatakan, ia akan menyerahkan kepada orang yang memiliki aset. Harta air dimiliki oleh kerajaan Selangor," kata Abdul Khalid lagi.
Dalam hal itu, kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) turut bersetuju meneruskan pembinaan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.
Kerajaan Selangor sebelum ini telah menawarkan sejumlah RM9.65 bilion untuk mengambil ekuiti tiga syarikat konsesi air di negeri berkenaan iaitu; Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas); Konsortium Abbas Sdn Bhd; Puncak Niaga Sdn Bhd; dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd.
Rancangan pengambil alihan berkenaan dilakukan ekoran rungutan dan kekhuatiran masyarakat terhadap masalah bekalan air yang melanda Selangor.
Pertikaian berhubung isu air di Selangor mula mendapat perhatian apabila pembinaan Loji Langat 2 dihentikan kerajaan PR selepas Pilihan Raya 2008 apabila pakatan pembangkang berkenaan menewaskan BN di Selangor.
Ekoran kekerapan berlakunya gangguan bekalan air, kedua-dua pihak, kerajaan negeri dan Syabas sering betelagah menyalahkan satu sama lain.
BN seringkali menggesa kerajaan PR Selangor untuk membenarkan pembinaan Loji Langat 2 bagi mengatasi masalah kekurangan takungan air bersih di negeri tersebut, dan mereka turut menjadikannya sebagai isu bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). TMI

Tiada ulasan: