29 Jan : Ramai ahli Umno menyambut kedatangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan tangan terbuka, tetapi ia boleh merugikan Datuk Seri Najib Razak yang kini berdepan dengan banyak perbezaan pendapat dari dalam dan luar partinya.
PRK tersebut yang disebabkan oleh peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh boleh mengurangkan sokongan rakyat kepada Najib kerana PKR akan menggunakan kenaikan kos kehidupan serta konflik penggunaan kalimah Allah untuk berkempen.
Kenyataan Najib tentang sayur kangkung yang sering dipersendakan sudah pasti akan menjadi komponen penting dalam kempen PRK yang akan dijalankan selewat-lewatnya dua bulan lagi.
Oleh kerana tangan Najib sedang sibuk menangani persepsi terhadap kerajaan yang dikatakan tidak sensitif dengan nasib rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup, ditambah lagi dengan pencalonan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR bagi PRK itu, harapan BN untuk merampas kerusi DUN Kajang adalah sangat tipis.
Tambahan pula, BN berkata, kemenangan di Kajang tidak akan memberi kesan buruk kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka memenangi enam lagi kerusi di Selangor dalam Pilihan Raya Umum 2013 berbanding Pilihan Raya Umum 2008.
Malah, ianya akan menjadi tamparan yang lebih dahsyat lagi sekiranya BN kalah sekali lagi.
Lee memenangi kerusi DUN Kajang dengan 19,571 undi dengan majoriti sebanyak 6,824 mengalahkan enam calon lain termasuk daripada BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
Calon BN, Lee Ban Seng berjaya mendapat undi sebanyak 12, 747.
Tidak hairanlah ada ura-ura BN tidak akan bertanding dalam PRK Kajang kali ini.
Bolehkah BN mengembalikan zaman Penanti?
BN pernah memutuskan untuk tidak bertanding pada PRK Penanti di kawasan Parlimen Anwar, Permatang Pauh pada 2009.
Majlis Tertinggi BN memutuskan untuk tidak bertanding kerana kerusi yang dikosongkan oleh Mohammad Fairus Khairuddin tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
"Keputusan dibuat dan BN tidak akan bertanding di Penanti. Keputusan yang sama mungkin dibuat dengan PRK Kajang," kata Profesor Dr Shaharuddin Baharuddin daripada Universiti Teknologi Mara di Selangor.
Sewaktu pengumuman untuk tidak bertanding di Penanti dilakukan, Najib berkata kerusi itu kosong tidak mengikut Perlembagaan tetapi PKR hanya mahu menyelesaikan masalah dalaman mereka sahaja.
Sama seperti Kajang.
“Ia sama dengan situasi Kajang hari ini iaitu wakil rakyat dilantik untuk memberi laluan kepada PRK," kata penganalisis politik, Dr Sivamurugam Pandian.
Ahli akademik daripada Universiti Sains Malaysia itu berkata, Najib dan BN tidak harus melayan cara PKR dan terlalu risau dengan pendapat PR kerana fokus harus diberikan kepada masalah rakyat.
Lee meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar dan menguatkan spekulasi bahawa ketua pembangkang itu bakal mengambil alih tugas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor bagi menguatkan lagi kerajaan negeri PKR dan PR.
Posting Facebook Mohd Faizal Mohd Salleh dari Umno menyarankan BN untuk tidak bertanding dalam PRK dan sebaliknya meneruskan usaha untuk membantu rakyat menangani masalah kenaikan barangan harian.
Posting tersebut berkata, dengan tidak menamakan sebarang calon bagi kerusi DUN Kajang, tidak bermakna BN pengecut.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu menarik diri daripada bertanding disebabkan kos yang tinggi untuk PRK tidak pernah timbul.
Beliau berkata, BN berhak bertanding dan akan menamakan calon kerana BN turut mendapat sokongan daripada pengundi di sana dalam pilihan raya lalu.
Anwar sebelum ini memberitahu BN agar tidak bertanding di Kajang jika mereka risau mengenai kos PRK.
Kerajaan Najib sudah berdepan dengan pelbagai rintihan daripada rakyat dan di kalangan ahli Umno sendiri oleh sebab Purtajaya gagal mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin adalah di antara mereka yang mengkritik kegagalan kerajaan mengurangkan atau memeriksa perjanjian konsesi tol lebuh raya untuk membendung kenaikan kadar tol.
Daim juga ketika berucap dalam mesyuarat tertutup bersama Umno bahagian dua minggu lalu, menganggarkan BN akan kalah jika pilihan raya umum diadakan sekarang.
Akar umbi Umno juga mengkritik kegagalan Kabinet menjelaskan isu ini dan menyalahkan penasihat Najib kerana tidak berdepan dengan rakyat dan menjelaskan isu tersebut dengan hujah yang bernas.
Kajang merupakan PRK ketiga yang diadakan selepas PRU13 pada Mei tahun lalu selepas Kuala Besut dan Sungai Limau.
Tetapi isu hari ini lebih rumit lagi, bukan kerana BN tetapi Najib dan keluarganya menjadi sasaran serangan PR dan penyokongnya.
Yang pasti, Pejabat Perdana Menteri dan penasihat Najib harus bekerja lebih keras lagi untuk berdepan dengan PRK nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum menentukan tarikh untuk PRK kerana hanya akan bermesyuarat pada 5 Febuari depan. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan