29 Jan : PKR mencabar Barisan Nasional (BN) agar tidak meletakkan calon mereka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang daripada parti komponen MCA dan Gerakan, sebaliknya, mereka mahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanding satu lawan satu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata BN seharusnya meletakkan calon mereka daripada Umno di kerusi berkenaan jika merasakan parti Melayu itu mempunyai sokongan yang kuat.
"Kalau Umno hebat, letak Najib. Jangan letak MCA, Gerakan sebagai calon," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu ketika sesi taklimat bersama jentera PKR di Kajang, hari ini.
"Setuju atau tidak?" soal Azmin, dan disambut dengan jerita “Setuju!" daripada jentera PKR yang berkumpul di Dewan Serbaguna Sekamat.
Kekosongan kerusi DUN Kajang berlaku selepas Lee Chin Cheh, bekas Adun kawasan berkenaan melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Difahamkan, tindakan ketua pembangkang itu adalah untuk meredakan kemelut "perang dingin" antara Azmin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tindakan Anwar turun bertanding kerusi negeri itu juga dikatakan cubaan untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
"Ini bukan satu perjudian seperti yang dituduh pelbagai pihak. Ini bukan satu percubaan.
"Ini satu komitmen bertanggungjawab yang ditunjukkan kepimpinan tertinggi bukan sahaja PKR tetapi Pakatan Rakyat (PR).
"Tidak mudah masyarakat biasa faham bagaimana tokoh besar yang (pernah) diangkat sebagai calon perdana menteri kini turun ke Kajang," kata Azmin dalam ucapannya.
Turut hadir dalam taklimat tersebut adalah pemimpin PKR negeri serta Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan