28 Jan : Kehidupan rakyat biasa yang semakin tertekan akibat kenaikan harga barang adalah masalah yang sangat besar. Maka oleh sebab ia isu besar, ada usaha nampaknya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada membincangkan isu ini kepada isu lain, umpamanya isu Kalimah Allah. Isu perkauman dan sebagainnya.
Hal ini supaya rakyat lupa dengan isu sebenar yang benar-benar terkena langsung kepada rakyat, iaitu masalah kenaikan harga barang yang mencengkam kehiduapan rakyat. Isu ini merentasi pelbagai kaum dan agama kerana semua rakyat biasa merasainya. Yang tidak merasainya hanyalah orang-orang besar yang terus hidup dengan segala kemewahan, kaki yang tidak pernah memijak lantai pasar, tidak pernah membeli barangan di situ atau di tempat yang serupa.
Segalanya tersedia dalam hidangan pelbagai makanan berzat dan lazat. Golongan elit ini tidak perlu tahu harga barangan itu, justeru semuanya diuruskan oleh khadam, pembantu yang amat setia, iaitu dari ke pasar membeli bahan mentah di pasar, di masak oleh tukang masak dan menghidangkan kepada tuan-tuan mereka.
Ataupun tuan-tuan mereka ini makan tengah hari atau makan malam di hotel atau restoran ternama bersama para rakan korporat atau sesama orang besar politik. Maka dalam keadaan begini, seruan supaya pemimpin menunjukkan teladan, turun padang di tengah rakyat, memahami kesusahan mereka, hanyalah retorik yang berpanjangan, atau hanya sebuah igauan.
Maka itu, untuk meredakan kemarahan rakyat, pelbagai kenyataan yang muluk-muluk dikeluarkan, untuk menyedapkan hati rakyat. Bagi penduduk luar bandar yang tidak ada akses internat, maka maklumat yang mereka terima hanyalah melalui TV dan akhbar yang dikawal sepenuhnya oleh pemerintah. Oleh itu penduduk luar bandar percaya bahawa harga barang stabil, malah akan turun.
Di sinilah saya melihat isu perkauman dan ketegangan agama seperti yang berlaku sekarang hanyalah siri usaha pihak tertentu untuk mengalihkan perhatian daripada memikirkan hal sebenar.
Pelbagai aksi di lapangan seperti berdemo dan menunjukkan sepanduk ancaman Peristiwa 13 Mei dan sebagainya adalah siri usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada isu sebenarnya.
Apa perlunya menimbulkan kembali ancaman Peristiwa Berdarah 13 Mei, pada hal ia telah berlaku 45 tahun lalu, yakni hanya generasi lama yang tahu. Mewar-warkan kembali persitiwa tersebut adalah suatu kebodohan yang terbit daripada pemikiran yang mundur, yang penuh dendam perkauman yang sangat merbahaya.
Peristiwa Berdarah 13 Mei itu sama sekali tidak wajar diungkit kembali pada ketika generasi yang ada sekarang sedang berada dalam suatu suasana yang berlainan sama sekali ketika berlaku Peristiwa 13 Mei dulu.
Pada pendapat saya, peristiwa tersebut sama seperti kita menyaksikan filem seram Dracula, kisah orang mati yang kononnya ‘dihidupkan’ kembali oleh seorang saintis. Akhirnya, Dracula yang gemarkan darah manusia itu telah memakan saintis itu sendiri dan menghirup darahnya.
Analoginya di sini ialah pihak yang hendak menghidupkan kembali makhluk yang dahagakan darah itu akhirnya di makan oleh makhluk itu sendiri. Ini iktibar yang sangat wajar kita fikirkan bahawa jangan undang Peristiwa 13 Mei, kerana dibimbangi akan mengundang malapetaka kepada negara dan rakyat.
Demi mencapai konsensus nasional untuk menyelesaikan masalah mendesak yang timbul sekarang ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak BN untuk berdialog, antaranya bagi mengatasi unsur yang kini menggugat perpaduan, kebencian antara agama, masalah tadbir urus negara, krisis ekonomi, ketelusan dan isu kebertanggungjawaban.
Anwar berkata sejak mutakhir ini beberapa keadaan dan kejadian yang mengakibatkan keharmonian antara rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama menjadi semakin renggang dan boleh membawa kemusnahan.
"Kita tidak boleh leka. Hal ini kerana kita sedang menyaksikan tindakan beberapa pihak yang sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa negara ke ambang kemusnahan,” katanya.
Kenyataan Anwar ini yang disepakati oleh semua pimpinan Pakatan rakyat dilihat sebagai usaha besar Pakatan untuk mengendurkan ketegangan yang berlaku sekatang. Sebab itu beliau berkata: "Kita sebenarnya belum menyaksikan usaha sebegini rupa sejak kejadian-kejadian yang berlaku sebelum tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Suara kebencian dan kemarahan, suara berprasangka buruk dan penuh syak wasangka, dan suara-suara kemusnahan dan kebobrokan yang cuba menghancurkan keharmonian, kerjasama dan persefahaman yang telah kita bina dari runtuhan tragedi ini."
Untuk itu, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit dan bersuara sekali gus menghormati mereka dengan penuh rasa hormat, timbang rasa dan kepercayaan.
Menurutnya, para pemimpin daripada kedua-dua belah pihak perlu mengetepikan isu kepartian dan menunjukkan semangat kepimpinan sejati untuk meleraikan ketegangan ini dan berusaha memperbaiki keadaan.
Telah tiba waktunya, kata Anwar, untuk kita semua mencapai satu konsensus nasional terhadap isu-isu yang teramat penting ini yang mendatangkan impak terhadap identiti kita sebagai sebuah bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan perutusan khas untuk rakyat Malaysia bertajuk ‘Ke Arah Sebuah Konsesnsus Nasional’ di Subang Jaya beberapa hari lalu.
Ini adalah usaha Pakatan Rakyat yang mengajak semua pihak untuk membincangkan bagaimana menyelesaikan masalah negara sekarang. Oleh itu hentikanlah berdemo dan aksi lain – oleh semua pihak – yang tujuannya hanya hendak membakar semangat perkauman dan agama yang dianuti oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.
Pada masa yang sama juga dialog konsensus nasional itu hendaknya memfokaskan juga masalah rakyat yang kini merasakan sangat tertekan dengan perihal kenaikan harga barang, justeru isu ini adalah masalah penting yang sangat menyentuh ‘periuk nasi’ rakyat.
Akhirnya kita mahu melihat respons daripada Umno/BN terhadap cadangan Pakatan Rakyat ini untuk mengakhiri kemelut berterusan yang dihadapi oleh negara sekarang ini. HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan