SPECIAL ADS

13 Januari 2014

Bebas suspek skandal PKFZ, Gani Patail didesak letak jawatan

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail didesak meletakkan jawatan kerana menarik balik tuduhan dalam skandal PKFZ. Gambar fail.
14 Jan : Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sekali lagi didesak untuk meletakkan jawatan susulan daripada keputusannya menarik kembali tuduhan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy berhubung isu skandal Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata pembebasan bekas menteri tersebut maka kini mewujudkan tanda tanya siapa yang bertanggungjawab dalam skandal melibatkan penyelewengan wang rakyat paling mahal setakat ini.
Katanya, tambah membingungkan walaupun kes tersebut disiasat sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2009 dan menyarankan mahkamah menahan Chan, ia gagal dilaksanakan oleh peguam negara tersebut.
"Dalam laporan PAC ada menyatakan bahawa tiga surat sokongan dikeluarkan oleh Chan dan ia satu  kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 409B.
"Walaupun terdapat saranan daripada PAC, peguam negara tidak mengendahkan laporan tersebut dan ia satu penghinaan kepada pihak pendakwa dengan pembebasan Chan dan Tun Ling Liong Sik yang turut dikenakan dakwaan sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan menahan bekas presiden dan timbalan presiden MCA itu hanya sandiwara bagi membuktikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil serius mengenai pembanterasan korupsi seperti yang dicanangkan walaupun mengetahui tuduhan tersebut akhirnya akan ditarik kembali.
Dengan persoalan adakah kegagalan mendakwa disengajakan atau tidak, Tony mendakwa sikap ketidakcekapan Gani itu amat tidak boleh diterima oleh rakyat.
Sehubungan itu, katanya, jika Najib serius menangani isu melibatkan penyelewengan wang, salah guna kuasa seperti yang selalu dilaungkan dalam pentadbiranya maka kini merupakan masa terbaik untuk menghukum Gani.
"Kita ingin tahu adakah dakwaan rapuh sengaja dikenakan ke atas mereka bagi membuktikan yang kononnya Najib begitu serius dalam banteras rasuah.
"Sekiranya Najib begitu serius dalam hal ini maka beliau tidak perlu teragak-agak memecat peguam negara dan menggantikan dengan mereka yang cekap dan akan bertindak serta menghukum tanpa dibayangi atau takut dengan sesiapa pun," katanya.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, berkata kepada The Malaysian Insider bahawa tuduhan ditarik balik selepas mempertimbangkan bukti daripada peguam Chan.
Keputusan untuk menarik balik tuduhan dikemukakan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahman di mahkamah.
Peguam utama Chan, Datuk Tan Hock Chuan, berkata pihak pendakwa juga memutuskan untuk tidak menjalani perbicaraan selepas mendapat tahu tentang pembebasan satu lagi Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh menipu Kabinet.
"Chan dibebaskan kerana tuduhan digugurkan," katanya.
Chan dituduh pada 28 Februari 2011 atas dakwaan menipu Abdullah mengenai projek pemindahan kapal sebanyak RM1.9 bilion di antara 2004 dan 2006. Beliau boleh dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun jika didapati bersalah.
Projek tersebut berharga RM1.1 bilion selepas diilhamkan oleh Dr Ling pada 1997, namun berlipat ganda kepada RM4.6 bilion pada 2007. TMI

Tiada ulasan: