SPECIAL ADS

8 Januari 2014

Pengerusi eksekutif NFC fail permohonan tangguh prosiding kes pecah amanah

Pengerusi eksekutif NFC fail permohonan tangguh prosiding kes pecah amanah
08 Jan : Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen.
Peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan penangguhan prosiding itu sementara menunggu rayuan anak guamnya untuk membatalkan pertuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norsharidah Awang hari ini.
Wan Shahrizal turut memaklumkan Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Mac ini untuk pengurusan kes bagi rayuan tersebut.
Tarikh perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen yang dijadualkan pada 20 dan 21 Januari ini dikekalkan.
Pada 22 November tahun lalu, Norsharidah menolak permohonan Mohamad Salleh untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati pertuduhan tersebut tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui proses perbicaraan.
Mohamad Salleh memfailkan permohonan untuk menggugurkan dua pertuduhan itu pada 7 Januari tahun lalu.
Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 65, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.
Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.
Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.
Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud. - Bernama, 

Tiada ulasan: