SPECIAL ADS

27 Januari 2014

Saya masih menteri besar, kata Abdul Khalid

Abdul Khalid mengakui perjumpaan dengan Anwar Ibrahim tetapi bukan berbincang mengenai perletakkan jawatannya sebagai menteri besar. - Gambar The Malaysian Insider.
27 Jan : "Saya masih lagi menteri besar Selangor dan saya tidak akan kemana-mana," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan khabar angin beliau akan meletakkan jawatan pada Rabu.
Abdul Khalid juga menafikan terdapat perbincangan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Anwar menggantikannya sebagai menteri besar.
Beliau juga mengatakan masih belum menerima sebarang arahan daripada Istana Selangor berhubung perubahan dalam jawatan menteri besar sambil menegaskan pihak istana perlu dimaklumkan jika terdapat perubahan drastik dalam pentadbiran negeri.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya dan saya harap pihak media akan lebih berhati-hati dengan spekulasi mereka. Buat penyelidikan terlebih dahulu. Terdapat proses yang perlu dilakukan jika benar perubahan akan berlaku.
"... saya sudah bercakap dengan dia (Anwar) sebelum ini, akan tetapi perbincangan kami tentang perkara lain. Perkara ini tidak timbul," kata Abdul Khalid apabila dikerumuni oleh pemberita semasa mengedarkan buah limau di Klang hari ini.
The Star Online melaporkan hari ini Abdul Khalid sudah bersetuju untuk meletak jawatan sebagai menteri besar dalam masa terdekat.
Laporan yang memetik sumber-sumber dalaman PKR itu menyebut Abdul Khalid dijangka akan mengumumkan keputusan berkenaan pada Rabu ini.
Mereka berkata, Anwar akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Jika ini benar-benar berlaku, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan bagi membolehkan Anwar menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor sebelum mengambil alih kedudukan tersebut.
Menteri besar penggal kedua itu menjadi pilihan utama untuk jawatan tertinggi itu walaupun PKR hanya memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding rakan Pakatan Rakyat (PR) lain dari PAS dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi DUN.
Hari ini Abdul Khalid juga mennegaskan tidak terdapat perbincangan diantara dirinya dan Sultan Selangor berhubung kedudukannya sebagai menteri besar.
"Jika saya nak buat sesuatu, saya mesti mendapatkan nasihat Sultan. Saya tidak boleh membiarkan institusi tersebut.
"Terdapat perbincangan mengenai pembangunan di Selangor tetapi bukan tentang ini."
Beliau juga mengatakan langkah sesetengah ahli parti untuk menggulingkan dirinya sama seperti desakan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.
"Mereka boleh buat pelbagai tuntutan. Akan tetapi perlu mengikut proses terlebih dahulu," katanya merujuk kepada persetujuan Sultan Selangor untuk menggantikan menteri besar.
Abdul Khalid kini turut berhadapan dengan tekanan  berhubung kemelut dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan isu serbuan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Pertubuhan Bible Malaysia (BSM) . TMI

Tiada ulasan: