SPECIAL ADS

16 Januari 2014

'Fitnah lagi isu Giat Mara akan disaman'


16 Jan : Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen hari ini menyangkal kenyataan banyak pihak berhubung dakwaan kerajaan negeri Selangor akan merobohkan bangunan Giat Mara Selayang dalam masa terdekat.

Baliau berkata demikian ketika dihubungi Malaysiakini, sekali gus memberi amaran keras sekiranya masih berdegil dan terus menyebarkan kenyataan palsu tersebut.

"(Kenyataan palsu) itu semua tidak benar sama sekali, saya menyeru semua pengguna Facebook dan penulis blog tidak terus mengeluarkan kenyataan yang tidak benar tentang perkara itu.

"Sekiranya perkara ini berterusan kita (kerajaan negeri Selangor) tiada pilihan lain akan saman mereka di dalam mahkamah nanti," katanya yang juga seorang peguam.

Beliau juga mengesahkan bahawa Giat Mara tersebut hanya ditutup untuk kerja-kerja penaiktaraf kerana struktur bangunan berusia 20 tahun itu sudah memerlukan pembaikan bangunan yang menyeluruh.

Justeru itu, William menegaskan bahawa kerajaan negeri Selangor tidak merancang merobohkan bangunan tersebut sebagaimana dakwaan yang berlegar beberapa hari ini.

"Kita (kerajaan Selangor) lihat dalam tajuk utama akhbar... kenyataan tidak benar bahawa kerajaan negeri Selangor hendak merobohkan bangunan Giat Mara Selayang.

'Bangunan tak selamat'

Bahkan, tambahnya, sebenarnya kerajaan negeri telah menubuhkan satu pasukan khas tanah Selangor untuk mengkaji semula reka bentuk bangunan itu.

"Pasukan tersebut mendapati struktur bangunan sudah tidak selamat untuk digunakan pelajar dan guru.

"Dengan itu, kerajaan negeri memberi notis penaiktarafan selama satu tahun, dan sekiranya projek tersebut memerlukan bantuan kewangan, kita akan mengeluarkan peruntukan untuk perkara itu," katanya.

Kenyataan beliau itu selari dengan kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam bahawa notis setahun kepada Giat Mara Sdn Bhd supaya bangunan dan kemudahan di situ dibaiki.

“Kalau (mereka) tidak mampu, kita akan ambil alih kerana ada syarikat yang berminat memberi latihan membuat alatan kapal terbang," katanya. MK

Tiada ulasan: